‘Tanda Putera’ itu ‘tanda Umno terdesak’


— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Aug 17, 2012

17 OGOS — “Tanda Putera” merupakan filem yang dipergunakan oleh Barisan Nasional lebih-lebih lagi Umno untuk “discredit” Lim Kit Siang dan ini merupakan tindakan “desperate” pihak BN dalam menunggu pilihanraya yang paling mencabar dalam sejarah negara ini.

Isu perkauman dan agama diperbesarkan oleh pihak Umno kerana itu sahaja yang mereka rasakan boleh menyekat peningkatan pengaruh DAP dalam kancah politik tanahair. DAP sudah diterima oleh sebahagian orang Melayu sebagai parti yang mampu membawa kebaikan kepada negara bersama-sama dengan PAS dan PKR.

Tohmahan dan tuduhan palsu ke atas LKS itu merupakan jalan yang terakhir untuk BN mengelakkan diri daripada terjatuh tersungkur di hadapan mata rakyat kerana momokan terhadap parti itu sejak lebih empat dekad lalu sudah secara deras tidak diterima lagi oleh ramai orang Melayu.

Umno dalam kedudukan “desperate” untuk mendapatkan sokongan orang Melayu kerana sebahagian besar dari orang Melayu sudah menerima PAS sebagai parti gantian kepada Umno untuk mereka sekarang ini.

Kaum Cina pula sudah meninggalkan MCA yang selama ini merupakan parti yang mewakili bangsa Cina dalam Perikatan dan BN selepas itu. Maka memainkan isu perkauman itu merupakan salah satu daripada strategi untuk mengelakkan orang Melayu dari memberikan perhatian terhadap DAP.

Dalam posting saya semalam saya telah menulis tentang betapa “desperate”nya Umno jika PAS dan DAP terus-terusan bekerjasama dengan baik kerana jika kedua-dua parti ini tidak dapat dipecah-belahkan oleh Umno maka keputusan pilihanraya yang akan datang ini adalah “predictable”.

Datin Paduka Shuhaimi Baba, pengarah filem itu menafikan bahawa filem itu membawa maksud untuk menuduh LKS terlibat memyebabkan tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 itu. Saya mempunyai andaian yang isu ini dengan sengaja dipermainkan kerana politik dan kuasa.

Ramai yang bercakap dan menghubungi saya berpendapat ini merupakan permainan politik yang sangat kotor dan LKS sepatutnya mengambil tindakan Mahkamah jika cukup kesahihan yang isu ini diperbesarkan semata-mata kerana permainan politik desperado pihak yang ketagih dengan kuasa itu.

Jika isu fitnah itu menyebabkan kecederaan kepada intergriti pemimpin maka mangsa kepada isu itu sememangnya wajar untuk tampil mengambil tindakan undang-undang kerana isu ini akan menyebabkan perpecahan rakyat yang berdasarkan pada kaum.

Isu yang dimainkan oleh pihak yang menyokong pemerintah ini adalah isu yang tidak bertanggungjawab dan ia bertentangan dengan slogan-slogan pihak pemerintah untuk menjaga kepentingan kesemua kaum di negara ini.

Kita sudah merdeka selama 55 tahun dan isu perkauman ini nampaknya diburukkan oleh pihak parti-parti yang memerintah. Sekarang ini, rakyat pula yang bersabar dengan tindak-tanduk BN untuk mengelakkan pergaduhan antara kaum di negara ini. Tindakan media massa dan alternatif yang memihak kepada BN sengaja mahu mengingatkan peristiwa berdarah itu untuk menakut-nakutkan orang Melayu dan untuk menyemai perasaan benci-membenci di antara kaum.

Kita elok memberi pandangan kepada pihak parti-parti yang memerintah supaya berkelakuan baik untuk mendapat penghormatan rakyat, bukannya menabur fitnah terhadap mana-mana pihak untuk mengekalkan kuasa. Walau bagaimana pun rakyat tidak mudah untuk menerima tohmahan ini kerana rakyat sudah tersedia dengan persepsi yang sangat buruk terhadap parti pemerintah sekarang ini.

Adalah tidak bermoral untuk sesiapa memperjudikan keselamatan negara kerana ingin terus berkuasa dengan memecah-belahkan rakyat. Bagi LKS, beliau berhak untuk mempertahankan diri beliau daripada korban fitnah yang tidak terperi kotornya ini.

LKS sepatutnya ke mahkamah dalam masa yang terdekat ini kerana fitnah mesti diperangi habis-habisan. Isu ini keluar kerana pilihanraya akan tiba. Rakyat ramai harus bangkit untuk menolak sebarang tindakan yang bersifat perkauman untuk meninggalkan sebuah negara yang aman damai kepada generasi kita yang akan datang.

Bagi rakyat pula kita seharusnya tidak terjebak dengan permainan kotor sesetengah pihak ini kerana kita juga tidak boleh membiarkan pihak ini memperbodoh-bodohkan kita dan bersekongkol dengan niat jahat pihak tersebut.

Kita memperjuangkan kehidupan rakyat yang muhibbah dan harmonis kerana sejak merdeka kita mempunyai satu matlamat yang “ultimate”, iaitu penyatuan semua kaum dan mencapai tahap “national unity” yang optima.

Itulah sebaik-baik peninggalan untuk generasi kita yang akan datang. — aspanaliasnet.blogspot.com

Print Friendly

  1. #1 by dagen wanna "ABU" on Thursday, 23 August 2012 - 9:08 am

    Setuju, seratus peratus. Nampaknya umno dah sesat jalan serta hilang akal. Tak tahu langkah yg mana satu patut diambil sebab ketakutan – takut hilang kuasa dan kemewahan. Akibatnya, salah langkah sini sana.

    JJ1B
    RR1C!

You must be logged in to post a comment.