Kenapa Najib biarkan Utusan?


Husam Musa
The Malaysian Insider
May 15, 2011

15 MEI — Saya merujuk kenyataan Perdana Menteri bahawa teori menukar kedudukan Islam dalam perlembagaan negara adalah tidak wujud.

Trend Utusan Malaysia mempermainkan api perkauman dan agama — terakhir isu konspirasi Kristian – jelas membahayakan keamanan negara dan kemakmuran hidup masyarakat majmuk Malaysia.

Ia tidak membantu menguatkan Islam bahkan sebaliknya memercikkan api yang boleh melemahkan negara dan kedudukan Islam di negara ini.

Tepat sepertimana disebut Perdana Menteri sendiri,

“…semua pihak mesti membendung perasaan emosi untuk tidak membuat perkara yang boleh mengganggu-gugat keamanan, keharmonian serta kesejahteraan negara.” (Perdana Menteri; Berita Harian 12 Mei 2011)

Persoalannya, jika Perdana Menteri sedar gerakan ini membahayakan negara, kenapa Utusan Malaysia bebas menjadi ‘anak nakal’ yang tidak bertanggungjawab menabur api fitnah sesuka hati?

Jika kenyataan Hatta Hawari, wartawan Utusan Malaysia yang terpecat kerana membongkarkan agenda politik Utusan Malaysia yang jelek dalam rangka mengekalkan UMNO/BN terus berkuasa dijadikan asas, jelas wujud persekongkolan antara Utusan Malaysia dan UMNO.

Adakah kerana itu Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia tidak bertindak terhadap Utusan Malaysia?

Ini bermakna, Perdana Menteri selaku presiden UMNO sebenarnya merestui agenda Utusan Malaysia. Perdana menteri bermain dua watak sekaligus dan membawa dua pancing satu umpan.

Pada satu pihak, Utusan Malaysia bertindak bagi pihak UMNO menimbulkan sentimen terancam (fear psychology) iaitu supaya orang Melayu kekal menyokong UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang, sama seperti sentimen dari isu ‘tengkolok bersalib’ yang dikenakan ke atas Tengku Razaleigh Hamzah menjelang PRU-1986 yang lalu.

Namun apabila agenda ini bergerak memakan tuan dan langkah Utusan Malaysia ditolak oleh majoriti rakyat, Perdana Menteri mengambil watak bersikap lebih sederhana dan pertengahan.

Sikap talam dua muka dengan isu sensitif ini dikuatkan dengan tiada sebarang tindakan tegas diambil ke atas Utusan Malaysia.

Dengan itu, boleh dipastikan Utusan Malaysia akan terus-menerus menggunakan kad perkauman dan agama menjelang pilihanraya umum akan datang.

Suka saya mengingatkan, langkah ini bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang menggunakan provokasi kaum dan agama. Larangan memaki hamun sembahan yang lain yang boleh menimbulkan kebencian agama seperti firman Allah s.w.t dalam Surah Al-An’am, ayat 108 boleh dijadikan contoh.

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

Langkah Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab untuk tidak bersolat dalam gereja Kristian walaupun dijemput berbuat demikian dalam peristiwa pembukaan Baitul Maqdis dengan tujuan mengelakkan persengketaan merebut rumah ibadah, juga boleh dijadikan contoh penghormatan beragama yang diberikan oleh Islam untuk mewujudkan keharmonian dalam sesebuah negara.

Tindakan Utusan Malaysia yang provokatif dan sikap berlepas tangan Perdana Menteri, adalah sama sekali menyalahi ajaran Islam dan berbahaya kepada norma kerukunan masyarakat Malaysia pada keseluruhannya. Ini adalah politik Machiavelli pada peringkat yang tertinggi.

Saya selaku rakyat merakamkan rasa kesal terhadap perkembangan ini.

Sekian, terima kasih.. — harakahdaily.net

  1. #1 by dagen on Monday, 16 May 2011 - 8:56 am

    Yeah. Kedudukan islam di malaysia memang sudah dilemahkan oleh umno dan mulut besat umno, iaitu utusan.

  2. #2 by cemerlang on Monday, 16 May 2011 - 10:01 am

    UMNO is
    United Mightiness National Organization
    United Monetarism National Organization
    United Malay National Organization
    United Muslim National Organization

You must be logged in to post a comment.