DAP bakal lahirkan ‘anak sulung’ di Indera Kayangan?


– Abdul Aziz Isa
The Malaysian Insider
10 September 2015

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), DAP buat pertama kalinya meletakkan calon di negeri Perlis di Dewan Undang Negeri (DUN) Titi Tinggi. Calon DAP iaitu Teh Seng Chuan memperoleh undi sebanyak 2,439, calon MCA iaitu Khaw Hock Kong memperoleh undi sebanyak 3,925 manakala calon bebas Yaacob Man memperoleh undi sebanyak 968. Majoriti undi calon MCA adalah 1,486.

Jika berlaku 2 penjuru, tidak mustahil undi calon bebas (andai kata sahaja, kita hiraukan sama ada undi calon bebas itu majoriti Melayu atau ada undi Cina) akan pergi ke calon DAP dan kemungkinan besar calon DAP akan memperoleh undi sebanyak 3,407 dan ini akan mengurangkan majoriti MCA sebanyak 518 undi.

Hal ini menunjukkan pada PRU14 akan datang DAP akan dapat menewaskan calon MCA di DUN Titi Tinggi dan seterusnya mencipta sejarah baharu dengan melahirkan “anak sulung” DAP di negeri Indera Kayangan itu.

Tidak mustahil juga jika DAP hendak mencuba satu kerusi majoriti Melayu iaitu di DUN Beseri yang terletak bersebelahan DUN Titi Tinggi. Mungkin DAP boleh meletakkan seorang calon Melayu bagi merampas kerusi tersebut daripada Umno. Memandangkan jumlah undi majoriti yang diperoleh oleh calon Umno hanya 540.

Ini bermaksud DAP mempunyai harapan jika berlaku pertembungan 3 penjuru antara PAS, DAP dan Umno di kawasan tersebut.

Sekiranya DAP meletakkan calon Cina di DUN Titi Tinggi dan calon Melayu di DUN Beseri, mungkin suara rakyat Perlis akan lebih didengari. Isu-isu seperti industri gula, keselamatan sempadan Thailand-Malaysia, pengagihan zakat, NCER, peluang pekerjaan dan kebajikan dapat digunakan sebagai isu utama di dua kawasan DUN tersebut.

Sudah 58 tahun Umno memerintah Perlis namun tidak banyak pembangunan dan kemajuan dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan Umno. Perlis seolah-olah seperti negeri yang dilupakan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri pula seolah-olah tidak mempunyai idea yang kreatif dan bernas untuk mengangkat nama Perlis di persada Malaysia. Mungkin sudah tibanya DAP serius untuk menggegarkan Perlis dengan mengetengahkan isu-isu sebegini.

Biarpun kerusi DUN di bawah Parlimen Kangar mempunyai potensi untuk ditembusi namun DAP boleh meneroka kawasan baharu di Parlimen Padang Besar sebagai batu loncatan untuk menafikan 2/3 majoriti Barisan Nasional (BN) di negeri Perlis.

DAP boleh jadikan Parlimen Padang Besar sebagai tapak asas paling utara untuk kelangsungan politik DAP, manakala PKR di Parlimen Kangar dan Amanah di Parlimen Arau. Jika DAP sudah bertapak di kawasan paling selatan di Semenanjung Malaysia iaitu Parlimen Tanjong Piai, tiba masanya DAP memilih Parlimen Padang Besar sebagai kawasan paling utara di Semenanjung Malaysia.

Kalau sudah dapat ekor, mesti dapat kepala untuk menyempurnakan segala-galanya.

Sepintas analisis yang boleh diguna pakai oleh DAP Perlis bagi persiapan PRU14 akan datang. Mungkin pendapat ini dapat dibawa ke peringkat atasan sebagai rujukan.

Analisis seterusnya, negeri Jelapang Padi. – 10 September, 2015.

* Penulis ialah setiausaha Publisiti Pemuda DAP Petra Jaya.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.