Thor Kah Hoong
The Malaysian Insider
6 March 2016
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berbual dengan THOR KAH HOONG, mengimbas kembali parti politik yang diterajuinya selama 50 tahun seiring dengan tempoh 5 dekad beliau sebagai seorang ahli politik, yang melihat banyak kenangan suka dan duka (termasuk pernah ditahan pihak berkuasa 3 kali), ketika pembangkang politik memusuhinya, meramalkan apa yang dijangka akan menjelang dan pendapatnya mengenai kemungkinan mencari titik persamaan dengan bekas musuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.
TMI: Bila anda berminat dalam politik dan di mana ia mula berakar umbi?
Lim: Sejak zaman persekolahan saya.
TMI: Zaman persekolahan?
Lim: Dalam erti kata lain, kami sangat berminat dengan peristiwa – zaman sekolah tahun 50-an, saya berada di sekolah menengah 1955-1959 – itu adalah masa di mana terdapat banyak perkembangan yang menarik di dalam dan luar negara – ’55 ada Persidangan Bandung, ’56 ada nasionalisasi Terusan Suez dan revolusi Hungary, dan ’57 tahun kemerdekaan kita – dan di dalam kelas saya, terdapat satu kumpulan yang mengikuti semua peristiwa ini.
Saya masih ingat tahun akhir saya di sekolah, ’59, menunggu keputusan peperiksaan tingkatan 5 kami, zaman di mana kami tidak ada IT untuk mengalihkan perhatian kami, yang ada hanya kami berbasikal sekitar bandar. Kami akan pergi ke sekolah yang sunyi pada malam, duduk di tepi longkang dan bendang, dan seseorang akan berkata, ‘mari kita pergi ke dunia luar dan tubuhkan parti politik’.
TMI: Jadi, semasa saya bermimpi untuk menjadi Robin Hood atau Hercules, anda bermimpi untuk menjadi seorang ahli politik?
Lim: (Ketawa) Tidak, tidak begitu, bukan menjadi seorang ahli politik. Ia lebih kepada berminat dengan apa yang berlaku di negara ini. Persidangan Bandung – saya katakan ia adalah acara politik pertama yang menarik perhatian saya.
(NB: Persidangan Bandung adalah mesyuarat 29 negara-negara Asia dan Afrika yang berlangsung pada April 18-24, 1955 di Bandung, Indonesia. Tujuan persidangan adalah untuk menggalakkan hubungan ekonomi dan kebudayaan dan menentang neo/penjajahan. Persidangan ini adalah peristiwa penting dalam pembentukan Pergerakan Negara-negara Berkecuali.)
Selepas menjadi setiausaha kepada ahli pengasas DAP, Devan Nair, Lim Kit Siang mula berkecimpung dalam politik secara serius. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.
Selepas menjadi setiausaha kepada ahli pengasas DAP, Devan Nair, Lim Kit Siang mula berkecimpung dalam politik secara serius. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.
TMI: Beralih kepada pembentukan parti (DAP didaftarkan pada 18 Mac 1966), adakah anda ahli PAP, seperti ramai ahli pengasas lain, mungkin sejak anda menjadi wartawan di Singapura?
Lim: Tidak, saya tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti politik di Singapura. Walaupun saya terlibat dalam kesatuan sekerja, NUJ, dan, sudah tentu, masa itu kesatuan itu amat dipolitikkan.
(Lim membayangkan tentang “kempen politik” pertama beliau bertanding sebagai setiausaha NUJ menentang penyandangnya Mahadeva. Lim merasakan Mahadeva lebih sibuk dengan isu antarabangsa dan kepentingan tinggi negara tetapi mengabaikan isu asas melibatkan orang biasa seperti beras, menganggapnya isu biasa, ketika landskap geopolitik negara mengalami pergolakan.)
Lim: Saya masih ingat, dia duduk tidak jauh dari saya. Saya menulis surat kepadanya, memberi butiran mengenai beberapa isu. Dia baca surat itu dan mengoyaknya. Itu memulakan kempen saya terhadapnya.
TMI: Jadi, boleh dikatakan itu kempen politik pertama anda yang berjaya?
LIM: (Ketawa) Ia bukan politik. Saya cuma rasa dia tidak menangani isu yang perlu. Saya tidak terlibat dalam politik di Singapura. Saya mengikuti apa yang berlaku di Malaysia. Saya tidak pernah berasa seperti seorang warga Singapura. Saya rasa canggung di sana.
Saya pulang untuk membuat liputan persidangan Parlimen pada Ogos ’65, tetapi dengan pemisahan (Singapura dari Malaysia), tidak ada apa-apa lagi untuk saya buat liputan, jadi saya balik.
(Lim kemudiannya menyentuh mengenai Devan Nair, ahli pengasas DAP yang kemudiannya menjadi presiden Singapura, yang menyenaraikan dia ke dalam DAP.)
Lim: Saya kenal Devan sebagai aktivis kesatuan sekerja, membuat liputan mengenainya. Kami akan minum-minum dan saling berhujah. Saya rasa, dia anggap saya seorang yang agak ortodoks… Dia menghubungi saya, minta saya jadi setiausahanya. Saya ketika itu sudah di RTM, setelah selesai dengan The Straits Times di Singapura, jadi saya kata ‘okay’. Begitulah bagaimana saya mula berkecimpung dalam politik.
TMI: Mari kita bercakap tentang kemenangan pilihan raya pertama anda, sebagai ahli Parlimen Kota Melaka, dalam pilihan raya umum yang juga menandakan episod berdarah dalam sejarah negara ini – 13 Mei 1969. Adakah anda fikir perarakan kemenangan melalui KL itu yang mencetuskannya?
Lim: Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa mengenainya. Saya tidak terlibat. Walaupun saya dituduh mengetuai perarakan itu, membuat penghinaan anti-Melayu, tetapi saya tidak berada di KL ketika itu. Bagimanapun, walaupun sekiranya wujud sentimen itu, orang menjerit “balik kampung”, itu bukan alasan memulakan rusuhan.
TMI: Terdapat laporan menyatakan kemenangan pembangkang menandakan kejatuhan Umno. Adakah itu sentimen dalam DAP? Jika ya, bukankah sedikit terlebih ghairah dengan hanya 11.9% undi?
Lim: Kejatuhan Umno? Saya tidak fikir sentimennya begitu, walaupun wujud keghairahan pada kemenangan yang kita tidak jangka akan perolehi, serta kebuntuan di Selangor. Saya tidak fikir ada mood perayaan kerana keputusan itu dikatakan menandakan “kejatuhan Umno”. Ia tidak realistik
Sebagai seorang pemberontak, pembawa masalah, saya mengambil keputusan tidak mengambil penerbangan itu (dari KK ke KL) dan pergi berjumpa orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.
Sebagai seorang pemberontak, pembawa masalah, saya mengambil keputusan tidak mengambil penerbangan itu (dari KK ke KL) dan pergi berjumpa orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.
TMI: Anda berada di Melaka pada masa itu?
Lim: Saya berada di Melaka pada hari mengundi, 10 Mei. Dulu tidak seperti sekarang, pusat kiraan undi berasingan. Dulu semua peti undian dikumpul dari semua tempat dan dibawa ke 1 tempat untuk dibuka. Kertas undi bertimbun. Memakan masa amat lama untuk mengira. Keputusan hanya akan diumum jam 3, 4, 5 pagi.
Jadi, selepas keputusan diumumkan, kami adakan sambutan kemenangan semasa sarapan dan saya pulang ke rumah saya di PJ. Kepenatan. Pada 12 haribulan, saya kembali ke Melaka untuk perarakan kesyukuran, dan malam itu saya menghadiri perhimpunan tanda terima kasih.
Pagi 13 haribulan saya terbang ke Kota Kinabalu (KK), kerana pilihan raya di negeri Malaysia Timur diadakan 1 atau 2 minggu kemudian, dan beberapa calon bebas meminta saya datang membantu mereka.
Ada perhimpunan besar di KK waktu itu. Pada masa itu kita terpaksa berdepan dengan Tun Mustapha (Harun) yang digeruni, dianggap seperti tuhan. Kami tidak pedulilah itu semua. Cara kami beroperasi, kami pergi sana dan hentam apa saja. Semasa perhimpunan itu, saya dengar ada kejadian di KL.
Pagi 14 haribulan, Mustapha menghantar seorang pegawai imigresen meminta saya keluar dari sana. Pada masa itu hanya ada 1 penerbangan harian KK-Singapura, kira-kira jam 3 petang. Sebagai seorang pemberontak, pembawa masalah, saya mengambil keputusan tidak mengambil penerbangan itu dan pergi berjumpa orang ramai di KK.
Nasib baik juga saya terlepas penerbangan itu. Jika tidak, saya tidak akan berada di sini. Apabila saya pergi ke lapangan terbang, Cawangan Khas memberitahu saya, seorang Bajau berkuda datang ke lapangan terbang cari saya nak bunuh saya kerana saya hina ‘tuhan’ mereka.
Pada 15 haribulan, polis tahan saya bagi memastikan saya tidak terlepas penerbangan. Saya berada di Singapura selama 3 hari. Keluarga saya meminta saya jangan pulang kerana saya disenarai hitam, pasti kena lah. Tetapi saya beritahu diri saya, saya baru saja dipilih, bagaimana untuk tidak balik?
Jadi saya pulang, mendarat di Subang, KL masih di bawah perintah berkurung. Kami berbaris di landasan menuju pihak imigresen. Saya bertanya kepada mereka jika mereka sedang menunggu saya. Ketika itulah mereka bawa saya pergi.
Dalam kereta, 2 orang di belakang saya, dan 2 orang di hadapan. Saya terhimpit. Dalam perjalanan pulang saya nampak kereta terbakar, dan saya terfikir, mereka ini boleh saja membawa saya ke suatu tempat, bunuh saya, dan tiada siapa yang akan tahu. Mereka membawa saya ke Jalan Bandar dan selepas pemprosesan, mereka membawa saya ke Kuala Selangor untuk ditahan.
TMI: Tahanan selama 18 bulan?
Lim: 17
TMI: Apakah yang paling membosankan dalam tempoh itu? Adakah kebosanan itu sendiri? Makanan? Komunikasi dengan dunia luar?
Lim: Dalam beberapa minggu pertama daripada 60 hari itu, mereka tidak membenarkan sebarang lawatan keluarga. Kemudian ia sepatutnya menjadi sekali seminggu. Mereka tidak mahu keluarga saya tahu saya ditahan di Kuala Selangor, jadi saya bertemu mereka di balai polis PJ. Selepas 60 hari mereka mengambil keputusan untuk menahan saya, jadi saya dibawa ke Muar.
TMI: Bagaimanakah anda mengisi masa anda di Muar?
Lim: Ketika itulah saya buat keputusan untuk mencari beberapa buku dan belajar undang-undang.
TMI: Setelah menyertai Badan Peguam, adakah anda pernah berkerja sebagai peguam atau anda terlalu sibuk disaman atau menyaman?
Lim: Beberapa bulan. Saya buka sebuah pejabat di Melaka. Tetapi tidak benar-benar mengusahakannya.
TMI: Selepas itu, apa yang boleh dikatakan mengenai beberapa tahun kemerosotan dialami parti, sejak tahun 70-an hingga 90-an, kemenangan kecil di sini sana, adakah anda pernah rasa seperti sedang menghantuk kepala ke dinding yang tidak akan retak?
Lim: Ya… tetapi pada masa itu, anda tidak fikir anda mahu menjadi seorang ahli Parlimen. Membentuk kerajaan tidak pernah wujud dalam fikiran kami. Ia sesuatu yang berbaloi untuk dilakukan.
TMI: Apakah perkara utama yang menjadi penghalang anda ketika itu? Kekurangan kewangan?
Lim: Kami tidak beroperasi seperti mereka beroperasi. Mereka habiskan RM100, 000, kami habiskan RM1, 000 atau RM10, 000. Skala yang berbeza. Kami memperolehi benda percuma, atau melalui khidmat sukarelawan.
Pilihan raya tahun ’69 – Chian Heng Kai, setiausaha saya – yang kemudian ditahan selama 4 tahun, 9 bulan di bawah ISA dan dipilih menjadi ahli Parlimen di Perak semasa dalam tahanan – dia membelanjakan kurang daripada RM500 untuk menjadi ahli Parlimen Bandar Penggaram (Batu Pahat) kerusi Dewan Undangan Negeri .
Kami tidak mempunyai wang yang cukup, tetapi wang tidak pernah menjadi masalah. Itu ialah modus operandi kami dalam jangka masa yang lama – mengumpul sumbangan kecil daripada penyokong. Ahli perniagaan zaman dahulu, selama hampir 4 dekad, tidak mahu melibatkan diri dengan kami.
Operasi DAP sentiasa berdikari. Kami tidak membiayai calon kami untuk bayaran deposit dan perbelanjaan pilihan raya. Calon perlu membayar untuk bahan pilihan raya dan deposit mereka.
Politik wang adalah satu sumpahan. Itulah sebabnya skandal kewangan RM2.6 bilion Najib (atau adakah ia RM4.2 bilion?) yang mungkin sebahagian daripada RM55 bilion yang melibatkan 1MDB, begitu korup sekali. Malaysia memerlukan undang-undang yang berkesan untuk memastikan sumbangan politik yang telus dan bertanggungjawab.
TMI: Apa yang menahan kemaraan parti itu ketika itu? Persepsi mengenainya sebagai sebuah parti Cina?
Lim: Kami tidak menganggap diri kami sebuah parti Cina. Pada pilihan raya awal, kami bertanding di kubu kuat Umno. Pilihan raya kecil pertama ditandingi DAP ialah di Kampung Baru menentang Razali (Tan Sri Ahmad Razali Mohamed Ali), abang ipar Dr Mahathir.
Kami sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia. Kami perlu masuk ke kawasan itu dan mencuba. Di situlah saya memberikan ceramah politik yang pertama. Ketika itu saya sangat teruk. Kali ke-2 ialah di Tampoi, Johor.
Kali ke-3 menentang (Tun) Musa Hitam. Pada awalnya, kami meletakkan calon Melayu di kerusi negeri dan memenangi 2 kerusi, 1 di Perak, 1 di Negeri Sembilan. Sudah tentu kami mempunyai halangan untuk meraih sokongan orang Melayu, tapi kami tidak pernah terfikir untuk meninggalkan mereka.
TMI: Adakah tahun 1999 detik paling perit dalam karier politik anda? Satu-satunya pilihan raya di mana anda tewas. Bukan sahaja anda, tetapi Karpal, harimau Jelutong juga tersungkur. Dan DAP…
Tiada penyesalan dalam percubaan gabungan dengan PAS. Cuma kesal yang ia gagal. Akhirnya, kami berpegang teguh pada prinsip. Sekiranya tidak, kami terpaksa menjawab kepada rakyat. Itu tidak dapat dielakkan, kata Lim Kit Siang menyentuh isu kegagalan gabungan dengan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.
Tiada penyesalan dalam percubaan gabungan dengan PAS. Cuma kesal yang ia gagal. Akhirnya, kami berpegang teguh pada prinsip. Sekiranya tidak, kami terpaksa menjawab kepada rakyat. Itu tidak dapat dielakkan, kata Lim Kit Siang menyentuh isu kegagalan gabungan dengan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.
Lim: (Ketawa) Ia perit, sememangnya detik yang perit, tetapi saya tak pasti sama ada ia paling perit.
TMI: Ia juga merupakan usaha terawal DAP bergabung dengan PAS.
Lim: Kami tidak dapat menarik hati pengundi… MCA, Gerakan mendakwa 1 undi untuk DAP ialah undi untuk PAS, untuk negara Islam, untuk menghapuskan sekolah Cina, tiada lagi tokong, tiada lagi babi. Ia mengambil masa bagi rakyat memahami yang itu tanggapan salah. Sebab yang paling penting di akhirnya ialah samada kita dapat memikat hati rakyat, dan kita berjaya.
TMI: Tiada penyesalan kegagalan gabungan dengan PAS?
Lim: Tiada penyesalan dalam percubaan sebegitu. Cuma kesal yang ia gagal. Akhirnya, kami berpegang teguh pada prinsip. Sekiranya tidak, kami terpaksa menjawab kepada rakyat. Itu tidak dapat dielakkan.
TMI: Menurut anda pertandingan mana yang paling sengit, bertanding juga walaupun anda merasakan tiada peluang langsung untuk menang? Adakah di Johor ketika pilihan raya terakhir, menentang menteri besar? Mungkin lebih awal daripada itu? Berhijrah ke Pulau Pinang pada 1986?
Lim: Gelang Patah merupakan salah satu daripadanya. Tiada jaminan menang. Risikonya besar.
Satu lagi pada 1986, apabila saya berpindah dari Melaka ke Pulau Pinang bertanding di Tanjong menentang penyandang kuatnya, (Tan Sri) Koh Tsu Koon. Juga tiada jaminan menang. Risiko besar.
Satu lagi ialah pada 1990 di kerusi negeri Padang Kota menentang Chong Eu. Tidak dapat meramal keputusannya sehinggalah undi dikira.
Malah, pada pilihan raya umum 1999, berpindah dari Tanjong ke Bukit Bendera merupakan risiko besar kerana cuba menyelamatkan kerusi DAP,ianya sesuatu yang sukar. Saya tewas. Begitu juga di kerusi DUN Bandar Hilir di Melaka pada 1982, yang dipenuhi risiko disebabkan rungutan penduduk terhadap penyandang kerusi wakil DAP. Saya berpindah dari Kubu ke Bandar Hilir bagi menyelamatkan kerusi itu, tetapi gagal.
TMI: Saya perlu bertanya soalan klise ini: adakah anda menyesal tidak dapat meluangkan masa untuk keluarga, terutama anak yang sedang membesar?
Lim: (Ketawa) Sekarang pun masih ada penyesalan. Rumah saya macam hotel. Check in, check out. Apatah lagi pada zaman dahulu. Tetapi saya selalu pastikan saya hubungi mereka setiap hari untuk pastikan semuanya baik.
TMI: Adakah anda sepanjang masa mengikuti perkembangan semasa? Bagaimana pula dengan waktu riadah seperti berkebun, bersenam, televisyen?
Lim: (Ketawa) Tidak.
TMI: Masih membaca buku?
Lim: Jarang sekali.
TMI: Jadi anda ketagih Internet mengikuti politik sepanjang hari. Berapa lama lagi agaknya sampai anda akan bosan dengan politik?
Lim: Berapa lama lagi? Saya sendiri tidak tahu.
TMI: Baik, kita buat ramalan suka-suka. Sarawak. Bolehkah DAP beralih daripada kubu kuat di kawasan bandar dan mula bertapak di pedalaman? Apakah faktor capaian, kewangan dan kesetiaan penduduk setempat terhadap si panglima “berambut putih” itu masih menjadi masalah besar?
Lim: Apakah kami dapat bertapak di pedalaman? Kami sedang mencuba sedaya upaya melalui Impian Sarawak, dan sebagainya, tetapi pilihan raya ini akan menjadi sukar kerana (Tan Sri) Adenan (Satem) seorang ketua menteri yang popular. Kewangan serta masalah capaian ke kawasan pendalaman juga menjadi halangan besar.
Dalam politik, kita tidak perlu menjadikan semua perkara soal peribadi, walaupun perbezaan yang wujud sangat besar, kata Lim Kit Siang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.
Dalam politik, kita tidak perlu menjadikan semua perkara soal peribadi, walaupun perbezaan yang wujud sangat besar, kata Lim Kit Siang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.
TMI: Sewaktu mula-mula bekerjasama dengan PAS, mereka yang curiga terbukti benar, gabungan itu tidak berjaya. Tidak juga berjaya kali ke-2. Melihatkan pertikaian terbaru di Pulau Pinang antara DAP dan PKR, entah apa lagi perbezaan pendapatan yang bakal datang, dan golongan yang curiga kini muncul lagi, kekal percaya yang gabungan ini akan gagal lagi. Malah sudah ada cakap-cakap yang akan wujud pertembungan bersemuka antara DAP dan PAS dalam PRU akan datang. Respon anda?
Lim: Pakatan politik, terutama bagi pembangkang, bukan mudah, tetapi realiti politik di Malaysia menjadikannya sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Tetapi ia perlu bersandarkan dasar bersama. Jika tidak, ia hanya bersifat mengambil kesempatan saja.
TMI: Bagi anda, ke mana hala tuju parti ini sekarang?
Lim: DAP perlu terus bergerak ke depan, daripada parti pilihan penduduk bandar sehinggalah melebarkan sayap ke kawasan luar bandar, dan akhirnya dapat diterima semua pihak.
TMI: Melihat kepada lokasi ibu pejabat DAP (bersebelahan jejambat yang sepanjang masa sesak, ditambah pula kenangan berdarah kawasan ini pada waktu dahulu), adakah anda pernah terfikir, sewaktu hayat anda, anda akan dapat menjejak kaki di atas lantai marmar Putrajaya sambil tertanya-tanya bagaimana menggunakan segala ruang dan peluang besar yang ada di situ?
Lim: Pembangkang di Putrajaya? 10 tahun lepas, impian itu tidak pernah dimimpikan. Sekarang, soalnya bukan lagi sama ada, tetapi bila. Saya berharap ia berlaku ketika saya masih hidup. Harap-harapnya ketika PRU ke -14 nanti.
TMI: Kembali berjejak ke realiti. Ada ungkapan Shakespeare yang mengatakan kesengsaraan memesrakan mereka yang asing dan berbeza. Begitu juga politik. Anda dan Dr Mahathir, bersembang sambil minum-minum?
Lim: Saya perlu membiarkan jawapan lebih lengkap wujud selari dengan perkembangan masa depan. Tetapi saya ingin katakan yang dalam politik, kita tidak perlu menjadikan semua perkara soal peribadi, walaupun perbezaan yang wujud sangat besar. Perkara itu bukan mudah, kerana beliau bukan sahaja pernah memenjarakan saya, tetapi juga Guan Eng (anak Kit Siang, ketua menteri Pulau Pinang). – 6 Mac, 2016.