Andai Watergate di Malaysia: satu imaginasi ringkas


Mohsin Abdullah
The Malaysian Insider
27 July 2015

Sebut Watergate umum terus kaitkan dengan skandal politik besar di Amerika Syarikat (AS) pada 1972. Ramai tahu kisahnya. Maka tidak perlu saya mengulangi apa yang orang sudah tahu. Bagi yang “lupa” atau mereka yang mahu imbas kembali sila google.

Pun begitu, bercakap mengenai Watergate dua nama timbul dengan serta merta. Bob Woodward dan Carl Berstein. Kedua-duanya wartawan akhbar The Washington Post yang membongkar skandal itu dengan “bantuan” pemberi maklumat misteri yang mereka gelar “Deep Throat”. Lantas menyaksikan pelbagai siasatan dijalankan sehingga membawa ke Kongres.

Memendekkan cerita yang panjang, kemuncaknya ialah Richard Nixon, presiden AS ketika itu terpaksa meletak jawatan pada 1974. Woodward and Berstein menjadi terkenal. Mendapat bermacam pengiktirafan termasuk memenangi Anugerah Putlizer. Dan buku buku yang mereka tulis menjadi best seller.

Hollywood turut “masuk campur” dan menerbitkan filem mengenai 2 wartawan itu dalam pembongkaran Watergate. Dibintangi Robert Redford dan Dustin Hoffman sebagai watak utama. ‘All The President’s Men’ judul filem itu. Sekali lagi sila google untuk butiran lanjut. Cukup setakat itu. Kini izinkan fikiran melayang dan berimaginasi.
Agak agak jika skandal Watergate berlaku di Malaysia bagaimanalah jalan ceritanya?

Adakah Woodward dan Berstein akan bebas membongkar, berjaya ‘membersihkan’ negaranya daripada kekotoran skandal dan akhirnya dihargai ramai dan diberi anugerah? Dan jangan lupa “kerana mereka”, pemimpin nombor satu negara terpaksa melepaskan jawatan.

Mungkinkah mereka akan dituduh mengancam ketenteraman awam, menjejaskan keselamatan negara, menerbitkan berita tidak sah, berkomplot menjatuhkan pemerintah?

Wallahualam.

Cukuplah dengan imaginasi , andaian serta spekulasi dan agak-agak . Kembali ke alam nyata.

Kita tidak ada The Washington Post, Woodward, Berstein, Deep Throat, Watergate. Itu kisah Amerika. Kisah Malaysia, kita ada The Edge, Ho Kay Tat, Tong Kooi Ong, Xavier Justo, 1MDB. You all tahu kisahnya. – 27 Julai, 2015.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.