Tak mengapa jadi ‘Mugabe’, asalkan terus berkuasa


Amin Iskandar
The Malaysian Insider
26 July 2015

Tiada berita lebih besar di Malaysia minggu ini selain penggantungan permit penerbitan akhbar mingguan The Edge dan harian The Edge Financial Daily.
Mana tidaknya, petanda sesebuah pemerintah atau kerajaan itu menuju kediktatoran adalah menekan media atau menutup surat khabar, sesuatu yang pernah dilakukan diktator-diktator “ulung” Asia Tenggara seperti bekas Presiden Indonesia, Suharto.

Ironinya, jika dahulu majalah Tempo “dikerjakan” Suharto kerana laporan tentang skandal pembelian kapal perang, akhbar The Edge kini digantung kerana menyiarkan laporan tentang syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Alasan digunakan Suharto pada ketika itu untuk menutup Tempo dan beberapa akhbar lain yang melaporkan skandal “anak emasnya” B. J. Habibie sama seperti digunakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu memudaratkan ketenteraman awam!

Pada masa sama, “ikan-ikan bilis” berkait dengan 1MDB satu persatu didakwa di mahkamah.

Mungkin juga semua ini hanyalah kebetulan akan tetapi menghairankan “jerung besar” seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa The Wall Street Journal (WSJ) menerima RM2.67 bilion wang 1MDB dalam akaun peribadinya tidak pula berdepan apa-apa siasatan atau tindakan.

Akan tetapi semuanya sudah dijangka dan diramalkan seorang penganalisis politik antarabangsa yang sangat faham tentang Malaysia.

Katanya Najib sudah pasti akan melepasi siasatan pasukan petugas khas berhubung 1MDB kerana semua agensi terlibat berada di bawah kuasanya.

Jadi Mugabe

Minggu lalu ketika rakyat Malaysia sibuk merayakan Syawal, penulis sempat minum kopi dengan 2 aktivis politik veteran tanah air yang terlibat secara langsung dalam isu-isu besar negara sejak 1970an.

Seorang mengatakan usia pemerintahan Najib akan berakhir tidak lama lagi ekoran skandal-skandal melanda dirinya dan perlawanan dari dalam Umno yang sudahpun bermula.

Katanya tidak mungkin Najib mampu menahan serangan dari dalam Umno dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berlaku secara bertali arus.

Seorang lagi pula percaya Najib akan kekal berkuasa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa.

Katanya, tidak mustahil Najib akan “mentransformasikan” dirinya menjadi seperti Robert Mugabe di Zimbabwe dan tidak mempedulikan lagi komuniti antarabangsa kerana tidak mungkin beliau akan dilepaskan daripada skandal 1MDB sekalipun bersetuju untuk bersara.

Hari ini terbukti Najib menuju “Mugabe” apabila kerajaan pimpinannya menggantung akhbar kerana melaporkan skandal 1MDB.

Tidak tahulah bagaimana Najib yang sebelum ini dipuji Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sebagai seorang “reformis” mahu menjawab isu penggantungan akhbar The Edge dalam lawatan Perdana Menteri Britian David Cameron ke Malaysia minggu depan.

Sepatutnya, negara demokrasi seperti Britian tidak akan senang dengan berita penindasan terhadap media. Cuma selalunya demi kepentingan “perniagaan”, mereka mungkin buat-buat tidak tahu.

Mungkin juga rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi perlu memikirkan cara untuk “menyampaikan” mesej ini kepada Cameron.

Sebelum Malaysia jadi Zimbabwe, sesuatu perlu dilakukan. Kalau “nasi dah jadi bubur”, susahlah… – 26 Julai, 2015.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.