Apakah Muhyiddin akan memperuntukkan RM480 juta kepada dua SRJK(C) Kuo Kuang 1 dan 2 di Gelang Patah berasaskan janjinya dalam pilihanraya kecil Sg Limau?


Dalam pilihanraya kecil Sungai Limau, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk SRJK(C) Aik Min, RM1 million untuk SRJK(C) Yuk Meng di Sungai Limau dan RM50,000 untuk SRJK (C) Pek Hwa.

SRJK(C) Aik Min mempunyai 15 murid dalam lima kelas, iaitu:

Darjah 1 – 2 murid
Darjah 2 – 2 murid
Darjah 3 – 5 murid
Darjah 4 – 3 murid
Darjah 5 – tiada murid
Darjah 6 – 3 murid
Jumlah – 15 murid

SRJK(C) Yuk Meng di Sungai Limau mempunyai 41 orang murid dalam enam kelas, iaitu:

Darjah 1 – 1 pupil
Darjah 2 – 5 murid
Darjah 3 – 10 murid
Darjah 4 – 4 murid
Darjah 5 – 12 murid
Darjah 6 – 9 murid
Jumlah – 41 murid

Sewaktu mengumumkan peruntukan berkenaan dalam pilihanraya kecil Sungai Limau, Muhyiddin menyebut bahawa kerajaan Barisan Nasional akan terus membantu sekolah Cina dan Tamil selagi ada matahari dan bulan.

Menurut beliau, dakwaan yang menyebut Barisan Nasional hanya memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah berbahasa ibunda ketika pilihanraya umum atau pilihanraya kecil adalah tidak benar.

Beliau mengatakan bahawa peruntukan kepada sekolah-sekolah Cina di Sungai Limau telah diluluskan lebih awal dan bukan “gula-gula” untuk meraih sokongan pengundi Cina yang berjumlah 1,800 orang di sana.

Kata beliau: “Walaupun di waktu tiada pilihanraya, kami tetap akan membantu kerana kerajaan Barisan komited untuk memperbaiki tahap pendidikan.”

Saya mengalu-alukan peruntukan berjumlah lebih RM2 juta kepada sekolah rendah Cina di Sungai Limau.

Berdasarkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada SRJK(C) Aik Min, atau RM66,666 bagi setiap seorang daripada 15 pelajar, dua buah SRJK (C) Kuo Kuang di Gelang Patah patut mendapat peruntukan sebanyak RM480 juta, atau RM213 juta untuk SRJK (C) Kuo Kuang 1 yang mempunyai 3,200 orang pelajar dan RM266 juta kepada SRJK (C) Kuo Kuang 2 yang mempunyai 4,000 orang pelajar.

Apakah Muhyiddin akan memperuntukkan RM480 juta kepada dua SRJK(C) Kuo Kuang1 dan 2 di Gelang Patah berasaskan janjinya dalam pilihanraya kecil Sg Limau untuk membuktikan bahawa Barisan Nasional akan terus membantu sekolah rendah Cina dan Tamil “selagi ada matahari dan bulan?”

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.