Kemalangan bot Belaga sepatutnya dianggap sebagai bencana negara kerana itu merupakan bukti tragis kegagalan 50 tahun pembangunan di Sarawak yang masih tidak mempunyai akses jalanraya ke kawasan pedalaman


DAP terkejut dan kesal dengan tragedi bot Belaga pagi semalam yang mana sebuah bot ekspress karam di Sungai Rajang, dengan 23 penumpang masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat berhenti semalam disebabkan waktu malam.

Setakat ini, 181 penumpang berjaya untuk berenang ke tempat selamat selepas bot ekspress yang dinaiki karam di kawasan Jeram Tukok/Jeram Bungan, lebih kurang empat jam perjalanan dari Sibu.

Siasatan awal menunjukkan bahawa bot ekspres itu telah melebihi kapasiti 67 tempat duduk dan dipercayai terlebih muatan dengan 200 penumpang pulang dari pesta Gawai Dayak, kemudian menghadapi masalah enjin gagal berfungsi sebelum merempuh batu dan karam.

Pengerusi Lembaga Sungai Sarawak (SRB) Datuk Roland Sagah telah mengumumkan satu siasatan penuh akan diadakan terhadap insiden tragis itu, memberi amaran tindakan akan diambil terhadap operator bot kerana gagal mengikut nasihat supaya tidak membawa lebih muatan atau membenarkan penumpang memanjat bumbung apabila kapal terlalu penuh ketika menyelusuri di sungai.

Malangnya, siasatan sedemikian tidak akan mengembalikan nyawa mereka yang telah terkorban di dalam insiden kemalangan bot di Sarawak.

Dua tahun lalu, 13 penumpang terkorban di dalam tragedi bot yang serupa di kawasan Tatau berhampiran pekan Bintulu.

Kemalangan bot Belaga sepatutnya dianggap sebagai bencana negara kerana itu merupakan bukti tragis kegagalan 50 tahun pembangunan di Sarawak yang masih tidak mempunyai akses jalanraya ke kawasan pedalaman.

Kekecewaan rakyat Sarawak, terutamanya Dayak, disebut dengan jelas di dalam surat kepada sebuah portal berita daripada seorang “jurutera instrumen” Shell Malaysia yang menyatakan:

“Bilangan penumpang yang menaiki bot ekspress dari Sibu ke Song, Kapit dan Belaga meningkat setiap tahun. Dan ia bukanlah perjalanan yang singkat dan selamat.

“Perjalanan memakan masa berjam-jam lamanya. Sungai Rajang penuh dengan serpihan daripada aktiviti pembalakan di hulu sungai. Di beberapa bahagian terdapat jeram.

“Ini bukan tragedi sungai pertama. Terdapat banyak kematian yang tidak masuk akal sebelum ini.

“Jarak dari Kanowit ke Kapit lebih kurang 100KM. Namun, mengejutkan apabila memikirkan pembinaan itu tidak langsung dijadualkan akan siap dalam tempoh 5 tahun lagi.

“Sebaliknya, laluan dua hala dari Cameron Highland ke Bentong, disiapkan dalam tempoh 3 tahun. Jarak dan bentuk muka bumi yang sama.

“Sistem BN tidak mampu memberikan keadilan sosioekonomi, kerana kek ekonomi dibahagikan dari atas ke bawah mengikut kaum dan hirarki dalam parti.

“Ini, malangnya, merupakan sistem yang penduduk pedalaman pilih dalam pilihan raya.

“YB akan memberikan keranda berharga RM300 untuk si mati, dan kaum keluarga akan selamanya bersyukur.


“Itulah komedi tragis yang menimpa saudara kita dan manusia yang tidak berdaya, di dalam genggaman BN.”

Ini merupakan dakwaan yang kuat bukan saja terhadap kegagalan pembangunan saksama di Sarawak selepas 50 tahun tetapi juga seluruh sistem politik pentadbiran yang membusuk di peringkat negeri dan nasional.

Tragedi bot Belaga sepatutnya menjadi agenda utama dua mesyuarat hari ini – pertama, hari terakhir Dewan Undangan Negeri Sarawak dan kedua, mesyuarat kedua Kabinet pasca-PRU13 Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya pagi ini.

Kedua-dua Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Kabinet Persekutuan sepatutnya mengeluarkan respon segera untuk pelan yang mendesak bagi memberikan keutamaan tertinggi memberikan akses jalanraya pertama, di Bakun-Balaga-Bintulu dan kedua, Kanowit-Song-Kapit.

Jika tidak, kemalangan bot Belaga dan kegagalan pembangunan saksama di Sarawak sejak 50 tahun lalu dengan tiadanya akses jalanraya ke kawasan pedalaman di negeri itu mestilah menjadi topik utama Ahli-Ahli Parlimen Sarawak, Sabah atau Semenanjung Malaysia dalam sidang pertama Parlimen ke-13 selama 16 hari bermula pada 24 Jun 2013.

  1. #1 by on cheng on Wednesday, 29 May 2013 - 9:42 pm

    apa bole buat? dia orang suka bn, biar lalu lagi 5 tahun, keadaan pun sama juga !

You must be logged in to post a comment.