Mengangkat martabat Dayak


Komentar Roketkini
17 June 2011 | Roketkini

17 JUN – Hampir 100,000 warga Malaysia keturunan Dayak dari Sarawak terpaksa meninggalkan negeri untuk mencari kerja di Semenanjung. Keadaan menyedihkan itu berlaku kerana kerajaan negeri Barisan Nasional Sarawak gagal menyediakan peluang pekerjaan yang secukupnya.

Daripada jumlah 2.4 juta penduduk Sarawak, separuh daripadanya adalah dari kalangan masyarakat Dayak yang merangkumi Iban, Bidayuh, Kelabit, Kenyah, Penan, Kayan, Punan, Ngaju, Lun Bawang, Sihan dan suku-suku kaum lain.

Malah, kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Adul Taib Mahmud mahu anak-anak negeri yang masih berada di kampung supaya bersaing dengan buruh asing di lading-ladang kelapa sawit yang hanya menawarkan gaji RM12 sehari.

Ini adalah satu daripada masalah yang terpaksa dihadapi warga Sarawak, hasil kajian dan pemerhatian aktivis sosial dan politik Sarawak Dr John Brian Anthony anak Jemery Guang.

Melalui tulisan dalam blognya dayakbaru.com, beliau berkata kerajaan Taib Mahmud juga telah membinasakan hutan rimba dan mencemar sungai-sungai di Sarawak di samping menyekat masyarakat Dayak daripada bertani berikutan langkah kerajaan negeri menyerahkan tanah adat NCR kepada kroni-kroni BN untuk membuka ladang.

Sehubungan itu, beliau menyokong usaha DAP menubuhkan Yayasan Pemikir Dayak atau Dayak Brain Trust (DBT) untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi masyarakat Dayak di Sarawak.

Cadangan menubuhkan DBT yang diumumkan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang baru-baru ini adalah hasil perbincangan dan dialog para pemimpin parti dengan pemimpin-pemimpin tempatan di Sarawak. DBT akan berfungsi sebagai badan penasihat yang dianggotai 10 profesional Dayak bagi menangani isu-isu masyarakat pedalaman Sarawak.

Kit Siang telah menjelaskan pakar-pakar professional itu akan memberi khidmat nasihat kepada DAP dan Pakatan Rakyat di Sarawak tentang cara untuk membantu dan menyemai kesedaran hak di kalangan penduduk pedalaman.

Dr John Brian bersetuju tentang pentingnya sebuah wadah pemikir seperti DBT untuk kaum Dayak.

Menurutnya, parti-parti BN yang mengaku memperjuangkan hak Dayak seperti Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) enggan mewujudkan wadah pemikir sedemikian kerana sikap angkuh pemimpin mereka serta bimbang kedudukan politik mereka digugat oleh pakar-pakar profesional.

Sedangkan, beliau menjelaskan, parti-parti BN itu serta kerajaan negeri Sarawak tidak serius dalam usaha mewujudkan program pembangunan perniagaan Dayak serta tabung pendidikan Dayak – menyebabkan masyarakat Dayak terpinggir dari apa-apa usaha kemajuan kerajaan negeri.

Persatuan Dayak Iban Sarawak (Sadia) turut mengaku-alukan langkah DAP mewujudkan DBT yang turut dilihat dapat menjadi pusat sumber masyarakat Dayak, bukan sahaja untuk DAP mendalami isu-isu kaum-kaum pribumi tetapi juga bagi semua pihak yang mengambil berat tentang hal-ehwal Dayak.

Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng menjelaskan bahawa DBT akan menambah baik usaha parti yang semakin rapat dengan kaum-kaum pribumi lain seperti Melayu dan Melanau.

Menurutnya, keputusan pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April lalu telah menunjukkan sokongan undi masyarakat Dayak kepada Pakatan Rakyat telah meningkat daripada 22 peratus pada PRN 2006 kepada 32 peratus pada PRN 2011.

“Selama ini Sarawak dan masyarakat Dayak yang dikatakan menjadi simpanan tetap kepada BN telah terbukti sudah dipecahkan. Warga Sarawak mahu perubahan yang sebenar,” katanya.

Perubahan untuk mengangkat martabat dan taraf hidup masyarakat Dayak memerlukan perubahan dan iltizam politik yang serius. BN Sarawak terbukti tidak mampu atau tidak mahu melaksanakan usaha itu. Kini usaha murni tersebut dibawakan oleh DAP dengan kerjasama rakan-rakan komponen Pakatan Rakyat serta warga-warga prihatin anak negeri Sarawak.

Sewaktu mengemukakan cadangannya di Sibu awal bulan Jun ini, Kit Siang membuka persoalan: mampukah Pakatan Rakyat membuat perubahan besar melalui usaha menarik sokongan warga Sarawak dan Sabah?

Bagi beliau, DAP dan Pakatan perlu mensasarkan 30 kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah untuk membolehkan perubahan politik negara dengan cara mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

“Mampukah Pakatan Rakyat menang 15 kerusi Parlimen di Sarawak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti? Kesemua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak perlu menetapkan matlamat ini sebagai panduan dalam segala usaha, pendirian, kenyataan dan tindakan mereka,” katanya.

Kit Siang membayangkan DBT tidak perlu dianggotai oleh ahli DAP, dan sepatutnya komposisi majoriti keahlian yayasan itu dipenuhi oleh tokoh dan pakar dari kalangan Dayak yang bukan ahli parti.

Baginya, ia bukan soal DAP meluaskan pengaruh politik tetapi untuk semua rakyat Malaysia, termasuk Dayak, bangkit untuk memainkan peranan penuh dalam bidang-bidang politik, ekonomi, budaya dan pembaharuan intelek.

Daripada 222 kerusi Parlimen Malaysia, Sarawak mempunyai 31 kerusi manakala Sabah 25. Setakat ini, Pakatan mempunyai dua kerusi Parlimen di Sarawak dan satu di Sabah (dua lagi kerusi Parlimen Sabah dalah milik SAPP yang keluar BN tetapi tidak bergabung dengan Pakatan).

Dalam PRU 2008, Pakatan Rakyat menang 82 kerusi Parlimen, menafikan majoriti dua pertiga BN. – Roketkini.com

  1. #1 by Bigjoe on Saturday, 18 June 2011 - 10:26 am

    I think its time the opposition promise the Dayak as a separate official race to be put into their Mycard, a distinct Bumi group. Potentially it can open up a can of worms with the many other groups in Sabah that are distinct but their numbers are not as large. Its important to ensure such opening up of categories does not run away, perhaps limited to 2/3 more at best or administratively it will get hairy..

You must be logged in to post a comment.