Archive for March 24th, 2020

Muhyiddin should convene an emergency meeting of the National Security Council and the Cabinet to modify his proposal yesterday on early EPF withdrawals and instead to provide cash support from government reserves

Muhyiddin perlu memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara dan Kabinet untuk mengubah cadangannya untuk membenarkan pengeluaran awal simpanan KWSP kepada pemberian bantuan wang tunai daripada rizab kerajaan

Cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sehingga RM500 sebulan dari Akaun 2 untuk tempoh 12 bulan yang akan datang bermula daripada 1 April adalah satu cadangan yang mengecewakan kerana ia bukanlah satu cadangan yang baik untuk membantu para pekerja yang terjejas dengan Covid-19.

Kerana itulah beliau telah menerima kritikan dari semua pihak.

Perdana Menteri perlu memanggil satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara dan Kabinet untuk mengubah cadangannya untuk membenarkan pengeluaran awal simpanan KWSP bagi membantu para pekerja dalam menghadapi bencana Covid 19. Sebaliknya beliau harus mengumumkan — melalui satu siaran langsung hari ini — kesediaan kerajaan untuk menyediakan bantuan sokongan wang tunai daripada rizab kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas

Saya bersetuju dengan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan sepatutnya menggunakan rizab negara ataupun meningkatkan hasil sumbangan daripada industri minyak dan gas negara melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan bukannya dengan menggunakan dana di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk membantu mereka yang memerlukan.

Kerajaan harus memberi pertimbangan serius terhadap cadangan sekretariat Pakatan Harapan supaya dana kecemasan diedarkan kepada penerima BSH, bermula dengan bayaran RM1,000 untuk bulan Mac dan sekali lagi untuk bulan April.

Kerajaan perlu menggunakan rizabnya untuk membiayai cadangan ini, yang akan menelan kos kira-kira RM8.2 bilion.

Majlis Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah menghentam cadangan Muhyiddin untuk membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sehingga RM500 sebulan dari Akaun 2 untuk tempoh 12 bulan akan datang mulai 1 April sebagai satu langkah yang terkebelakang yang hanya akan mengurangkan simpanan jangka panjang pencarum KWSP.

Semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras akan bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung MTUC, J Solomon yang mengadu pada ketika MTUC memohon kerajaan untuk menyuntik dana bagi membantu jutaan pekerja di negara ini yang secara langsung terjejas dengan kemusnahan yang disebabkan wabak Covid-19, kerajaan sebaliknya menyuruh rakyat untuk menggunakan simpanan hari tua mereka.

Ini adalah satu lagi kesilapan Muhyiddin, jemaah menteri dan penasihat tertinggi beliau dan mereka harus kembali ke meja perbincangan untuk merancang satu pakej rangsangan kewangan yang benar-benar dapat membantu para pekerja dan direka untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan dan pekerjaan.

Adalah teramat penting untuk pihak kerajaan bertindak dengan profesionalisme, kecekapan dan ketangkasan dalam mengemukakan cadangan yang sesuai dan berpatutan bagi membantu semua sektor di Malaysia yang terjejas dengan krisis Covid-19 ini, memandangkan peningkatan 212 kes baharu Covid-19 dalam 24 jam yang lepas — peningkatan harian tertinggi sejak permulaan penyebaran wabak ini pada akhir Januari — menunjukkan bahawa kita belum lagi mencapai kemuncak wabak Covid-19 atau sebarang petanda yang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh ditamatkan pada 31 Mac.

Ramai rakyat Malaysia masih tidak menyedari sepenuhnya tentang sebab dan tujuan PKP dan mengapa perlunya ada penjarakan sosial. Saya harap dua contoh yang berikut akan membantu untuk memujuk lebih ramai rakyat Malaysia untuk kekal di rumah. Read the rest of this entry »

1 Comment