Hadi, ketahuilah, 13 Mei mustahil berulang


– Haris Zuan
The Malaysian Insider
26 January 2015

Peristiwa 13 Mei ialah isu eksklusif Umno-Barisan Nasional (BN) dan orang lain yang mahu menyebut, dan apatah lagi membincangkannya, boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

Hanya Umno bebas menggunakan isu 13 Mei (versi mereka sudah tentu) untuk membodoh dan menakut-nakutkan bangsa Malaysia, khasnya orang Melayu dan Cina.

Namun, kali ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengeluarkan ancaman yang biasanya hanya dilaungkan oleh Umno – 13 Mei akan berulang jika pilihan raya kerajaan tempatan diadakan semula – dan kali ini Umno tidak pula marah dengan kenyataan Hadi Awang ini.

Kisah ini awalnya mudah sahaja. PAS membangkitkan isu pilihan raya kerajaan tempatan kerana mahu menyanggah dakwaan bukan hudud sahaja yang tidak diputuskan secara bersama di peringkat Pakatan Rakyat, pilihan raya kerajaan tempatan juga – yang diperjuangkan oleh Pulau Pinang dan Selangor.
Maka, dengan menggunakan logik ini, pada PAS, menjadi hak Kelantan untuk melaksanakan hudud di negeri tersebut secara bersendirian (atau dengan kerjasama Umno – parti pemerintah yang hanya menunjukkan minat terhadap Hudud setiap kali terdesak kehilangan kuasa).

Kemudian PAS nampak agak anti-demokrasi apabila dilihat tidak pro kepada pilihan raya kerajaan tempatan yang merupakan hak undi ketiga rakyat selepas Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dinafikan oleh Umno-BN sejak tahun 1960-an.

Maka, Hadi Awang yang mahu menyerlahkan kewibawaan dan kebijaksanaannya, mengeluarkan hujah yang sangat menggemparkan, kononnya, PAS tidak menyokong pilihanraya kerajaan tempatan atas dasar tanggungjawab dan kemaslahan yang lebih besar – mengelakkan berlakunya rusuhan kaum 13 Mei.

Tulisan ini tidak berminat untuk membincangkan sama ada wajar, atau tidak untuk Hadi Awang membandingkan hudud dengan pilihan raya kerajaan tempatan.

Namun, tulisan ini hanya mahu menyemak kenyataan Hadi Awang berkenaan tragedi 13 Mei. Hakikatnya, sejak tahun 1969, situasi sosio-ekonomi Malaysia dan politik dunia jauh berubah yang tidak memungkinkan tragedi hitam 13 Mei berulang dengan sebegitu mudah.

Perubahan ekonomi

Pertamanya, 13 Mei dikatakan berpunca daripada ketidakseimbangan ekonomi. Pada dasarnya masyarakat Malaysia pada tahun 1960-an masih merupakan masyarakat pertanian dengan lebih separuh penduduk terlibat dalam sektor pertanian (kebanyakannya orang Melayu).

Bagaimanapun, sektor perindustrian mula berkembang mulai tahun 1970, sungguhpun dari segi keseluruhannya masih kecil untuk menampung keperluan pekerjaan dan pembangunan sebuah negara baru.

Setelah perlaksanaan dasar perindustrian berorientasikan eksport dan Dasar Ekonomi Baru (DEB), sumbangan sektor pembuatan dan pembinaan berkembang dengan ketara. Seiring dengan perindustrian, sektor perkhidmatan juga turut berkembang – sumbangan sektor ini terhadap pekerjaan berkembang daripada kurang 30% pada tahun 1970 kepada lebih 50% pada tahun 2000.

Perindustrian dan urbanisasi

Apabila tumpuan ekonomi beralih kepada industri, bandar-bandar baru mula dibuka, khusus untuk menampung kilang-kilang baru.

Urbanisasi ini juga selari dengan penghijrahan ramai penduduk desa, khasnya anak muda Melayu, ke bandar-bandar perindustrian baru seperti Pasir Gudang, Seberang Prai dan Shah Alam.

Daripada sekitar 10 juta penduduk Malaysia pada tahun 1970, kurang 30% tinggal di bandar manakala selebihnya tinggal di kampung-kampung. Manakala pada 2010, lebih 70% penduduk Malaysia merupakan warga kota.

Di samping hasil migrasi penduduk kampung ke bandar-bandar, lonjakan urbanisasi negara ini juga kerana pendefinisian semula konsep bandar dalam Banci Penduduk 1991.

Semua proses ini, perindustrian dan pembandaran menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan kelas-kelas sosial moden, khususnya kelas menengah dan kelas pekerja.

Malah, semakan terhadap komposisi etnik bagi Wilayah Kuala Lumpur pada tahun 2010 menunjukkan bilangan orang Melayu mengatasi lain-lain etnik.

Namun, masih ramai orang Melayu yang tinggal di bandar-bandar besar masih menjadi pengundi berdaftar di kampung halaman mereka.

Maka sebab itulah, setiap kali pilihan raya, semua parti politik merayu untuk para pengundinya pulang mengundi. Jika pilihan raya tempatan diadakan, hal ini tidak seharusnya berlaku kerana penduduk sesuatu perbandaran sewajarnya mengundi di tempat mereka menetap.

Hasil perlaksanaan dasar afirmatif ini, masyarakat kelas menengah Malaysia (dan khasnya kelas menengah Melayu) menjadi jauh lebih besar berbanding sebelumnya.

Semasa zaman kolonial, Malaysia (ketika itu Malaya) memperlihatkan pembahagian kelas yang hampir sama dengan jalur kaum ketika itu.

Ketika baru merdeka, aristokrat Melayu mengambil alih kuasa pemerintahan daripada British, sementara kuasa ekonomi tempatan dikuasai oleh etnik Cina, dan etnik India mendominasi kerja-kerja buruh, pengkeranian dan perladangan getah.

Sejumlah besar etnik Melayu menjadi petani. Penguasaan ekonomi utama dan perhubungan global sudah tentu di tangan orang Eropah.

DEB bersama beberapa perkembangan ekonomi serantau dilihat berhasil bukan sahaja mengubah struktur ekonomi malah melunturkan jalur identifikasi ekonomi berasaskan kaum ini.

Kini, di bandar-bandar besar, jumlah orang Melayu semakin besar dan saiz kelas menengah Melayu juga secara relatifnya membesar.

Meskipun jurang ekonomi inter-etnik pada satu tahap, berjaya dirapatkan sedikit, malangnya jurang intra-etnik pula semakin melebar, malah lebih menakutkan lagi.

Ertinya, hubungan kaya-miskin tidak lagi mengikut garis etnik (contohnya, Melayu-Cina) tetapi juga antara sesama etnik (contohnya, Melayu-Melayu dan Cina-Cina).

Situasi ini merupakan cabaran semasa masyarakat Malaysia kini, namun perkembangan ini berbeza dengan tahun 1960-an dan 1970-an dan harus dibincangkan secara berasingan.

Geopolitik serantau

Pada masa yang sama, situasi politik serantau yang melatari tragedi 13 Mei juga tidak lagi wujud pada masa kini. Ketika itu, ancaman komunisme dalam negara masih nyata dan perang Vietnam sedang rancak serta dunia berada dalam situasi perang dingin antara dua blok ideologi ekonomi.

Elemen komunis ini dikatakan berlaku di peringkat politik kerajaan tempatan apabila banyak kerajaan tempatan dikuasai oleh parti yang cenderung kiri.

Infiltrasi komunis juga didakwa antara yang membawa kepada tragedi 13 Mei. Namun kini, semenjak termaterainya Rundingan Damai Haadyai pada tahun 1989, komunis bukan lagi ancaman dalam negara.

Awal daripada itu, Perang Vietnam tamat pada tahun 1975 dan komunisme runtuh bersama Tembok Berlin.

Teknologi maklumat dan generasi baru

Sejak akhir tahun 1990-an pula, berlaku satu lagi perkembangan yang tidak mungkin difikirkan terjadi semasa tahun 1969 – pendemokrasian maklumat.

Berbeza dengan tahun 1969, kegelisahan dan kegusaran awam umumnya diolah melalui media massa yang dikawal pemerintah. Pada waktu ini, Utusan Malaysia dimiliki sepenuhnya oleh Umno yang membelinya pada tahun 1961, dan ruang perbezaan pandangan sangat terhad.

Namun, dengan adanya kecanggihan teknologi maklumat kini, sebarang kejadian yang berlaku dapat diketahui dengan pantas dan hampir serta-merta. Pada masa yang sama secara umumnya, masyarakat Malaysia lebih kritikal terhadap media massa arus perdana dan mula menyemak setiap fakta yang mereka perolehi.

Pada masa yang sama, generasi yang akrab dengan media sosial ini juga merupakan golongan anak muda yang secara konservatifnya ditakrifkan sebagai mereka yang berusia bawah 40 tahun – ertinya mereka ini lahir selepas tahun 1969.

Mereka tidak mempunyai hubungan memori dan emosi dengan peristiwa 13 Mei. Malah, generasi muda kini mula mempersoalkan kisah sebenar 13 Mei yang selalu dimomokkan Umno-BN.

Hingga filem berkenaan Tun Razak yang sebahagian latarnya adalah tragedi 13 Mei dikiritik dan dipandang sinis. Mudahnya, propaganda 13 Mei tidak laku kepada generasi muda.

Mana buktinya?

Setakat ini, mungkin kalangan penyokong tegar Hadi Awang akan berkata, perbincangan di atas hanya membentangkan perubahan yang berlaku sepanjang 40 tahun terakhir sejarah negara.

Namun, bagaimanakah perubahan ini boleh menjamin tragedi 13 Mei tidak akan berlaku lagi?

Perubahan demografi Malaysia bukan sahaja menyebabkan komposisi etnik di bandar-bandar utama negara berubah, malah lebih penting lagi perubahan ini datang bersama perubahan cara fikir serta harapan sosial dan politik.

Sikap ini ditunjukkan dengan jelas dalam dua pilihan raya umum terakhir yang memperlihatkan ada kesediaan masyarakat Malaysia untuk mengundi merentasi garis etnik.

Sedar mahu pun tidak, prestasi Umno-BN dalam PRU13 lalu merupakan prestasi terburuk dalam sejarah, malah lebih buruk berbanding tahun 1969 – yang menyebabkan tragedi 13 Mei tersebut.

Namun, adakah rakyat Malaysia resah dan marah? Tidak, malah kita semua merayakannya walaupun sedikit hampa kerana Pakatan Rakyat (PR) gagal menawan Putrajaya. Tiada aeorang pun yang membangkitkan 13 Mei.

Selain itu sejak kekalahan teruk Umno-BN dalam PRU12 dan PRU13, terlalu banyak anasir etno-nasionalis sempit cuba mengapi-apikan hubungan etnik di negara ini.

Provokasi demi provokasi – kepala lembu, kepala babi, bakar gereja, masjid, anjing – digunakan untuk menimbulkan keresahan masyarakat.

Meskipun benar pada satu tahap, isu-isu ini meresahkan dan kadang-kala membingungkan, namun kenyataannya, tidak pernah mampu untuk mencetuskan panik besar-besaran.

Datuk Ibrahim Ali beberapa kali cuba menggerakkan demonstrasi besar-besaran tetapi gagal.

Malah, kerana Perkasa dilihat terlalu gasar, nampaknya strategi terbaru kini terpaksa menggunakan hujah pseudo-akademik oleh kumpulan seperti Isma untuk memancing sentimen etno-nasionalisme.

Jelas, 13 Mei hanya hujah lapuk yang digunakan Umno-BN dan kuncu-koncunya yang tidak lagi mampu mengejar masyarakat Malaysia yang sedang berlari pantas menuju perubahan.

Maka apabila Hadi Awang membangkitkan 13 Mei, apakah beliau juga sudah lelah mahu ikut berlari ke arah perubahan?

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.