oleh Zai
Roketkini
Pada 27 Mac 2017
Lim Kit Siang bukanlah satu nama yang asing dalam arena politik negara. Pelbagai kecaman, tohmahan dan fitnah dilemparkan ke atas pemimpin tertinggi Parti Tindakan Demokratik (DAP) ini. Namun, beliau masih berdiri teguh untuk memastikan misi ‘Selamatkan Malaysia’ yang diperjuangkan sejak lebih 30 tahun lalu dapat direalisasikan.
Umum mengetahui pelbagai kecaman dan tuduhan berbentuk rasisme sering dilemparkan ke atas beliau oleh pemimpin-pemimpin yang bersifat ultra-Melayu. Di sebalik isu-isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh pemimpin-pemimpin tersebut yang kini memegang tampuk kepimpinan negara, mereka seperti tidak terkesan dengan apa yang sedang berlaku bahkan mengalihkan perhatian rakyat marhaen kepada isu rasisme ini.
Persoalannya, sampai bila isu rasisme harus dimainkan sehingga isu-isu berkaitan kebajikan rakyat seperti tidak diendahkan? Apakah mereka mengambil perhatian terhadap kos sara hidup yang semakin hari semakin tinggi hingga derita itu ditanggung oleh rakyat biasa? Isu tentang penyalahgunaan kuasa hingga menyebabkan institusi-institusi seperti MARA dan FELDA yang sepatutnya membela masyarakat Melayu-Bumiputera seharusnya dipandang serius dan harus punya kaedah penyelesaian yang lebih efektif kerana isu ini melibatkan kesejahteraan rakyat juga khususnya masyarakat Melayu-Bumiputera.
Namun harus diingatkan bahawa kebajikan dan hak-hak komuniti lain juga harus dijaga kerana mereka juga rakyat Malaysia. Selagi mana kebajikan setiap rakyat dijaga dan dipenuhi tidak kira kaum, agama, gender dan warna kulit, maka isu-isu rasisme ini tidak akan dijadikan modal politik lagi.
Bagaimana institusi-institusi yang sepatutnya membela orang Melayu-Bumiputera berfungsi dengan baik sebagaimana matlamat asal penubuhannya sedangkan pelbagai kontroversi melanda institusi-institusi tersebut? Adakah rakyat masih percaya dengan kewibawaan pemimpin-pemimpin yang diamanahkan menjaga institusi-institusi ini sedangkan pelbagai bukti menunjukkan mereka menyalahgunakan wang yang sepatutnya difikirkan mampu membantu orang Melayu-Bumiputera.
Benarlah kata-kata Datuk Ariff Sabri, Ahli Parlimen Raub pada Persidangan DAP 2016, perkataan Bumiputera sekarang meletakkan ‘Putera’ di hadapan manakala ‘Bumi’ di belakang. ‘Putera’ bermaksud pemimpin-pemimpin yang diamanahkan menjaga institusi-institusi ini manakala ‘Bumi’ merujuk kepada rakyat. Adakah kesejahteraan rakyat tidak diendahkan manakala wang yang sepatutnya dilaburkan untuk rakyat disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin tersebut? Fikirkan lah secara kritis siapa sebenarnya mengkhianati masyarakat Melayu dan Bumiputera kini.
Baru-baru ini Lim Kit Siang sekali lagi menjadi topik utama media arus perdana kerana seorang pemimpin tertinggi UMNO menawarkan sejumlah wang tunai kepada sesiapa yang mampu menulis tentang pemimpin tersebut bersikap rasis. Bahkan ganjaran tersebut baru sahaja dinaikkan lagi kononnya ia dapat menarik perhatian rakyat untuk bertungkus lumus mengusahakan sebuah karangan yang menunjukkan pemimpin tertinggi DAP itu bersikap rasis. Persoalannya, benarkah pemimpin tersebut bersikap rasis?
Umum mengetahui DAP yang wujud sejak 51 tahun yang lalu berjuang untuk kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, gender dan warna kulit. Apakah pemimpin tertinggi UMNO tersebut tidak sedar atau buat-buat lupa bahawa parti pimpinannya itu terbentuk di atas kapasiti kaum iaitu Melayu.
Lim Kit Siang pernah dipenjarakan dua kali dan tragedi 13 Mei 1969 sehingga kini dikaitkan dengan beliau walaupun beliau tidak berada di Kuala Lumpur pada ketika itu. Tragedi tersebut masih menjadi misteri dek kerana ia menjadi salah satu isu sensitif dan tidak didedahkan pada umum namun adakah pemikiran rakyat yang menganggap Lim Kit Siang bertanggungjawab di atas berlakunya tragedi tersebut boleh berubah kerana hakikatnya beliau tidak terlibat langsung mencorakkan tragedi tersebut daripada berlaku?
Pemimpin UMNO yang menawarkan ganjaran tersebut harus sedar skandal-skandal melibatkan beliau tidak dapat dialihkan dengan perkara remeh seperti ini kerana rakyat bijak menilai pada masa kini siapa yang telus memperjuang nasib mereka. Daripada membazir wang tersebut, maka eloklah wang itu disalurkan pada mereka yang memerlukan melalui badan-badan kebajikan.
Bukankah itu dianggap sedekah dan menjadi ganjaran pahala untuk pemimpin tersebut? Pemimpin tersebut harus ingat fitnah dan mengadu domba adalah suatu kesalahan yang membawa kepada dosa. Ingatlah bahawa kita tidak harus fokus kepada kehidupan di dunia ini semata-mata. Islam juga menentang tabiat memfitnah kerana dosanya lebih teruk daripada membunuh. (Surah Al-Baqarah : Ayat 191)
Rakyat harus menggunakan peluang untuk mengubah kepada kerajaan yang serius memperjuangkan hak mereka. Rejim yang memecah belahkan rakyat seharusnya ditunjukkan jalan keluar daripada memimpin negara. Pilihan raya semakin dirasai kehangatannya. Medium tersebut harus digunakan sebaiknya untuk mengubah Malaysia supaya menjadi lebih baik. Ayuh rakyat Malaysia. Noktahkan kepimpinan kleptokrat dan rasis untuk Malaysia yang lebih baik. – Roketkini.com
*Zai merupakan seorang Melayu Muslim yang menyokong Malaysian Malaysia