Merdeka negara tapi tidak di jiwa


– Mohd Tajuddin Mohd Rasdi
The Malaysian Insider
31 August 2015

Dalam coretan ringkas ini saya ingin menanam satu persoalan dalam benak pemikiran orang-orang Melayu yang tinggal di sebuah negara bernama Malaysia.

Soalannya mudah sahaja. Negara yang kita kenali sebagai Malaysia dan pada suatu ketika dahulu dinamakan Tanah Melayu pun merdeka lebih separuh kurun, persoalannya sudahkah jiwa orang Melayu itu merdeka?

Dalam coretan sejarah dan tulisan dokumen tercatat negara ini merdeka daripada orang Inggeris, dalam julangan bangunan yang bercakar-cakar melonjak dari bumi dapat kita lihat kemerdekaan ekonomi dari aspek usaha keringat kita sekalian.

Dalam berpuluh-puluh universitas dan berjuta-juta graduan yang menghambakan diri pada industri dapat kita terpegun erti kemerdekaan kita daripada telunjuk orang lain dan bergembira kita atas fikiran dan usaha anak bumi terpijak sebagai pendorong dan perancang bakal-bakal profesional negara ini.
Namun, saya amat hairan kenapa orang-orang Melayu masih celaru otak pemikirannya, terlalu gelisah hati sanubarinya dan tetap tidak selesa di mana-mana kedudukannya dalam dunia ini.

Keanggotaan polis dan tentera hampir 100% Melayu dan banyaknya sultan bersemayam di takhta masing-masing serta hampir 80% ahli Kabinet adalah…seperti kata arwah ayah saya, depa orang kita jugak! Maknanya Melayu, rata-rata Melayu.

Bahkan di universiti awam di Johor tempat saya menumpang khidmat, 90% ahli akademik dengan pangkat profesor, profesor madya dan pensyarah kanan adalah…orang kita juga!

Melayu sudah ada “Masters” malahan dah ramai yang ada PhD tetapi bila isu kenegaraan muncul yang menjadi buah mulut, isu apa? Tidak lain dan tidak bukan isu Cina, isu Kristian, isu Yahudi dan yang dianggap musuh utama, orang-orang DAP itu lah!

Kalau orang-orang kampung terperangkap dengan jiwa yang resah gelisah dan berada dalam keadaan ketidakyakinan tentang 4 isu-isu ini saya tidak lah ambil pusing sangat sebab mereka kurang pendedahan pada dunia akademia dan sebagainya.

Tetapi pak profesor termakan juga lontaran-lontaran fitnah, pembohongan dan tafsiran cetek daripada sesebuah parti. Saya tahu kerana kebanyakan mereka kenalan saya selama 27 tahun di beberapa buah universiti awam.

Kenapa begitu? Kenapa ada banyak rasa sangsi, banyak rasa gelisah dan banyak lagi yang berperasaan benci dan jijik kepada orang-orang yang bergelar “Cina”, “Yahudi”, “Kristian” dan yang paling teruk dalam teruk, yang bergelar “DAP”.

Lebih menjijikkan bagi orang Melayu bukan lagi “Cina DAP” tetapi bangsa Melayu yang masuk DAP!

Ya, Melayu yang mak bapak dia Melayu. Bukan kahwin campur macam YB Zairil tu. ‘Dia tu Cina’ sindir rakan saya seorang profesor dari universiti awam di sebelah utara dan “seberang laut”.

Ya. Melayu yang terbongkok-bongkok sembahyang 5 waktu dan yang kahwinkan anaknya pakai khidmat ustaz sebagai jurunikah.

Melayu “pure”. Melayu jenis ini boleh terima DAP. Melayu ini bakal menjatuhkan maruah Melayu. Melayu ini juga “murtad Islam” dan menjadi musuh dalam selimut sama seperti Melayu-Melayu liberal seperti Marina Mahathir atau Melayu progresif macam Dr Farouk Musa.

Persoalan besarnya adalah kenapa rata-rata Melayu yang saya ajak bersembang dan ajak berdiskusi daripada orang-orang warung atau orang-orang kedai mamak sehinggalah pengetua sekolah serta profesor universiti tidak merdeka jiwa mereka?

Kenapa tidak lapang dada mereka? Kenapa tidak tenteram hati masing-masing? Saban Jumaat saya mendengar khutbah yang “menghentam orang asing” yang mencaci orang Yahudi dan Kristian dan yang mencemuh konsep hak asasi manusia sebagai musuh Islam nombor wahid.

Sudah jauh kemajuan pendidikan, ekonomi dan kedudukan politik tetapi Melayu jalanan dan Melayu “cendekiawan” tak dapat menenteramkan hati, tak dapat tahu erti kemerdekaan jiwa. Bak kata Ismail Kamus, kesian orang Melayu!

Kesemua rakan-rakan saya yang bukan Melayu mengatakan yang orang-orang Melayu berpendirian demikian kerana fitnah dan pembohongan pimpinan politik seperti Umno dan PAS.

Umno menakut-nakutkan Melayu melalui semangat bangsa Melayu “terbangsat” jika orang-orang bukan Melayu terlalu diberi muka.

Orang-orang PAS pula menakutkan orang Islam Melayu yang orang-orang bukan Islam ini semuanya “orang kafir harbi”, maknanya automatik musuh Islam.

Saya berkata, walaupun saya pernah dengar ucapan, khutbah atau perbualan yang menjurus kepada kesimpulan sedemikian tetapi persoalan yang lebih utamanya adalah kenapa kebanyakan orang Melayu daripada yang tidak berpelajaran tinggi sehingga berpangkat PhD dan bergelar profesor termakan dakyah-dakyah pemimpin yang kurang bermoral serta berkepentingan sendiri ini?

Apa mahasiswa Melayu tak boleh fikir kah? Apa pensyarah-pensyarah dan ahli akademik Melayu dapat sijil “second hand” kah sampai mempercayai bulat-bulat fitnah dan pandangan serba cetek sedemikian?

Saya fikir, di akhirat nanti apabila Allah bertanya kepada profesor dan graduan-graduan Melayu luar negara kenapa kamu percaya fitnah-fitnah terhadap yang bukan Melayu ini? Apa nak dijawab nanti?

Bolehkah mereka menuding jari kepada pemimpin Umno dan PAS serta naib canselor atau sebagainya dan menjawab, mereka yang fitnah Ya Rabb!

Saya pasti pemimpin-pemimpin ini akan menuding kembali jari mereka dan berkata, bukankah kamu semua boleh berfikir sendiri? Bukankah kamu semua ada PhD dan Master? Kamu percaya cakap kami buat apa?

Bagi saya, umat Melayu tidak menggunakan 2 senjata kefahaman yang diberi Allah kepada semua manusia iaitu ketajaman fikiran secara ilmiah dan keterbukaan hati menerima kebenaran.

Bagi saya, kebanyakan orang-orang Melayu tertutup keterbukaan hati dan membatukan diri membenci secara lumrah orang-orang yang dianggap Cina, Yahudi, Kristian dan orang-orang DAP itu lah. Apabila hati tertutup maka fikiran ikut sekali dan tidak menimbang secara ilmiah tetapi secara menghukum tanpa bicara.

Adilkah seseorang manusia yang dituduh membuat jenayah dihukum tanpa bicara? Sudah tentu semua berkata tidak adil! Tetapi hati kita menghukum orang-orang Cina, Yahudi, Kristian dan orang-orang DAP tanpa membicarakan yang mana fakta dan yang mana fitnah serta menimbangkan dengan nilai kemanusiaan sejagat.

Apakah mungkin jiwa orang Melayu kotor dan tidak bersih? Maka fikiran mentalnya tersumbat dan tidak terbuka langsung, agaknya.

Maka itu saya ingin mencadangkan pada orang Melayu bagaimana memerdekakan jiwa supaya dapat kita rasa tenteram dan hidup harmoni dalam pelbagai kaum dan ugama.

Saya banyak menelaah buku-buku dan ceramah-ceramah dari sumber orang-orang Islam, daripada sumber penulis Kristian, penulis beragama Buddha, penulis dan pemikir beragama Hindu dan orang-orang New Age seperti Eckhart Tolle dan Wayne Dyer.

Kenapa saya harus menolak ilmu-ilmu yang datangnya daripada bukan orang Islam? Sebabnya, saya ahli akademik sejati. Saya membuat kajian literature yang luas dan bukannya sempit.

Saya tahu orang-orang Islam bukan semua pandai-pandai dan ilmu yang mereka sampaikan tentang Islam adalah tafsiran mereka sendiri dari madrasah-madrasah dan pusat pengajian Islam yang sempit kurikulum ketamadunan manusianya.

Apa yang keluar dari mulut ustaz-ustaz sama ada ustaz berpendidikan rendah atau yang paling tinggi masih “tafsiran” mereka sendiri. Mereka tidak boleh mendabik dada dan memberi kata putus ini atau itu lah apa yang dimaksudkan oleh Allah dalam al-Quran atau itu dan inilah yang dimaksudkan oleh hadis.

Kesemuanya tidak lain dan tidak bukan adalah tafsiran. Dalam dunia akademia tiada seseorang yang boleh mengakui sesuatu ilmu itu sebagai “tertutup”.

Lihat saja perkembangan sains. Ahli sains kurun ke-19 menganggap sains Newton paling sahih dan diskusi lain tertutup. Namun Einstein mencabar rangka pemikiran itu dengan ilmu kuantum fizik.

Sekarang ada saintis yang mencabar kuantum fizik pula dengan String Theory and apalagi seterusnya.

Selagi kita manusia dan bukan Tuhan kita semua tidak mempunyai ilmu yang tertutup perbincangannya. Ini termasuk ilmu ugama dan konsep ketuhanan.

Tiada seorang yang boleh mendabik dada mengatakan dia seorang yang benar-benar faham akan sifat Tuhan kerana apa sekalipun pandangan kita ia tidak akan dekat dengan pandangan sebenar bak setitis air di lautan Pasifik yang luas. Itulah analogi kita manusia dengan ilmu Tuhan.

Tetapi umat Melayu Islam sibuk mengatakan yang mereka “tahu” akan siapa sebenar orang Cina, siapa sebenar orang Yahudi dan siapa sebenar orang Kristian dan siapa sebenar orang-orang DAP.

Saya berjumpa dengan rakan-rakan profesor saya dan bertanya beberapa soalan mudah saja. Ramaikah kamu mempunyai kawan Cina? Kawan Yahudi? Kawan Kristian? Kawan orang-orang DAP?

Pastikah kamu yang dibaca tentang budaya, kepercayaan, prinsip politik serta nilai-nilai mereka yang kamu suka menghukum ini? Sudah tentu rakan-rakan saya menjawab tidak. Mereka tidak tahu. Mereka tidak membaca. Mereka tidak duduk atau tinggal di kalangan orang Cina, Kristian Yahudi atau orang DAP.

Habis tu, saya tanya, kenapa mereka benci dan berdendam terhadap orang-orang ini? Bagi rakan dan kenalan saya yang berpangkat pengetua sekolah, profesor atau orang kebanyakan, cukup sudah berita daripada TV, kenyataan Utusan Malaysia atau kenyataan pemimpin Umno atau PAS.

Maklumlah ustaz kan wakil Nabi, jadi apa mereka cakap semua mesti betul. Susah hati saya dengar profesor cakap begitu. Kalau orang kampung tak mengapalah.

Eckhart Tolle mengatakan banyak ketidaktenteraman dalam hidup kita harian timbul daripada konflik hubungan keluarga, persahabatan, sosial dan politik yang lahir daripada data yang dianggap cukup untuk menghukum seseorang tetapi sebenarnya data yang pincang penuh lubang dan kelemahan yang ketara.

Eckhart Tolle juga mengatakan yang apabila juru-ugama membuat definisi “Tuhan” masing-masing maka timbul perbalahan besar tentang mana satu “tuhan” yang betul.

Ilmu sebesar itu dianggap boleh dikecapi manusia kerdil yang memikirkan dirinya berhak membuat definisi dan skop yang boleh merangkumi segala ilmu dan perasaan dalam kehidupan ini.

Sifat ini terdapat pada golongan pendeta, rahib serta ustaz kesemua ugama. Kita perlu mengetahui limitasi keupayaan manusia supaya kita boleh merendah diri mendengar dan menimbang segala sumber ilmu tentang sains, kehidupan atau agama.

Ini tidak, kita cukup puas hati dengan ilmu yang lahir dari bangsa kita, daripada orang yang kita label ustaz, profesor dan sebagainya. Bukan salah mendengar atau membaca pandangan ustaz tetapi kita harus tahu ia adalah pandangan dan tafsiran peribadi atau segelintir individu yang mempunyai penghujung had kefahaman.

Dalam banyak perbincangan saya dengan orang Melayu kebanyakan, kesemuanya tidak sedar Nabi Musa adalah keturunan orang Yahudi. Begitu juga Nabi Daud, Nabi Isa, Nabi Yusof dan banyak lagi.

Mereka ini semua baka Nabi Ishak, anak Nabi Ibrahim. Hanya Nabi Muhammad seorang sahaja daripada baka Nabi Ismail yang bapanya juga Nabi Ibrahim.

Bagaimana kita asyik mengutuk orang Yahudi dan menyifatkan kesemuanya jahat dan dilaknat Allah jika para anbia ramai daripada keturunan yang sama. Bagaimana pula kita harus sifatkan ahli cendekiawan dan pentafsir Quran, Muhammad Assad, seorang Yahudi? Itulah, kita cetek ilmu tetapi terlalu cepat menghukum dan membenci.

Ada juga yang memberi alasan Allah murka terhadap orang Yahudi yang berdolak-dalik dalam memilih anak lembu yang hendak dikorbankan sebagai sifat Yahudi yang kekal hingga akhir zaman.

Saya mentafsirkan ayat-ayat tersebut merujuk kepada perangai semua manusia yang berdolak-dalik membuat kebajikan atas dasar keperluan individu yang mengatasi kebaikan bersama. Bukan Yahudi saja, ada umat Islam yang lebih teruk perangai dari orang Yahudi dalam Quran. Itu tafsiran saya.

Saya juga ingin mengingatkan umat Islam dan orang Melayu tentang 2 perkara yang Rasulullah cakapkan yang perlu menjadi pedoman kehidupan. Pertama, Rasulullah menyatakan yang tiada siapa yang tahu akan nasibnya di hujung hayat.

Mungkin kita seorang ustaz yang membuat banyak perkara yang nampak seperti kebaikan tetapi di hujung hayat ustaz itu mungkin membuat perkara keji dan tergolong ia dalam ahli neraka.

Mungkin juga seseorang itu nampak seperti melakukan perbuatan tidak baik tetapi di hujung hayatnya ia membuat kebaikan tulen dan ikhlas dan tergolong ia sebagai ahli syurga.

Rasulullah pernah membisikkan pada Fatimah anaknya, baginda pun tidak tahu nasib anaknya sendiri di akhirat nanti. Maka itu umat Melayu perlu merenung.

Baik sangatkah kita Melayu ini sampai boleh menghukum orang Cina, Yahudi, Kristian dan orang DAP? Semak sikit hati dan data base kita tentang pengetahuan kita sebelum kita menghadap Allah.

Cukupkah ilmu itu sampai nak menghukum dan membenci? Kalau tak cukup buka lah hati dan jangan menghukum melulu serta lapangkanlah dada kepada mereka-mereka ini.

Saya ingin mengingatkan umat Islam tentang hadis Rasulullah yang mengatakan kemanisan iman itu hanya dapat dikecapi jika kita mencintai keseluruhan umat manusia. Ada ramai umat Islam yang beranggapan hadis ini hanya merujuk semua umat Muslim tetapi yang disebut Rasul adalah manusia.

Ramai umat Islam fikir yang mereka boleh mendekati Tuhan dengan mencintaiNya tanpa terlebih dahulu membuka hati mencintai keseluruhan umat manusia.

Lihat tindakan Rasulullah di Taif. Pihah yang menyeksa baginda adalah golongan manusia bukan Islam tetapi baginda maafkan mereka. Lihat tindakan Rasulullah dalam peristiwa pembukaan Mekah. Tiada seorang pun penyeksa baginda yang diseksa baginda.

Bukankah ini tauladan pencinta keseluruhan manusia? Apakah orang Melayu boleh bersifat seperti Rasulullah? Kalau boleh barulah kena dengan slogan Hidup Melayu, dulu, kini dan selamanya.

Profesor Dr. Taher ul-Qadri, seorang cendekiawan dan ahli sufi Pakistan, dalam syarahan beliau tentang “Loving God” yang saya ikuti dalam Youtube mengatakan seseorang Muslim hanya boleh mendampingi sisi Allah jika Allah membenarkannya dan jika Allah membenarkannya, Allah akan mengubah sifat kasih sayang ala-manusia kepada sifat kasih sayang ala-Tuhan.

Allah kasihkan semua manusia, Muslim dan bukan Muslim, yang membuat dosa dan yang tidak dan sebagainya. Jadi orang yang disayangi Allah adalah mereka yang mempunyai sifat Allah ini dan mereka akan berlapang dada dengan semua manusia dari segenap budaya, ugama dan kepercayaan.

Pembukaan hati adalah langkah pertama untuk kenal mengenal dan merapat hubungan sosial dan spiritual. Kebanyakan penceramah Islam yang saya kesan dalam Youtube asyik menggalakkan permusuhan.

Acap kali penceramah-penceramah ini memperlekehkan bukan Islam dan menggunakan kekejian mereka terhadap orang-orang ini bagi membandingkan dengan kehebatan umat Islam yang tidak sedemikian. Saya kira ini kaedah khutbah, ceramah yang cukup tidak baik kerana ia memecahbelahkan kita antara manusia.

Maka itu, dalam bulan kemerdekaan negara kita ini eloklah umat Melayu membuat muhasabah diri dan fikir betul-betul tindakan membenci orang Cina, Yahudi, Kristian dan orang-orang DAP sebagai sesuatu benda adil atau tidak.

Adakah kita mempunyai semua data yang tepat atau kita tidak kritis menilai ucapan ustaz yang berpelajaran rendah atau ahli politik yang bermoral teruk serta berkepentingan peribadi.

Ingat, di Akhirat kita tidak boleh menyalahkan sesiapa terhadap tindak tanduk kita. We are solely responsible for all our actions. No one else. Akhir sekali, kita harus ingat tentang sifat Rasul sebagai pemaaf dan sebagai pencinta umat manusia sebagi 2 nilai terpenting seseorang Muslim sejati.

Jangan ingat yang Allah akan menyayangi kita kerana kita membenci individu daripada bangsanya, kaumnya atau pendirian politiknya.

Kita boleh tidak bersetuju dengan pandangan atau pegangan mereka tetapi biarlah maklumat itu daripada sumber sahih orang-orang itu sendiri dan bukan daripada mulut celupar ahli politik atau ustaz yang tidak berpengalaman.

Tanggungjawab menilai maklumat hanya ke atas diri kita sahaja. Pada Hari Merdeka ini, wahai umat Melayu merdekakanlah jiwa supaya kita boleh hidup dengan aman dan harmoni atas dasar hormat menghormati antara satu sama lain dan semangat kasih sayang terhadap umat Malaysia keseluruhannya sebagai ikutan sunnah Rasul dan bukan ikutan tradisi atau momokan pendengki.

Janganlah jiwa kita dijajah dengan emosi kedengkian yang tidak berasas dan dijajah juga dengan kejahilan ketara tentang budaya manusia lain. Merdeka jiwa, baru merdeka negara! – 31 Ogos, 2015.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.