Agenda kemerdekaan yang belum terselesai


by Zairil Khir Johari
The Malaysian Insider
August 31, 2013

Selama 56 tahun, rakyat Malaysia tanpa gagal menyambut satu perayaan yang cukup besar maknanya. Perayaan yang mengingatkan kita betapa berharganya nikmat hidup dalam keadaan bebas daripada cengkaman penjajah.

Dalam pada itu, umum juga menyedari bahawa penghayatan sambutan kemerdekaan bukan sekadar menggantungkan bendera kecil di kenderaan masing-masing, berdiri tegak di dalam pawagam semasa lagu Negaraku dimainkan atau berhimpun menunggu percikan bunga api pada detik 12 tengah malam.

Sebaliknya, kemerdekaan adalah sesuatu usaha pembinaan negara bangsa yang berterusan. Kemerdekaan bererti bahawa setiap anggota masyarakat memiliki hak dan tanggungjawab bersama untuk menentukan corak dan masa depan negara ini.

Kemerdekaan bererti bahawa pilihan rakyat menjadi pilihan keramat. Kemerdekaan bererti bahawa setiap insan yang bergelar rakyat dimartabatkan dengan kehidupan yang bermaruah dan peluang untuk menikmati berkongsi kekayaan negara ini.

Namun, walaupun sudah lebih setengah abad kemerdekaan, rakyat makin hidup dalam ketakutan dengan kadar jenayah yang kian meningkat. Hak demokratik pula tercabul apabila pilihan rakyat yang lantang dalam pilihan raya umum tidak berjaya diterjemahkan kepada realiti.

Kesenjangan pendapatan pula makin melebar sehingga negara kita mencatat Pekali Gini (Gini Coefficient) yang tertinggi di Asia Tenggara dan antara yang tertinggi di Asia. Begitu gentingnya jurang antara yang kaya dan miskin, akibat kerangka ekonomi kapitalis kroni yang menguntungkan segelintir elit serta kerabat mereka, sementara 40% rakyat terbawah terpaksa hidup dengan pendapatan purata RM1,500 sebulan seisi rumah.

Yang paling teruk, keharmonian dan kesepaduan antara kaum dan agama makin terancam. Saban hari media arus perdana menyajikan rakyat dengan sentimen-sentimen ekstremis perkauman dan agama, seolah-olah kebencian itu merupakan sifat fitrah masyarakat kita.

Apakah yang sudah terjadi dengan matlamat Bangsa Malaysia? Harapan mulia yang pernah diimpikan kini lemas diselubungi dendam kesumat gara-gara politik sempit dan pemimpin dangkal.

Justeru, kita memerlukan pembaharuan yang ketara dalam kancah politik negara kita. Politik lama – politik perkauman dan agama, politik kebencian dan ketakutan – sudah jelas gagal dan perlu dibelakangi.

Yang diperlukan adalah keazaman politik baru, iaitu politik bertunjangkan dasar, yang menggalakkan perdebatan serta berjiwa besar. Sekiranya pemimpin politik kita sanggup melakukan perubahan ini, nescaya matlamat Bangsa Malaysia boleh dicapai.

Kita juga memerlukan kerangka ekonomi baru yang mampu mengagihkan kekayaan dengan lebih saksama. Bantuan sosial, pendidikan dan juga ekonomi harus diberikan – tetapi kepada mereka yang perlu dan bukan kepada mereka yang bergelar kroni. Ini tidak akan tercapai selagi sistem ekonomi berdasarkan perkauman tidak dapat diganti dengan sistem yang menyasarkan golongan yang paling memerlukan bantuan tanpa mengira kaum dan agama.

Akhir sekali, kunci kepada pembinaan Bangsa Malaysia terletak dalam sistem pendidikan. Pada masa kini, sistem pendidikan yang seharusnya menyatukan rakyat tampaknya semakin jauh daripada sasarannya. Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025, enrolmen murid bukan Melayu di Sekolah Kebangsaan hanya 6% manakala enrolmen murid bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mencapai 12%.

Statistik ini seolah-olah menyatakan SJKC lebih bersifat “kebangsaan” berbanding SK dari segi komposisi kaum. Sudah tentu, ia juga menonjolkan kegagalan kerajaan untuk menjadikan jurusan Sekolah Kebangsaan sebagai pilihan utama masyarakat.

Oleh itu, sudah tiba masanya kita memikirkan kembali bagaimana untuk mengembalikan fungsi pendidikan sebagai pemudahcara perpaduan nasional tanpa mengabaikan kepentingan mana-mana pihak.

Bagi saya, satu-satunya cara adalah melalui proses disentralisasi dalam sistem pendidikan. Saya percaya, kita harus mengagihkan tanggungjawab dan peranan utama dalam pendidikan kepada pihak-pihak berkepentingan (stakeholders), yakni ibu bapa, guru-guru, murid-murid serta masyarakat tempatan.

Sejauh mana yang mungkin, campurtangan politik harus dielakkan. Ini kerana secara lazimnya politik itu menjadi punca segala masalah, sepertimana yang sudah berulang kali kita alami sepanjang sejarah kita (memori yang paling segar kes PPSMI yang dilaksanakan semata-mata untuk memenuhi kehendak seorang pemimpin).

Sesudah 56 tahun bergelar Merdeka, besar harapan saya agar 56 tahun yang akan datang tidak akan menampakkan kegagalan impian dan harapan nenek moyang kita yang telah banyak berkorban demi mewariskan negara yang megah, maju dan saksama.

Maka, janganlah kita sia-siakan usaha mereka. Sebaliknya, marilah kita meneruskan agenda kemerdekaan dengan mengukuhkan lagi batu asas kenegaraan kita dan mendirikan rangka ekonomi, siasah dan pendidikan yang teguh bagi penjalinan Bangsa Malaysia pada suatu hari kelak. – 31 Ogos, 2013.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.