Mat Zain’s Letter to IGP: Buku berkaitan AG Gani Patail – Pemalsu, Penipu, Penjenayah?


Surat
Mat Zain bin Ibrahim | 8hb.Ogos 2012

Kepada;
Tan Sri Ismail bin Haji Omar, IG,
Ketua Polis Negara,
Bukit Aman,
Kuala Lumpur.

YDH Tan Sri,

ABDUL GANI PATAIL: PEMALSU, PENIPU PENJENAYAH? Oleh Zainal Abidin Ahmad.

Assalamualaikum wbt. Semoga YDH Tan Sri dalam kandungan sihat walafiat.

Saya merujuk kepada penerbitan buku bertajuk seperti diatas oleh seorang Zainal Abidin Ahmad(Zainal) sepertimana yang didedahkan oleh Tan Sri Robert Phang menerusi laman Malaysiakini pada 2 Ogos 2012 dan laporan Polis beliau yang dibuat di-Balai Polis Tun Razak pada 6 Ogos 2012.

Saya tidak pernah kenal dengan Zainal sebelum penerbitan buku ini. Bagaimanapun beliau datang menemui saya pada 12.7.2012 untuk menyerahkan satu naskah buku terbitan beliau itu dan lantas berkenalan dengan saya. Zainal berusia 60 dan berasal dari Raub, Pahang. Beliau lepasan Universiti Malaya tahun 1976.

Setelah menyemak kandungan buku tersebut, saya mendapati bahawa lebih 70% kandungannya, mengandungi petikan surat-surat terbuka saya semenjak 8.10.2010, termasuk surat-surat yang saya alamatkan kepada Tan Sri, khususnya berkaitan salahlaku jenayah yang dilakukan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan mantan KPN Tan Sri Musa Hassan.

Saya mendapat tahu bahawa orang-orang yang telah meneliti buku penulisan Zainal berkaitan Gani Patail ini, mengharapkan pihak Polis menyiasat isi kandungan buku ini sepertimana Polis menyiasat dengan gigih penyiasatan Buku 50 Dalil berkaitan Anwar Ibrahim. Saya tidak perlu menjelaskan Buku 50 Dalil itu dalam ruangan ini, memandangkan kita sama-sama tahu apa yang berlaku.

Penyiasatan Buku mengenai Gani Patail.

Walaupun Zainal, penerbit buku diatas tidak mendapat sebarang kebenaran daripada saya untuk memuatkan salinan keseluruhan atau sebahagian daripada surat-surat terbuka saya dalam buku tersebut, namun setelah menyemak secara terperinci kandungannya, saya mengesahkan bahawa isi kandungannya, adalah sama dengan perkara yang terkandung dalam surat-surat terbuka saya yang berkenaan itu.

Saya percaya Zainal secara bersendiri tidak mampu untuk membuktikan salahlaku Gani Patail.

Bagaimanapun saya boleh, mampu dan bersedia untuk membuktikan dakwaan-dakwaan terhadap Gani Patail dan Musa Hassan, khususnya berkaitan pemalsuan dan penipuan dalam penyiasatan insiden mata lebam yang masih diperdebatkan sehingga hari ini.

Legal status not absolution, Nazri tells Bersih.

Saya menarik perhatian YB Dato Seri Mohamad Nazri Aziz(YB Nazri), Menteri Di-JPM, pada 25 July 2012 mengulas keputusan Mahkamah Tinggi mengenai status Bersih seperti berikut:-

“Bersih leaders must be reminded that the ruling did not legalise their past actions. They must know the difference. The court only decided that they are not an unlawful society. But that does not mean that they did not break the law in the past”

Saya menyatakan kenyataan YB Nazri ini adalah betul dan munasabah serta keputusan Mahkamah perlu dihormati.

Dalam premis yang sama,saya menegaskan bahawa walaupun SPB Yang Di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Gani Patail sebagai Peguam Negara berkuatkuasa 1.1.2002, dengan diberi kuasa sepenuhnya mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang lain, tidak bermakna bahawa salahlaku jenayah yang telah Gani Patail lakukan sebelum perlantikkan itu “di-halalkan”.

Perlantikkan itu tidak bermakna Gani Patail diberi lesen besar yang tidak terhad untuk melakukan jenayah sesuka hati beliau dan kebal dari sebarang hukuman undang-undang.

Antara kes jenayah dimana Gani Patail boleh dibuktikan sebagai terlibat sebelum dilantik menjadi Peguam Negara ialah, memalsukan keterangan dalam penyiasatan insiden mata-lebam dan menggunakan keterangan palsu dalam pendakwaan kes korupsi, kedua-duanya melibatkan Anwar Ibrahim.

Berkaitan dengan kes diatas pada 31 May 2012,sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, Musa Hassan telah akhirnya mengaku semasa ditemubual oleh Malaysiakini, beliau memang ada mengambil contoh darah Anwar untuk ujian HIV yang tersimpan di-HKL dan digunakan pula untuk ujian DNA keatas tilam masyhor (the infamous mattress) yang diusung turun-naik Mahkamah ketika perbicaraan 1998.

Pengakuan Musa Hassan sedemikian itu mengundang lebih banyak persoalan mengenai keterangan yang beliau bentangkan kepada mantan Perdana Menteri Tun Mahathir sehingga meyakinkan Tun bahawa Anwar terlibat dalam aktibiti homoseksual.

Mengenai perbuatan pemalsuan keterangan DNA dalam kes Anwar Ibrahim tersebut ini, saya sarankan Tan Sri merujuk kepada laporan saya bertarikh 27.12.2010 yang juga disalinkan kepada YAB Perdana Menteri dan Peguam Cara Negara yang telah diakui penerimaannya.

Sebelum perlantikkan beliau sebagai Peguam Negara, Gani Patail juga dikaitkan dengan kesalahan salahguna kuasa dan lain-lain kesalahan ketika menangani penyiasatan terhadap mantan Perdana Menteri Tun Mahathir, mantan Menteri MITI Tan Sri Rafidah Aziz dan khasnya kes mantan Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Kenyataan YB Nazri berkaitan kes Rahim Thamby Chik(RTC).

Saya menarik perhatian Tan Sri kepada kenyataan YB Nazri di-Parlimen pada 30 Mac 2011 sebagai menjawab soalan daripada YB Lim Kit Siang dan dilaporkan dalam Malaysiakini dan Malaysianinsider.

YB Nazri mengesahkan bahawa Peguam Negara tidak mempunyai kuasa untuk “indemnify” mana-mana orang daripada kesalahan jenayah berdasarkan pertimbangan politik.

Dalam masa yang sama, YB Nazri telah berjanji akan menyemak status harta berjumlah RM 40 juta yang disahkan olih BPR/SPRM dan diperakukan olih Gani Patail sendiri sebagai telah diperolehi oleh RTC menerusi jalan rasuah dan salahguna kuasa, ketika beliau menjadi Ketua Menteri Melaka.

Kini setelah hampir 17 bulan, rakyat masih menunggu jawapan yang dijanjikan oleh YB Nazri itu, sama ada harta RM 40 juta itu dipulangkan kepada RTC atau dirampas atau status sebenar harta terlibat. Jika diserahkan kepada RTC apakah kuasa Peguam Negara meyerahkannya sedangkan harta tersebut disahkan diperolehi menerusi jalan rasuah dan salahguna kuasa.

Gani menyembunyikan fakta mustahak semasa perlantikkan.

Kita amat yakin YDP Agong tidak sama sekali akan memperkenankan perlantikkan mana-mana orang yang mempunyai perangai buruk dan lebih lagi orang yang telah melakukan sesuatu jenayah, sebagai Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Rayuan atau Persekutuan ataupun Peguam Negara.

Sekiranya Gani Patail seorang yang jujur, beliau secara sukarela telah menolak pencalonan menjadi Peguam Negara, memandangkan beliau sendiri mengetahui apa kesalahan yang beliau telah lakukan sebelum itu yang bolih terbongkar dikemudian hari, seperti berlaku sekarang ini. Lebih lagi beliau sedar mengenai komen Mahkamah Persekutuan dipengerusikan oleh Tan Sri Steve Shim dalam kes Zainur Zakariah vs PP 2001, yang dibuat dalam bulan Jun 2001 yang sangat “unfavourable” dan “adverse” menyentuh kelakuan Gani Patail.

Menyembunyikan fakta material dengan curang adalah suatu perdayaan (deception) sepertimana ditakrifkan dibawah Sek.415 Kanun Keseksaan iaitu “Tipu”.

YDP Agong diyakini tidak akan berkenan melantik Gani Patail sebagai Peguam Negara, jika Baginda tidak diperdayakan untuk mempercayai bahawa Gani adalah bersih daripada sebarang salahlaku jenayah serta tidak terdapat keputusan Mahkamah Persekutuan seperti yang dinyatakan dalam perenggan diatas.

Tribunal.

Biar apapun yang diumumkan oleh mana-mana pihak mengatakan mereka menubuhkan Panel Bebas, High Powered Task Force dan lain-lain lagi, untuk menyiasat dan mengadili salahlaku Peguam Negara adalah sia-sia sahaja. Malahan ia boleh dianggap sebagai perbuatan mengelirukan rakyat semata-mata, untuk melindungi Gani Patail daripada dikenakan hukuman undang-undang serta perbuatan mencabar kuasa YDP Agong.

Sepertimana perbekalan Artikel 125(3) Perlembagaan, hanya YDP Agong sahaja setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri yang mempunyai kuasa dan hak, untuk membentuk Tribunal mengadili seorang Hakim Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan atau seorang Peguam Negara, jika tatalaku mereka melanggar Kod Etika atau lain-lain salahlaku menjadi persoalan.

Saya turut sedar tidak ada contoh lampau (precedent) cara mana menangani kes salahlaku seorang Peguam Negara.Contoh paling hampir untuk dijadikan garispandu ialah caramana dakwaan salahlaku terhadap mantan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas. Proses penyingkiran mantan Ketua Hakim Negara dan sebab-sebabnya telah didokumenkan sepenuhnya dan dalam pengetahuan umum.

Jika Tun Salleh Abas menulis surat peribadi secara terus kepada YDP Agong, dianggap sebagai satu salahlaku berat yang mewajarkan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir menasihatkan YDP Agong membentuk Tribunal dan kemudian menyingkirkan mantan Ketua Hakim Negara itu,maka salahlaku Gani Patail memperdayakan YDP Agong sendiri, adalah jauh lebih berat dari apa yang dilakukan oleh Tun Salleh Abas.

Salahlaku Gani Patail bukan sahaja mewajarkan beliau dihadapkan kehadapan Tribunal dan kemudian disingkirkan, malahan beliau wajar dituduh di-Mahkamah diatas kesalahan-kesalahan jenayah yang telah dilakukan. Pun begitu beliau wajar diberi dan berhak mendapat perbicaraan yang adil dan saksama sepertimana orang lain.

Maklumat salahlaku Gani dan Musa kepada YAB Perdana Menteri.

Untuk menyegarkan ingatan Tan Sri, saya telah mentaklimatkan PM Najib persendirian pada Oktober 2008 dan kemudian mengemukakan laporan terperinci secara bertulis dan menyertakan dokumen-dokumen yang telah dipalsukan sebagai bukti pada February 2009 yang diakui telah diterima. Ketika itu PM Najib masih lagi Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu saya turut mengedarkan beberapa maklumat tambahan perkara sama menerusi penghantaran tangan dan juga email. Disamping itu pula saya mendapat tahu beberapa ramai pihak lain telah juga menyampaikan maklumat-maklumat kesalahan Gani Patail yang lain.

Dengan sebegitu banyak maklumat prima facie mengenai kesalahan jenayah Gani Patail dan Musa Hassan yang telah disampaikan kepada PM Najib, maka tidak ada sebab yang munasabah untuk beliau menafikan penubuhan Tribunal menyiasat Peguam Negara.Melainkan ada sesuatu yang PM Najib bimbangkan.

Kesimpulan.

Sekiranya Perdana Menteri sendiri dan juga Ketua Polis Negara tidak sanggup untuk berhadapan dengan Gani Patail yang telah melakukan beberapa banyak kesalahan jenayah, maka Kerajaan dan Polis jangan mengharapkan rakyat akan membantu mengurangkan kadar jenayah yang lain yang semakin menjadi-jadi dan bertambah ganas.

Jika setelah Gani Patail memperdayakan YDP Agong, PM Najib masih terus juga melindungi Peguam Negara itu, maka apatah lagi dengan nasib rakyat biasa yang telah dianiaya dan dikenakan pertuduhan berpilih dan palsu mengikut sesuka hati Gani. Malahan ada yang telah dipenjarakan beberapa tahun lamanya.

Penglibatan Gani dalam RCI Pendatang Haram Sabah dan Panel Royalti minyak.

Saya menjangkakan rakyat Sabah akan terpedaya dan tidak akan mendapat apa apa faedah dari Suruhajaya Di-Raja menyiasat isu Pendatang Haram, biar apa pun Terma Rujukkan yang akan diumumkan oleh PM Najib.Hasil penemuan RCI itu kelak akan dirujukkan kepada Gani Patail sekali lagi untuk keputusan.

Kita telah lihat dan muak dengan tipu helah dan pembohongan Gani Patail dalam mengendalikan RCI Mata-lebam, RCI V.K.Lingam dan jelas sekali dalam RCI Teoh Beng Hock.

Begitu juga dengan rakyat Negeri Kelantan.Mereka juga saya jangka akan diperdayakan dan dihampakan.Rakyat Kelantan harus sedar bahawa PM Najib bukan sahaja akan melibatkan Gani Patail dalam Jawatankuasa mengkaji Royalti minyak bagi Negeri Kelantan itu, malahan keluarga Gani Patail juga dilibatkan secara langsung dalam Panel tersebut.

Bilamana sahaja terdapat elemen Gani Patail diserapkan dalam apa-apa Penal, Jawatankuasa atau Suruhanjaya Di-Raja sekalipun, maka akan terdapat perbuatan pemalsuan, perdayaan dan penipuan.

Penutup.

Saya akan panjangkan surat ini kepada YAB Perdana Menteri menerusi email juga dan dijangka sampai serentak dengan surat kepada Tan Sri.

Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama YAB Perdana Menteri anjuran Bukit Aman kelmarin, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Selamat menunaikan Ibadah Ramadhan. Wassalam.

Yang Benar,
Mat Zain bin Ibrahim.
08.08.2012.

  1. #1 by dagen wanna "ABU" on Wednesday, 8 August 2012 - 2:13 pm

    Dlm istilah umno perkataan tipu tak wujud. Sebab umno tak suka tipu cuma pusing-pusing saja, ataupun cakap orang barat “spin”.

  2. #2 by ENDANGERED HORNBILL on Wednesday, 8 August 2012 - 6:29 pm

    Adohai, AG kita ni nampaknya memang kuat. Tak dapat disentuh sesiapa pun.
    Soalannya: siapa lebih kuat – AG atau Perdana Menteri?

    Saya tak tahulah.

  3. #3 by waterfrontcoolie on Wednesday, 8 August 2012 - 10:39 pm

    It is hoped that this letter be made available to every Malaysian so that the truth be told. The inaction of those linked to this letter clearly prove that there is truth in it; otherwise they, like the Minister of Cow-gate would surely take Mat Zain to task. Circulate this to those living in the rural areas so they too will know the truth of how this nation has been managed!

You must be logged in to post a comment.