4 soalan kepada Melayu DAP


– Sheikh Omar Ali
The Malaysian Insider
8 September 2015

Beberapa hari lalu, seorang senior saya semasa bergiat dalam Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) dahulu mengutus mesej menerusi WhatsApp.

Beliau memohon agar saya menjawab beberapa persoalan yang diajukan rakan beliau berkaitan Melayu dalam DAP.

Saya terpanggil untuk kongsikan pandangan dan pendirian saya sebagai seorang Melayu dalam DAP kepada pembaca.

Soalan 1: Kenapa Melayu-Islam perlu bersama DAP?

Melayu Islam perlu bersama DAP kerana DAP merupakan sebuah parti politik yang sah seperti termaktub dalam perlembagaan dan pendaftaran pertubuhan. Menurut perlembagaan DAP, ia merupakan parti yang bukan berasaskan kaum atau agama. Tidak kira apa juga bangsa dan agama, boleh sertai DAP.

DAP berjuang atas dasar sosial demokrasi. Sosial bermaksud DAP ingin mengangkat martabat rakyat tanpa mengira latar belakang. Demokrasi bermaksud DAP akan bergerak mengikut lunas-lunas demokrasi untuk menjayakan agenda perjuangannya. Pendirian saya, demokrasi adalah selari dengan Islam dan disahkan Qardhawi dalam banyak tulisannya mutakhir ini. Dalam Islam, ia menepati konsep Masdaqul Ijtima’iyyah – people’s mandate.

Soalan 2: Apa faktor yang menyebabkan sebilangan orang Melayu-Islam kini menyertai DAP?

Orang Melayu Islam menyertai DAP kerana ruang yang luas diberikan DAP selari dengan perjuangan digariskan dalam perlembagaan parti. DAP juga serius dalam menarik seramai mungkin anak muda khususnya untuk bersama DAP dan menjadi pemain utama dalam menentukan halatuju politik negara menerusi wadah parti politik DAP. Contoh sebagai bukti, 80% adun DAP di Johor adalah dibawah paras umur 35 tahun.

Selain itu, bertepatan dengan usaha serius pimpinan DAP iaitu membetulkan persepsi rakyat yang diracuni Umno, DAP parti Cina. Liew Chin Tong – AJK DAP pusat sendiri pernah menggagaskan dalam konvensyen DAPSY Johor tahun lalu dan diperteguhkan menerusi satu retreat DAP Kebangsaan pada pertengahan tahun ini, kearah merealisasikan DAP sebagai parti semua rakyat Malaysia dan benar-benar ber’wajah’ Malaysia selepas lebih 50 tahun Umno mendakyahkan DAP di mata rakyat dengan ‘hantu’ perkauman.

Justeru, tidak salah dan DAP amat mengalu-alukan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama; termasuklah Melayu-Islam untuk menyertai DAP.

Soalan 3: Sejauh mana DAP boleh menjamin hak/kedudukan Melayu-Islam?

DAP serius mempertahankan hak Melayu-Islam yang selari dengan ruh perlembagaan sepertimana yang pernah digariskan dalam Common Policy Framework PR satu masa dahulu berkaitan kedudukan Raja, Agama, Bahasa dan Bangsa.

Dalam masa yang sama, DAP turut mengangkat, menghormati dan mengiktiraf kepelbagaian bangsa, agama dan bahasa yang lain yang wujud di Malaysia sesuai dengan semangat keharmonian rakyat dalam bernegara.

DAP melawan sebarang bentuk penyalahgunaan elemen agama, bangsa dan bahasa yang akhirnya menyemai kebencian serta prejudis di kalangan rakyat seterusnya meruntuhkan keharmonian dalam bernegara.

Soalan 4: Ahli-ahli DAP tergolong dari golongan liberal yang banyak menyentuh isu sensitif Islam seperti LGBT dll. Apa pandangan dan bagaimana ia boleh menjamin kedudukan Islam?

Saya ingin menjadi seorang Muslim yang baik dan kuat beragama. Dalam masa yang sama, saya tidak sedikit pun merasa rendah diri menjadi ahli DAP. Saya dihormati rakan dan pimpinan DAP dan saya tidak pun menerima sebarang ancaman sepanjang berada dalam DAP!

Menurut perlembagaan parti, DAP merupakan sebuah parti sekular. DAP tidak akan menjadikan sentimen mana-mana agama sekalipun disalahgunakan untuk kepentingan parti atau kelompok tertentu. Dan DAP menghormati mana-mana sahaja ahlinya untuk menjadi seorang yang kuat beragama. Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya.

Adapun nilai-nilai baik yang datang daripada ajaran agama tidak menjadi masalah dalam DAP untuk diterima. Selagi mana ia boleh dikemukakan, dihujahkan dan diperbahaskan dalam kerangka kebebasan bersuara, mengkritik dan memilih mengikut lunas2 demokrasi.

Itulah juga ajaran Islam. Kita tidak boleh memaksa, sebaliknya menerang, mendakwahkan dan mendatangkan hujah sehingga datang keyakinan orang untuk menerimanya. – 8 September, 2015.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.