Hudud: 20 soalan untuk PAS


– Eric Paulsen
The Malaysian Insider
15 December 2014

Walaupun ditentang hebat pelbagai pihak, PAS dalam kebijaksanaannya masih lagi berkeras sekarang waktu yang sesuai untuk melaksanakan hudud di Kelantan dan akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri Khas pada 29 Disember ini untuk mengemukakan satu pindaan terhadap Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2014).

Hudud merupakan sebahagian undang-undang jenayah Islam yang memperuntukkan hukuman paling keras yang dapat dibayangkan, lantaran versinya di Kelantan termasuklah merejam sehingga mati (dengan batu bersaiz sederhana), kematian diikuti dengan penyaliban, pemotongan anggota badan dan sebatan.

Hukuman sedemikian sudah tidak ada tempatnya pada zaman ini atau mana-mana masyarakat moden dan demokratik kerana ia melibatkan penyeksaan, hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Walaupun PAS dan penyokong hudud tidak bimbang dan secara membuta-tuli yakin semuanya akan baik-baik belaka dengan pelaksanaannya, meskipun tiada asas bagi andaian hudud akan berjalan dengan lancar di Malaysia, sepertimana ia gagal di kesemua negara yang melaksanakan hudud seperti di Sudan, Somalia, Nigeria Utara, Afghanistan dan Pakistan.

Malah, sebaliknya yang benar, hudud menjadi perkataan yang menunjukkan ketidakadilan yang dilakukan atas nama Islam, terutamanya terhadap kanak-kanak perempuan dan wanita.

Kita ketepikan sebentar isu sama ada keadaan adalah bersesuaian di bawah falsafah perundangan Islam bagi hudud dilaksanakan, sama ada ia menepati Perlembagaan atau wajar diamalkan dalam sebuah negara seperti Malaysia.

Ramai rakyat Malaysia mempersoalkan, seberapa adil, saksama dan praktikal untuk hudud dilaksanakan di Kelantan sahaja manakala negeri-negeri lain di negara ini atau warga bukan Islam seolah-olah sepatutnya tidak akan terjejas langsung.

Oleh demikian, saya kumpulkan 20 soalan yang paling kerap ditanya untuk PAS –dan saya berharap PAS akan bertanggungjawab memberikan jawapan yang sewajarnya dan bukan hanya sekadar menyeru nama Allah, yang kebiasaannya menutup ruang dan mengakhiri semua perbincangan lanjut.

1. Bolehkah hudud dilaksanakan dalam keadaan terdapatnya perbezaan besar di antara golongan berada dan papa, di antara golongan paling kaya seperti Syed Mokhtar, Mokhzani Mahathir, Vincent Tan, Ananda Krishnan dengan mereka yang miskin, papa dan tiada tempat tinggal? Ia menjadi jelas apabila Indeks Pekali Gini (yang mengukur tahap ketidaksamaan dalam agihan pendapatan) menunjukkan Malaysia sebagai negara yang ke-3 paling tidak adil agihan pendapatannya di Asia.

2. Bolehkah hudud dilaksanakan dalam keadaan orang-orang kaya dan berkuasa biasanya terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang? Bilakah kali terakhir seorang VVIP didapati bersalah dan benar-benar menjalankan tempoh pemenjaraannya? Seterusnya, bolehkah hudud wujud apabila VVIP orang Islam masih duduk dalam Lembaga Pengarah Genting Berhad, memiliki saham dalam syarikat bir San Miguel atau mempunyai rangkaian kelab Hard Rock Café di dalam negara?

3. Adakah hudud (seperti undang-undang Syariah sekarang) diamalkan secara terpilih dan mempunyai kesan tidak seimbang terhadap golongan lemah dan miskin, manakala orang-orang kaya dan berkuasa dapat melepaskan diri daripada hukuman? Sebagai contoh, hanya orang Islam biasa dan buruh Indonesia yang akan disebat kerana minum arak, atau adakah akan terdapat menteri Umno, ahli kerabat diraja dan anak-anak mereka, serta para pelancong beragama Islam dari Timur Tengah juga yang akan disebat?

4. Dengan begitu banyak rasa tidak puas hati terhadap Mahkamah Syariah sekarang ini dan penguatkuasaan undang-undang (terutamanya hal nafkah atau tanggungan penyelenggaraan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan suami), tidakkah pihak berkuasa mengambil kira apa yang akan berlaku jika mereka tersalah jatuh hukum seseorang yang tidak bersalah untuk dipotong tangan atau kakinya atau pun merejam dengan batu sehingga mati seorang wanita yang tidak bersalah?

5. Bolehkah hudud hanya dilaksanakan untuk orang Islam, manakala orang bukan Islam tertakluk kepada undang-undang yang berbeza? Adakah adil, jika dua orang ditangkap di Kelantan atas sebab kecurian motosikal, seorang beragama Islam dipotong tangannya, sedangkan seorang lagi yang bukan Islam dipenjara selama setahun?

6. Bolehkah hudud hanya dilaksanakan di Kelantan sahaja, manakala negeri-negeri lain di negara ini melaksanakan undang-undang jenayah sedia ada? Adakah adil jika dua orang lelaki Islam yang ditangkap kerana kecurian motosikal, satu di Kelantan dan satu lagi di Selangor; lelaki di Kelantan itu dipotong tangannya, sedangkan lelaki di Selangor dipenjara selama setahun?

7. Bolehkah hudud wujud beriringan dan selaras dengan undang-undang jenayah sedia ada yang jauh lebih menyeluruh daripada kesalahan hudud yang terhad, walaupun ditambah dengan kesalahan-kesalahan takzir, qisas dan diyat? Adakah adil jika seorang lelaki Islam ditangkap kerana kecurian motosikal di Kelantan dan tangannya dipotong manakala seorang lelaki Islam yang ditangkap kerana pecah amanah (sama ada di Kelantan atau sebaliknya) untuk jumlah yang jauh lebih besar daripada kos motosikal itu pula dipenjarakan selama setahun?

8. Adakah adil jika dua lelaki yang ditangkap kerana rogol di Kelantan, seorang lelaki Islam hanya dihukum di bawah takzir mengikut budi bicara hakim, manakala lelaki bukan Islam dipenjarakan sekurang-kurangnya lima tahun dan juga disebat di bawah undang-undang jenayah yang sedia ada?

9. Adakah adil bagi mangsa rogol Islam untuk didedah kepada kemungkinan pertuduhan zina atau qazaf (tuduhan palsu zina) jika dia gagal memberikan keterangan atau saksi yang mencukupi? Apa yang berlaku dalam keadaan seorang wanita atau gadis hamil kerana dirogol sama ada dengan kekerasan atau pun rogol bawah umur? Adakah ianya akan diambil sebagai bukti muktamad kejadian zina jika dia, meskipun mangsa rogol, tidak dapat menyangkal tuduhan kerana beban bukti yang tidak seimbang?

10. Adakah adil, jenayah rogol, suatu kesalahan yang lebih serius daripada zina, hanya diklasifikasikan sebagai kesalahan takzir yang boleh dihukum mengikut budi bicara hakim manakala orang yang sudah berkahwin yang melakukan zina akan direjam dengan batu sehingga mati?

11. Adakah adil, kerana tidak ada kesalahan hudud untuk penipuan secara besar-besaran, penyelewengan, pecah amanah, rasuah (contohnya skandal “peminjaman” NFC dan penyelewengan RM250 juta dana kerajaan) manakala seseorang yang mencuri motosikal akan mendapati tangannya dipotong?

12. Adakah adil jika hanya lelaki Islam sahaja yang biasanya dianggap berkelayakan untuk memberi keterangan manakala keterangan wanita dan orang bukan Islam tidak diterima atau mempunyai nilai yang lebih rendah? Mengapa harus orang bukan Islam terutama wanita melibatkan diri dalam undang-undang jenayah Islam yang memang memperlakukan keterangan orang bukan Islam atau wanita sebagai bersifat lebih rendah nilainya daripada orang lelaki Islam?

13. Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku orang Islam dan mangsa bukan Islam? Bagaimana jika pelaku orang Islam mendesak untuk memakai hudud (kerana beban pembuktian yang lebih tinggi dan kurangnya nilai keterangan orang bukan Islam), manakala mangsa bukan Islam tidak ingin berserah kepada bidang kuasa perundangan Islam?

14. Bidang kuasa manakah yang terpakai – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku bukan Islam dan mangsanya orang Islam? Bagaimana jika mangsa Islam menuntut hanya hudud yang dapat memberikan keadilan dan hukuman yang setimpal?

15. Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika kesalahan yang dilakukan seperti kecurian dan rompakan terdapat dalam kedua-dua bidang kuasa? Bolehkah pelaku orang Islam meminta diadili di bawah undang-undang jenayah sedia ada kerana dia tidak mahu tangannya dipotong? Atau dia boleh memilih hudud kerana beban pembuktian yang lebih tinggi, yang membolehkan dirinya melepaskan diri daripada hukuman?

16. Bagaimana hudud akan dapat berfungsi jika ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam? Bolehkah pihak berkuasa memaksa orang bukan Islam untuk membantu dalam penyiasatan atau memberi keterangan di Mahkamah? Adakah keterangan mereka bernilai?

17. Adakah adil jika orang bukan Islam yang membantu dan bersubahat dengan orang Islam yang melakukan kesalahan untuk dilepaskan, manakala orang Islam itu pula tertakluk kepada hukuman rejam dan sebat dalam kes-kes zina dan syurb (pengambilan alkohol)?

18. Adakah hukuman rejam sampai mati, penyaliban, sebatan dan pemotongan anggota badan masih diterima di zaman ini? Adakah ianya tidak tergolong sebagai penyeksaan, hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan? Bagaimana jika Israel mahu mengenakan hukuman undang-undang Yahudi yang sama, yang terdapat dalam Taurat (yang berkongsi asas hukuman yang sama dalam Al-Quran) terhadap rakyat Palestin yang menentang pemerintahan mereka?

19. Adakah pihak berkuasa prihatin terhadap kemungkinan kematian ataupun sebarang komplikasi lain yang mengancam nyawa akibat pemotongan anggota badan? Siapakah yang akan bertanggungjawab?

20. Bagaimanakah hukuman ini dijalankan? Siapakah yang akan memotong, menyalibkan dan membaling batu sehingga mati itu? Adakah dilakukan oleh pegawai-pegawai Mahkamah, “profesional” terlatih, saksi, mangsa-mangsa jenayah atau ahli keluarga mereka atau orang ramai? Adakah hukuman ini dilakukan di khalayak ramai atau secara rahsia? – 15 Disember, 2014.

* Eric Paulsen ialah pengasas bersama dan pengarah eksekutif Lawyers For Liberty.

  1. #1 by boh-liao on Tuesday, 16 December 2014 - 2:22 am

    PAS will continue 2 hootHoot

  2. #2 by boh-liao on Wednesday, 17 December 2014 - 2:28 am

    1 impt Q: GOT enuf certified royal professional butchers in K’tan 2 chop chop hands n legs or not aaah?

You must be logged in to post a comment.