Data terkini wabak Covid-19 adalah satu sebab untuk pelonggaran PKP secara bersyarat bagi menangani sebarang kenaikan semula kadar jangkitan


Data terkini wabak Covid-19 adalah satu sebab untuk pelonggaran PKP secara bersyarat bagi menangani sebarang kenaikan semula kadar jangkitan

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan yang kes Covid-19 telah mencapai 4,119 kes dengan peningkatan sebanyak 156 kes baharu.

Terdapat juga dua kematian baharu, membawa jumlah kematian kepada 65.

Buat kali kedua, jumlah pesakit yang pulih telah melebihi jumlah peningkatan jumlah kes positif — dengan peningkatan harian 166 orang pesakit yang disahkan pulih daripada jangkitan ini, membawa jumlah keseluruhan pesakit pulih kepada 1,487 kes ataupun hampir 36.1% jumlah keseluruhan kes.

Bagi mereka yang sedang menjalani rawatan pula, 76 pesakit kini berada di unit rawatan rapi, jumlah ini berkurang daripada 92 orang pada hari sebelumnya.

Daripada mereka yang berada di ICU pula, 45 memerlukan alat bantuan pernafasan, penurunan daripada 50 orang pada hari sebelum ini.

Dr Noor Hisham telah membuat satu penyataan yang agak menarik apabila beliau berkata: “Walaupun kita belum memenangi peperangan ini, kita juga belum kalah.”

Tidak ada negara yang boleh memenangi peperangan melawan virus ini, sehinggalah satu vaksin yang berkesan melawannya dibangunkan dalam tempoh 12 ke 18 bulan yang akan datang, ataupun mungkin dalam tempoh yang lebih lama lagi.

Sementara menunggu vaksin ini, cabaran berkembar yang dihadapi oleh semua negara adalah untuk memenangi peperangan melawan wabak ini dengan setiap gelombang baharu kes positif dengan kehilangan nyawa yang minima dan untuk memenangi peperangan ekonomi pandemik dengan kerosakan minima kepada ekonomi negara.

Lonjakan semasa kes Covid-19, telah menyebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuat kuasakan pada 18 Mac, yang bertujuan untuk menangani senario terburuk gelombang kedua Covid-19 dengan kemuncak 6,300 jangkitan (jangkaan JP Morgan) menjelang pertengahan April ataupun jangkaan Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) yang menjangkakan sehingga 8,900 kes positif.

Daripada data kes Covid-19, kita dapat lihat yang gelombang kedua ini memuncak pada 3 April dengan 3,333 kes (peningkatan harian sebanyak 217 kes) dan sejak daripada tarikh ini, jumlah peningkatan jangkitan harian kini semakin perlahan kepada peningkatan harian sekitar 150 ke 179 kes sehari.

Data untuk kes Covid-19 sejak daripada pelaksanaan PKP adalah seperti berikut:

Jadual 1: Jumlah kes Covid-19 sejak pelaksaan PKP

Tarikh Jumlah Kes Terkumpul Jumlah kes baru harian Jumlah Kematian Terkumpul Jumlah Pesakit Pulih Terkumpul
18/03 790 +117 3 11
19/03 900 +110 4 15
20/03 1,030 +130 5 12
21/03 1,183 +153 8 27
22/03 1,306 +123 10 25
23/03 1,518 +212 14 20
24/03 1,624 +106 15 24
25/03 1,796 +172 19 16
26/03 2,031 +235 23 16
27/03 2,161 +130 26 44
28/03 2,320 +159 27 61
29/03 2,470 +150 34 68
30/03 2,626 +156 37 91
31/03 2,766 +140 43 58
01/04 2,908 +142 45 108
02/04 3,116 +208 50 122
03/04 3,333 +217 53 60
04/04 3,483 +150 57 88
05/04 3,662 +179 61 90
06/04 3,793 +131 62 236
07/04 3,963 +170 63 80
08/04 4,119 +156 65 166

Dengan kadar jangkitan baharu harian di bawah paras 200 sepanjang lima hari yang lepas, PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac dan kemudiannya dilanjutkan daripada 1 April ke 14 April ini telah berjaya dalam mengekang penyebaran wabak ini.

Jika kita mahu mengekalkan lengkungan epidomeologi ini, cadangan pelonggaran PKP secara bersyarat untuk menangani sebarang peningkatan kes baharu menjadi satu cadangan yang menarik.

Tidak ada strategi keluar yang sesuai untuk dipakai oleh semua negara kerana setiap negara mengamalkan perintah berkurung yang berbeza-beza.

Tetapi satu perkara yang pasti adalah, sehingga vaksin Covid-19 ini sedia, yang mungkin memakan masa di antara 12 hingga 18 bulan ataupun lebih lama lagi, kehidupan kita tidak akan kembali seperti biasa dan kita harus menerima norma baharu di mana pembatasan sosial menjadi amalan harian, mencuci tangan dengan kerap menjadi amalan harian, tidak ada lagi perhimpunan awam besar-besaran, penyaringan semua pelawat daripada luar negara, peningkatan kadar saringan, penggunaan teknologi untuk mengenalpasti kontak rapat dan lain-lain perkara lagi.

Malaysia harus membangunkan strategi keluarnya sendiri, yang harus memenuhi hala tuju untuk membendung penularan virus ini sementara menunggu kewujudan vaksin dan pada masa yang sama membenarkan pergerakan semula enjin ekonomi negara dan membolehkan rakyat untuk kembali menjalani kehidupan mereka, ‘senormal’ yang boleh.

Jika pembahagian kawasan dalam negara kepada empat zon berwarna mengikut kadar jangkitan dijadikan sebagai asas kepada strategi keluar kita untuk melonggarkan PKP, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan perlu mengumumkan status terkini harian untuk setiap kawasan dan bukan sahaja mengumumkan jumlah terkumpul untuk kawasan tersebut seperti yang dilakukan sekarang.

Setakat ini, 23 daerah telah diisytiharkan sebagai zon merah dengan lebih daripada 41 kes, tetapi angka ini berdasarkan data yang lama kerana ia dikira daripada segi jumlah kes terkumpul tanpa mengambil kira jumlah kes yang telah pulih. Jika kita mengambil kira jumlah kes yang telah pulih, kita akan mempunyai lebih sedikit zon merah dalam negara.

Malaysia telah mencapai kadar pemulihan yang lebih tinggi berbanding dengan kebanyakan negara Eropah, daripada sejumlah 4,119 kes sejak 25 Januari, terdapat 1,487 kes yang telah pulih, mencapai kadar pemulihan 36.1%.

Statistik terkini Covid-19 untuk 12 negara teratas di dunia dan Malaysia adalah seperti berikut:

Negara Jumlah Kes Jumlah Kematian Jumlah Kes Sembuh
AS 425,769 14,604 (3.4%) 22,202 (5.2%)
Sepanyol 148,220 14,792 (9.89%) 48,021 (32.4%)
Itali 139,422 17,669 (12.6%) 26,491 (19%)
Perancis 112,950 10,869 (9.6%) 21,254 (18.8%)
Jerman 112,113 2,208 (1.97%) 36,081 (32.2%)
China 81,802 3,333 (4.07%) 77,279 (94.5%)
Iran 64,586 3,993 (6.2%) 29,812 (46.1%)
UK 60,733 7,097 (11.7%) 135 (0.2%)
Turki 38,226 812 (2.1%) 1,846 (4.8%)
Belgium 23,403 2,240 (9.6%) 4,681 (20%)
Switzerland 23,280 895 (3.8%) 9,800 (42%)
Belanda 20,549 2,248 (10.9%) 250 (1.2%)
Malaysia 4,119 65 (1.58%) 2,567 (36.1%)

Di dalam era pasca-PKP di mana Covid-19 ini cuma boleh dihapuskan selepas vaksin dicipta yang akan mengambil masa antara 12 ke 18 bulan ataupun lebih lama lagi, negara kita boleh dibahagikan kepada empat zon berwarna ini, dengan zon hijau dan kuning tidak diletakkan sebarang sekatan, tetapi zon oren dan merah dikekalkan di bawah sekatan pergerakan perjalanan untuk menyelamatkan nyawa dan sistem ekonomi negara.

[Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang pada hari Khamis 9 April 2020]

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.