Mat Zain’s letter to IGP on “Statutory Declaration Bala Menggugat Kewibawaan PM Najib”


Mat Zain bin Ibrahim | 15 Ogos 2012

Kepada;

YDH Tan Sri Hj.Ismail Hj.Omar,IG,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
Bukit Aman.

YDH Tan Sri,

STATUTORY DECLARATION BALA MENGGUGAT KEWIBAWAAN PM NAJIB.

Saya amat mengalukan dan teruja dengan kenyataan YB Dato Seri Mohamad Nazri Aziz(YB Nazri) Menteri di-JPM, memperakukan komitmen Kerajaan menyiasat pendedahan RPK berkenaan pembikinan dan kandungan affidavit P.I.Bala, sepertimana yang dilaporkan dalam media pada 12 Ogos.

Sekiranya pendedahan RPK sedemikian itu diberi perhatian serious oleh Kerajaan, maka saya percaya pendedahan yang saya telah buat berkaitan pemalsuan dan penipuan, yang dilakukan oleh Gani Patail dan Musa Hassan juga tidak diketepikan.

Lebih-lebih lagi saya adalah Pegawai Penyiasat kes yang terlibat dan telah memberi perakuan terbuka, bersedia memberi keterangan “no holds barred” dalam Tribunal jika diadakan.Saya sarankan Tan Sri merujuk kepada Surat Terbuka saya bertarikh 27.6.2011 yang saya percaya sangat jelas.

Sebelum membincangkan berkaitan SD Bala,sukacita saya mengingatkan sekali lagi berkaitan janji YB Nazri di-Parlimen pada 30.3.2011, akan memaklumkan hasil siasatan beliau berkaitan status harta berjumlah RM 40 juta, yang dikatakan diperolehi oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik secara rasuah dan salahguna kuasa.

Jika mengesahkan fakta semudah yang jelas seperti diatas ini, masih belum dibuat oleh Kerajaan setelah 17 bulan memberi perakuan, maka berapa lamakah rakyat boleh mengetahui keputusan penyiasatan lanjut pemalsuan berkaitan SD Bala pula, yang belum dimulakan itu.

Harapan rakyat.

Saya percaya orang ramai yang mengikuti perkembanagn perkara ini, mengharapkan sebarang penyiasatan berkaitan SD Bala itu akan meliputi juga persoalan mengapa Gani Patail enggan mengenakan pertuduhan terhadap Bala, sedangkan beliau sendiri mengaku SD kedua beliau itu adalah palsu. Malahan, Bala berani mencabar Peguam Negara mengenakan pertuduhan keatasnya.Perkara ini juga ditimbulkan dalam Parlimen dalam bulan Jun 2011.

Anehnya terdapat beberapa kes dimana keterangannya cukup lemah tetapi orang yang disyakki masih dituduh. Terdapat juga kes dimana keterangan dipalsukan semata-mata untuk menuduh seseorang mengikut sesuka hati Peguam Negara.

Penjelasan Gani Patail bahawa SD Bala itu akan hanya menjadi kesalahan jika tujuan pembikinannya adalah untuk digunakan dalam sesuatu prosiding kehakiman, bukan sahaja mengelirukan, malahan boleh dianggap sebagai keyataan palsu untuk memperdayakan rakyat.

Seksyen 193 Kanun Keseksaan sangat jelas menerangkan bahawa membuat SD palsu adalah suatu kesalahan jenayah, tidak kira sama ada pembikinannya adalah untuk tujuan digunakan di-Mahkamah atau untuk lain-lain tujuan. Yang beza hanya dari segi hukuman. Jika untuk digunakan di-Mahkamah, dendanya ialah penjara 7 tahun, manakala bagi kegunaan lain-lain hal pesalahnya boleh dihukum sehingga 3 tahun. Perbuatan itu tetap suatu kesalahan jenayah.

Tawar menawar untuk membuat SD ketiga?

RPK turut mendedahkan peristiwa tawar-menawar untuk mendapatkan Bala membuat satu lagi SD. Jika dilakukan menjadikan tiga kesemuanya SD yang akan diikrarkan oleh Bala. Selain itu beberapa nama personaliti tertentu dikaitkan dalam perbuatan tawar menawar ini.

Saya menyatakan bahawa barang siapa dengan secara curang, mendorong atau menggalakkan mana-mana orang mereka keterangan palsu adalah kesalahan jenayah serius dan sepatutnya pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera, tanpa mengira siapa yang terlibat.

Gani Patail juga memaksa seorang Doktor mereka tiga keterangan palsu.

Saya telah mendedahkan beberapa kali bahawa dalam penyiasatan insiden mata-lebam,Gani Patail telah mendorong malah “memulas tangan” dan memaksa seorang Perunding Pathologist, Dr.Abdul Rahman Yusof menyediakan tiga(3) laporan perubatan palsu berkaitan kecederaan Anwar Ibrahim.

Ketiga-tiga laporan yang dipalsukan itu bukan sahaja berada dalam tangan pihak berkuasa, malah dalam tangan YAB Perdana Menteri sendiri sejak bulan Februari 2009.

Sangat mendukacitakan, jika setelah segala bukti pemalsuan dan penipuan itu didedahkan kepada Perdana Menteri sendiri, sejak tiga tahun setengah yang lalu, beliau masih belum dapat membuat sesuatu keputusan. Kini Kerajaan cuba pula mengalihkan pandangan rakyat kepada isu lain yang tidak tentu kesudahannya.

Kesan SD Bala terhadap kewibawaan PM Najib.

Berdasarkan penegasan Bala dalam SD beliau yang pertama diikrarkan pada 3.7.2008, kita boleh menyimpulkan bahawa, bukan sahaja PM Najib pernah berjumpa dan kenal dengan Altantuya Shariibuu, malah mempunyai hubungan yang intim dengan mendiang wanita Mongolia itu.
Selagi SD Bala tersebut itu tidak dicabar kesahihannya di-Mahkamah, maka selagi itu kenyataan Bala sedemikian boleh diambil sebagai benar. Malah Mahkamah Persekutuan sendiri telah memutuskan dalam satu kes tahun 1996 bahawa jika penegasan mustahak dalam sesuatu affidavit tidak dicabar, maka penegasan tersebut hendaklah dianggap sebagai telah diakui benar.

Penafian menerusi akhbar atau sekalipun PM Najib telah mengangkat sumpah dalam Masjid, tidak menggugat kesahihan SD pertama Bala itu. Jauh sekali jika penegasan Bala dinafikan oleh pihak ketiga.

Kini terserah kepada PM Najib,sama ada untuk mencabar kesahihan penegasan Bala di-Mahkamah ataupun membiarkan sahaja begitu dan mengaku segala penegasan Bala dalam SD pertama itu yang termasuk mengenai hubungan PM Najib dan Altantuya Shariibuu adalah benar.
Abdul Razak Baginda terlepas dari tali gantung semata-mata kerana affidavit beliau enggan dicabar oleh Pendakwa Raya.

Tindakan terhadap Bala kerana membuat SD palsu.

Apa pun keadaanya,Polis wajib mengambil tindakan terhadap Bala kerana membuat SD kedua yang palsu. Bala sendiri yang telah membuat pengakuan terbuka SD kedua beliau itu adalah palsu, manakala SD pertama sebagai benar.

Jelas Gani Patail telah hilang keupayaan untuk menyempurnakan fungsi jawatannya dan sewajarnya disingkirkan. Ketidakupayaan Gani mungkin disebabkan beliau sedar yang beliau sendiri bergelumang dengan perbuatan memalsukan dan mereka keterangan palsu.

Kesalahan membuat SD dan affidavit palsu adalah kesalahan dibawah Kanun Keseksaan. Saya berpendapat kes ini lebih sempurna dikendalikan oleh Polis dan bukan SPRM.

Jika SD Bala diuji dengan affidavit Razak Baginda, ada kemungkinannya yang affidavit Razak mengandungi penegasan palsu. Berdasarkan beberapa keterangan baru yang muncul sedikit demi sedikit berkaitan perbicaraan kes rasuah Scorpene di-Paris, telah menampakkan beberapa kenyataan Bala dan Razak Baginda dalam SD dan affidavit masing-masing meragukan, khususnya penegasan mereka berdua berkaitan dengan Altantuya Shariibuu.

Nasib Azilah Hadri dan Sirul Azhar.

Dua warga polis diatas, sedang menunggu hukuman gantung sampai mati. Sekiranya mereka berdua sememangnya bersalah, maka itu adalah hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka mengikut undang-undang.

Sekiranya kedapatan salah mereka adalah disebabkan keengganan Pendakwa Raya mencabar kesahihan affidavit Razak Baginda, ataupun pihak pendakwa menyembunyikan keterangan-keterangan material daripada pengetahuan Mahkamah, atau pun apa-apa ketinggalan yang disengajakan oleh Peguam Negara semasa perbicaraan, untuk melepaskan Razak Baginda, maka Tan Sri akan dipertanggung jawabkan sekiranya berdiam diri.

Kita sama-sama tahu bahawa pemalsuan,merekacipta keterangan palsu dan pendakwaan berpilih dan lain-lain pernah didakwa berlaku dan adalah tidak mustahil ianya berlaku lagi dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya.

Janganlah hendaknya pucuk pimpinan PDRM membiarkan pihak mana sekalipun, menjadikan Pegawai atau angguta Polis sebagai haiwan sembelihan.

Salam sejahtera. Selamat Hari Raya Eidul Fitri, maaf zahir batin.

Yang benar,
Mat Zain bin Ibrahim.
15.08.2012.

Print Friendly

  1. #1 by dcasey on Wednesday, 15 August 2012 - 12:34 pm

    You cover me, I cover you; you help me, I help you is the name of the game in the whole hierarchy of BN. Don’t let them continue to make this a game changer anymore. Make it an end game instead (come GE13). Kick these corrupted regime out and let the truth prevail.

  2. #2 by good coolie on Wednesday, 15 August 2012 - 10:50 pm

    Alangkah baiknya ada ramai lagi pegawai/bekas pegawai kerajaan seperti En. Mat Zain Ibrahim yang sanggup mendedahkan perkara-perkara penting mengenai kesalahan jenayah seperti ini. Orang biasa seperti saya, manalah akan dapat maklumat mengenai kemungkinan berlakunya “kongkalikong” dalam jentera pentadbiran kerajaan kita. Semoga banyak lagi hero seperti Mat Zain muncul dan mara ke hadapan demi kebaikan negara kita. Bagi saya, saudara Mat Zain telah berjasa secara sama taraf dengan juara-juara Olympic kita ( Datuk Lee dan Pandaleela Renong). A medal for you, Sir!

You must be logged in to post a comment.