Bagaimana kerajaan mendaulatkan Bahasa Malaysia sedangkan terjemahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah pun menggunakan bahasa yang bermutu rendah, cincai dan nampak malas.


Gesaan Kerajaan Negeri Melaka supaya sekolah-sekolah menggunakan papan tanda dengan tulisan Jawi dengan alasan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan boleh ditempelak dengan sekadar menunjukkan kepada mereka mutu terjemahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah (RCIIIS) yang dikemukakan kerajaan pada 3 Disember lalu.

Barangkali kerana begitu tergesa-gesa mahu menyiapkan laporan terbabit, pihak yang bertanggungjawab menyediakan naskhah rasmi dalam Bahasa Kebangsaan akhirnya menggunakan khidmat penterjemahan Google sahaja, dan menghasilkan terjemahan yang begitu rendah mutunya bagi sebuah laporan bertaraf ‘Diraja’.

Lebih 200 muka surat awal Laporan RCIIIS nampaknya seakan-akan tiada masalah, dan menggunakan bahasa yang begitu ringkas. Namun jika dicermati betul-betul kita akan mendapati bahawa terjemahan yang diberikan adalah dibuat secara langsung (direct translation) daripada teks asal dalam Bahasa Inggeris dan kedengaran seperti ditulis oleh murid sekolah rendah sahaja.

Terdapat juga kejanggalan pada cara Laporan RCIIIS merujuk saksi-saksi. Kadang kala ia merujuk saksi sebagai ‘beliau’, dan ada kalanya pula menggunakan perkataan ‘dia’. Seolah-olah wujud perbezaan kasta dalam kalangan saksi-saksi yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya tersebut.

Sekali imbas, kita boleh melihat bahawa ringkasan terhadap keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi ditulis semula secara sangat ringkas dan bermutu rendah. Tidak hairanlah kenapa laporan RCIIIS ini kehilangan 5,000 muka surat selebihnya yang sepatutnya memuatkan nota-nota keterangan saksi-saksi.

Terjemahan ini mula kedengaran lucu pada halaman 261, apabila laporan tersebut menyebut:

‘Kami mula, kerana adalah perlu bagi kami dalam menetapkan asas yang sepatutnya, dengan meneliti secara ringkas perpspektif sejarah berhubung dengan penghijrahan awal orang dari Filipina ke Sabah termasuk penghijrahan yang berikut selepas itu. Penghijrahan ini adalah tersendiri, ditentukan pada dasarnya dan dengan berkesan oleh masa, hal keadaan dan peristiwa. Terdapat 3 peringkat yang terlibat.’

Jika dibaca oleh golongan yang bagus berbahasa Malaysia, perenggan ini kedengaran pelik dan janggal sekali. Barangkali kerana ketergesaan menterjemahnya daripada teks asal berbahasa Inggeris telah menghasilkan kerja yang cincai dan tidak membawa makna. Sukar juga untuk kita fahami perenggan ini dan apa sebenarnya yang ingin disampaikan.

Begitu juga dengan suatu perenggan di mukasurat 266, yang berbunyi:

‘Mengenai isu tentang bentuk demografi yang melibatkan penduduk asal Sabah, Profesor Dr Ramlah (W1) merujuk kami kepada dua teori utama sebagai faktor penyumbang.’

Perenggan ini pastinya boleh ditulis dengan lebih baik. Contohnya, ‘Berkenaan isu rupabentuk demografi yang melibatkan penduduk asal Sabah, Profesor Dr Ramlah menarik perhatian kami kepada dua teori faktor penyumbang.’ Kejanggalan dalam penterjemahan ini adalah disebabkan penterjemahan terus secara cuai dan malas daripada teks asal berbahasa Inggeris.

Penulisan laporan ini yang menggunakan gaya penulisan alasan penghakiman pastinya lebih baik mutunya sekiranya tidak dibuat secara sambil lewa. Gaya penulisan alasan penghakiman ini boleh dilihat pada mukasurat 292 laporan RCIIIS:

‘Sekarang kami akan meneliti “faktor menolak” dan “faktor menarik” yang dikatakan dalam konteks pendatang tanpa izin dari Filipina dan Indonesia. Kami bermula daripada konteks umumnya.’

Ayat-ayat ini dan ayat seterusnya mempunyai mutu terjemahan yang buruk sekali. Apa itu ‘konteks umumnya’? Apa makna frasa ini? Apa bendanya pula ‘faktor menolak’; kenapa tidak digunakan ‘faktor pendorong’?

Banyak lagi contoh-contoh yang boleh kita dapati dalam laporan ini yang akan membuat pengamal bahasa merasa jelik.

Seandainya inilah mutu penterjemahan dokumen rasmi kerajaan yang sedari awalnya tidak pun ditulis dalam Bahasa Kebangsaan, bagaimanakah kerajaan boleh membuktikan bahawa ia benar-benar mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan, dan bagaimana pula gesaan menggunakan papan tanda dengan tulisan Jawi boleh membantu kakitangan kerajaan untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan lebih baik dan bukan secara cincai.

Bukan sahaja RCIIIS kehilangan sebahagian besar kandungan laporan yang sepatutnya didedahkan kepada orang ramai, naskhah yang tidak sampai 10% daripada keseluruhan teks laporan juga ditulis dan diterjemah secara sambil lewa. Tidak hairanlah kenapa Perdana Menteri Najib Razak pun menjauhkan diri daripada pelancaran laporan ini dan hanya menyerahkannya kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, dengan tidak seorang pun menteri kabinet Persekutuan hadir.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.