Walaupun Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi menunjukkan SMS daripada pengurus bintang K-Pop Korea Selatan Psy kepada pihak polis berkenaan ancaman bunuh terhadap bintang itu, beliau masih lagi tidak memperjelaskan kemelut “yee sang” Perdana Menteri, Datuk Seri Najib di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Barisan Nasional Pulau Pinang pada hari kedua Tahun Baru Cina lapan hari lalu.
Semalam, Rahim menunjukkan kepada wartawan SMS yang dihantar oleh pengurus Psy kepada polis pada Feb 10 pada 8.30PM yang menyebut: “Kami menerima ancaman bunuh yang serius yang mengatakan mereka akan menghentikan Psy apa cara sekalipun di lapangan terbang dan hotel di Pulau Pinang.”
Ketua Polis Pulau Pinang berkata polis telah mengetatkan kawalan keselamatan dengan menghantar 11 orang pegawai untuk memastikan bintang Korea itu selamat sewaktu ketibaannya pada pagi 11 Febuari.
Bagaimanapun, mengapa Perdana Menteri, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah dan Menteri Kabinet perlu melalui kejadian memalukan dan penghinaan kerana perlu menunggu di atas pentas selama lima minit untuk Psy menyertai mereka di dalam upcara “menggaul yee sang”, kemudiannya terpaksa malu-malu turun daripada pentas apabila upacara “menggaul yee sang” tidak disempurnakan – yang dianggap petanda buruk bagi ramai orang?
Ancaman bunuh itu, jika benar, ditujukan kepada Psy di lapangan terbang dan hotel, bukan di tapak Sekolah Han Chiang – dan sebenarnya tiada apa yang berlaku di lapangan terbang dan hotel menimbulkan pertanyaan sama ada “ancaman bunuh” terhadap Psy itu benar-benar boleh dipercayai atau sekadar lawak kebudak-budakan. Apakah polis telah menyiasat kewibawaan ancaman bunuh terhadap Psy di Pulau Pinang itu?
Walau bagaimanapun, keadaan Perdana Menteri, mantan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet meninggalkan pentas tanpa menyempurnakan “upacara yee sang” dengan kesemuanya kelihatan malu-malu kerana sia-sia menunggu Psy menyertai mereka selama lima minit, berbanding wajah panik kerana polis telah memberikan amaran ancaman “bunuh” atau “keselamatan” cuma menjadikan peristiwa itu jenaka orang ramai, kerana semuanya terakam dan dimuatnaik ke YouTube.
Pada asalnya, kemelut “yee sang” Najib dijelas oleh penganjur BN Pulau Pinang disebabkan oleh Menteri Pelancongan MCA Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen yang merosakkan aturcara dan menjadi punca pemimpin BN “merah muka” apabila beliau membuat keputusan sendiri memberitahu pengacara secara mengejut menjemput Psy menyertai upcara “yee sang” walaupun tidak terdapat di dalam program.
Kemudian terdapat versi kedua yang bercanggah dengan versi pertama, mendakwa kemelut “yee sang” Najib berpunca daripada ancaman terhadap nyawa Psy dan Perdana Menteri.
Rahim berkata semalam tiada ancaman bunuh kepada Perdana Menteri. Tiada juga bukti terdapatnya “ancaman bunuh” terhadap Psy di Han Chiang.
Mengapa penganjur BN tergesa-gesa membawa Najib dan VIP lain turun pentas sebelum disempurnakan upacara “yee sang”?
Penganjur BN Pulau Pinang hanya membuktikan kebenaran ungkapan bahawa anda perlu lakukan ribuan penipuan untuk menutup satu penipuan.
This article is also available in English at: https://blog.limkitsiang.com/2013/02/19/bn-will-have-to-tell-a-thousand-lies-to-cover-up-the-one-lie-about-najibs-yee-san-fiasco-at-the-penang-bn-cny-open-house-featuring-psy/