Memperkasa mahasiswa Melayu: Menjana minda kritis


– Dr Tajuddin Mohamad Rasdi
The Malaysian Insider
9 July 2014

Untuk memperkasakan lagi mahasiswa Melayu, mereka harus membangunkan minda yang kritis. Dalam era ledakan maklumat ini, terdapat banyak berita dan informasi yang boleh digunakan dan diinterpretasi namun kesahihan dan kepenggunaannya harus dipertimbangkan terlebih dahulu.

Tidak semua maklumat adalah benar, tidak semua maklumat bersifat neutral. Jika mahasiswa Melayu memperlengkapkan diri dengan kuasa minda yang kritis ia bukan saja dapat mententeramkan kehidupan keluarga, komuniti dan syarikat yang mnggajikannya ia juga akan dapat membangun dengan positif.

Terdapat enam tahap pengasahan minda kritis yang perlu dilalui dan dipraktik serta di praktis oleh mahasiswa Melayu.

Tahap pertama adalah untuk mendapatkan keseluruhan jalan cerita dan konteks seseuatu maklumat atau kejadian atau pernyataan. Tahap kedua mengidentifikasi sumber asal berita atau informasi tersebut sebelum mengambil apa-apa tindakan atau strategi. Dalam tahap ketiga mahasiswa perlu membuat pengujian kebolehyakinan terhadap sumber informasi dan berita tersebut.

Selepas itu, di tahap keempat perlu pula bertanyakan sama ada sumber informasi berita atau informasi tersebut boleh mendapat apa-apa keuntungan daripada penjelasan dan peyampaian berita dan infrormasi tersebut.

Tahap kelima pula adalah mengasingkan maklumat cerita dari interpretasi maklumat dan cerita yang disampaikan. Akhir sekali di tahap enam, apakah pertimbangan nilai kemanusiaan yang boleh diambil dalam membentuk proses tindakan dan kesimpulan daripada berita, maklumat atau data yang baru diperoleh itu?

Tahap 1: Memastikan keseluruhan cerita maklumat

Mahasiswa perlu memastikan ia faham dan tahu keseluruhan cerita sebenar. Contohnya jika ia diberitahu rakan yang meminjam keretanya itu mengakibatkan ia tercalar atau terguris, mahasiswa tersebut tidak sepatutnya melenting dan memarahi rakan tersebut. Rupa-rupanya ada motorsikal yang tergesel dengan badan kereta tersebut dan beredar tanpa mengambil tanggungjawab memberitahu keadaan sebenar.

Dalam isu politik dan masyarakat, kita sering mendengar tokoh politik Melayu memarahi kaum bukan Melayu kerana mengkritik Islam dan kedudukan Melayu. Jika mahasiswa itu tidak kritis mindanya maka ia juga akan terasa marah dan memusuhi kaum bukan Melayu. Jika disingkap keadaan keseluruhannya, tokoh bukan Islam itu sedang berbahas dengan tokoh Melayu yang mengguna kata kesat menghina kaum bukan Melayu dan agama mereka terlebih dahulu.

Tokoh bukan Melayu cuma bertindak balas secara manusia yang dihina sambil berkata terlanjur terhadap kaum Melayu dan Islam. Jika kita hendakkan Malaysia menjadi sebuah negara yang aman dan harmoni, pastikan maklumat yang diterima bersama dengan konteks percakapan atau perbuatan yang diketahui. Sebagai manusia yang banyak kelemahan, terdapat tokoh terlanjur kata secara tidak sengaja. Tetapi paling bahaya, terdapat tokoh politik yang sengaja hendak mengapi-apikan isu perkauman dengan berkata kesat dan menghina orang bukan Melayu dan bukan Islam supaya ia boleh melaporkan kritikan balas tanpa memberitahu konteks sebenar.

Tahap 2: Mengidentifikasi sumber sebenar

Acapkali kita menerima maklumat bukan sahaja yang menjadi secebis daripada cerita keseluruhannya, tetapi sumber yang menyampaikannya adalah bukan dari asal. Contohnya, pernah penulis mendapat maklumat daripada ibu mertua yang orang India dan Melayu bergaduh berpukul-pukulan antara mereka. Bila ditanya sumber maklumat tersebut, ia berpunca daripada penghulu kampung ibu mertua yang di Kajang.

Dari manakah penghulu itu mendapat tahu tentang kejadian yang berlaku 20 km dari Kajang? Rupanya ia bercakap dengan saudaranya dari telefon bimbit. Saudaranya pula mendapat berita dari sahabat yang lain. Jika ditinjau, tiada satu pun sumber maklumat tersebut nampak apa yang berlaku secara sendiri tetapi hanya menerima maklumat tersebut. Rupa-rupanya apabila disiasat, ia cuma berlaku pergaduhan antara jiran tetangga orang India dan orang Melayu cuba bantu leraikan. Jika kita tidak prihatin tentang sumber maklumat maka akan terjadi ketegangan antara kaum di Malaysia. Mahasiswa yang minda kritis akan menunggu dan tidak menghukum apa-apa selagi sumber sahih tidak dijunpai.

Tahap 3: Kebolehpercayaan sumber

Persoalan seterusnya adalah terhadap kebolehpercayaan sumber. Jika kita menjumpai sumber asal sesuatu kejadian atau peristiwa, penting untuk menilai sama ada sumber tersebut boleh dipercayai atau tidak. Pertamanya, adakah sumber tersebut suka bergurau dan sering mereka cerita untuk menjadi bahan tertawa? Atau adakah sumber mudah terlupa dan suka menokok tambah cerita untuk menyedapkan pemberitahuan peristiwa tersebut?

Atau sumber cerita adalah orang yang kurang pendidikan dan kurang memahami apa didengar atau dilihat. Semua jenis sumber ini boleh menjadi alasan maklumat yang diterima adalah sesuatu yang disyaki kesahihannya. Ahli hadis amat prihatin tentang perkara ini sehinggakan setiap perawi dijadikan kajian terhadap kekuatan fikirannya, ketajaman ingatannnya dan kebolehpercayaan riwayatnya. Mahasiswa Melayu yang cemerlang harus menteliti siapa sumber maklumat sensitif yang bakal menjadi malapetaka jika penerimaannya dibuat tanpa usul periksa.

Satu lagi aspek penilaian sumber adalah dengan mendapatkan sumber lain terhadap peristiwa yang didengari. Dalam media massa, terdapat pelbagai sudut berita yang sama disampaikan. Contohnya, pernah dilaporkan ceramah politik itu dihadiri hanya 200 orang. Perkara itu benar kerana pelapor itu hanya berada di situ pada awal ceramah. Tetapi di akhir ceramah terdapat 20,000 orang yang hadir.

Mahasiswa perlu memastikan yang ia perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua sumber berlainan dalam isu sosial, politik dan agama. Jangan bergantung pada satu maklumat saja. Satu cara yang baik adalah jangan mendengar secara serius berita yang mengkritik seorang pemimpin politik tanpa memberi peluang ahli politik tersebut memberi jawapannya sendiri dalam TV, media perdana dan sebagainya.

Dewasa ini, TV dan media massa perdana seringkali membuat tuduhan liar tanpa memberi peluang yang dituduh menjawab tuduhan dengan adil dan jelas. Selaku ahli akademik saya menolak terus terang budaya menuduh dan melapor sedemikian rupa dri mana-mana sumber media sekalipun.

Tahap 4: Menilai niat dan kesahihan sumber

Tidak cukup dengan sifat kebolehpercayaan sumber, mahasiswa harus juga meneliti persoalan adakah maklumat yang disampaikan sumber itu akan ‘memenangkan’ dirinya. Berita yang sahih perlu datang dari sumber tidak mempunyai kepentingan apa-apa dalam menyampaikan berita tersebut. Apabila terdapat kepentingan sesuatu pada penyampai berita seharusnya mahasiswa perlu berhati-hati tidak terjebak dengan strateginya menewaskan parti lawan. Walaupun secara dasarnya tidak menjadi kesalahan kita menyampaikan berita yang mana ia boleh mendatangkan keuntungan, namun niat seseorang harus dilihat jika terdapat suatu muslihat dalam penyampaian maklumat. Soalan pertama yang perlu ditanya dalam hal ini adalah, apakah sebabnya seseorang itu menyampaikan berita tersebut? Adakah ia bagi kepentingan semua atau untuk orang itu sahaja?

Tahap 5: Menilai di antara fakta dan tafsiran

Perkara yang amat merbahaya sekali yang seringkali terjadi adalah percampuran maklumat berita dengan interpretasi berita. Contohnya, jika sebuah berita media massa menjerit dengan ayat sebesar-besarnya “Bukan Islam menghina Islam!” maka harus disebutkan di sini tajuk berita itu adalah sebenarnya satu tafsiran berita dan bukan berita. Apakah berita sebenar? Mungkin terdapat beberapa orang bukan Islam yang meminta sebuah masjid memperlahankan khutbah Jumaat, Ceramah Masjid dan Azan Subuh dan ini ditafsirkan oleh pembawa berita tadi sebagai ‘menghina Islam’.

Di Amerika Syarikat, bacaan Al-Quran waktu sebelum Subuh tidak dilaungkan sekuat-kuatnya tetapi hanya didengari dalam perkarangan masjid sahaja. Ceramah dan Khutbah tidak harus menjadi bahan gangguan kepada orang bukan Islam dan Rasul sendiri mengingati umat Islam berdakwah dengan berhemah. Bacaan Al-Quran sebelum Subuh tidak berkumandang walau di Mekah atau Madinah. Di tanah suci, Azan dilaungkan dua kali untuk membangunkan umat Islam dan bukannya cara orang Melayu yang memasang pita rakaman selama setengah jam. Perkara ini bukan saja mengganggu orang bukan Islam tetapi mengganggu wanta Islam yang tidak boleh bersembahyang, bayi dan mereka yang uzur. Maka itu interpretasi berita dengan berita asal wajib diasingkan oleh mahasiswa yang berminda kritis dan berhati ikhlas.

Tahap 6: Niat kita terhadap maklumat

Akhir sekali adalah persoalan apakah yang akan mahasiswa guna bagi maklumat atau berita yang disampaikan? Pertama, jika terbukti berita itu tidak sahih walau dari jalan cerita, sumber atau maklumat, maka mahasiswa tidak boleh menyampaikan berita tersebut. Pernah berlaku wanita dalam sebuah parti politik menunjuk-nunjukkan gambar seorang tokoh Islam parti lawan yang dikatakan sedang berdansa walhal dibuktikan itu fitnah daripada teknik photoshop.

Kalau kita tidak pasti tentang maklumat seperti gambar atau berita, kita tidak boleh menyebarkannya kerana ia jatuh dosa fitnah. Kalau berita itu benar kesahihan serta sumbernya harus dilihat adakah berita ini boleh mendatangkan malu besar pada orang yang dalam berita itu? Seharusnya berita sedemikian perlu dilaporkan pada pihak berkuasa dan kita tidak boleh menyampaikan perkara tersebut sebagai suka-suka saja atau untuk memenangkan parti yang disokong. Walaupun terbukti kesalahan seseorang yang dalam berita, Islam tidak membenarkan kita memburuk-burukkan orang tersebut. Bagaiamanapun, jika kita berniat untuk membaiki situasi orang tersebut dengan menceritakan berita sensitif itu pada pihak ketiga maka ia amat dibolehkan.

Minda kritis adalah alat atau senjata yang boleh memastikan keharmonian dalam keluarga, persahabatan, komuniti dan politik negara. Dalam suasana individu dan pihak daripada golongan atau parti tertentu sedang giat membuat tuduhan liar dan mengumpan rakyat untuk menyebelahi mereka, mahasiswa Melayu harus bangun mempertahankan kedaulatan cara hidup kita berpandukan tatasusila rukunegara dan sunnah Rasulullah.

Hanya minda yang tajam dan hati yang ikhlas dapat membedakan maklumat dan berita sebagai fitnah atau informasi yang boleh mendatangkan manfaat ramai. Daripada sudut sosial, minda kritis adalah penghubung antara kaum dan agama dan ia perlu digunakan dengan cara sebaik mungkin.

Daripada sudut spiritual, minda kritis membebaskan pendengar atau pembaca berita atau maklumat dosa fitnah atau mengumpat. Ia juga menjadikan dada mahasiswa lapang menerima kelemahan semua manusia dan sentiasa memohon pertolongan Allah bagi menjernihkan selalu persepsi terhadap berita dan maklumat.

Bagi syarikat yang memiliki pekerja berminda kritis, maka ia akan dipercayai untuk meneraju kumpulan khusus dalam syarikat tersebut atau pun ia mungkin diberikan jawatan pengurus cawangan. Mahasiswa yang mempunyai mindakritis bukan saja dapat membaca strategi pemasaran lawan tetapi juga dapat merangka strategi yang lebih bermakna. – 9 Julai, 2014

  1. #1 by cinaindiamelayubersatu on Thursday, 10 July 2014 - 7:04 pm

    i think spain will win. they are a formidable side…
    najib

    kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah kah

You must be logged in to post a comment.