Rakyat berharap selepas pilihanraya ini mereka tidak dibohongi lagi


― Aspan Alias
The Malaysian Insider
Nov 07, 2012

7 NOV ― Bila pilihanraya akan diadakan Tuhan sahaja yang tahu. Inilah kali pertama seorang Perdana Menteri belum lagi disahkan oleh rakyat sokongan mereka terhadap beliau. Mandat yang sekarang ini adalah mandat dan sokongan rakyat terhadap Abdullah Badawi.

Najib tidak berani membuat keputusan kerana beliau masih ragu untuk mengadakannya kerana rakyat semakin hari semakin menunjukkan sikap tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Najib yang meminjam mandat Abdullah Badawi.

Tetapi tidak mengapalah. Bagi pandangan ramai lagi ditangguhkan pilihanraya ini lagi mudahlah untuk menundukkan BN kali ini. Oleh kerana terlalu lama menangguhkan pilihanraya ini maka lagi jelaslah yang kerajaan hari ini yang mempunyai segala-galanya untuk memperkuatkan diri mereka tidak berdaya untuk menolak arus perubahan yang ingin dibawa oleh rakyat.

Apa yang pasti Najib akan terus keluar menjelajah ke seluruh negara kerana beliau terpaksa melakukannya disebabkan Umno di peringkat bawahan tidak bergerak dan tidak berdaya untuk berfungsi lagi.

Maka kita terpaksalah menanggung kos perbelanjaan penjelajahan Najib yang setiap kali lawatan itu memakan belanja yang berjuta jumlahnya. Semuanya itu adalah tanggungan rakyat belaka. Saya selalu berkata yang kita terpaksa menanggung perbelanjaan Perdana Menteri dalam siri kempen untuk menegakkan benang basah mereka.

Bagi Pakatan Rakyat, mereka tidak menggunakan wang kerajaan untuk berkempen. PR tidak menggunakan jutaan wang rakyat seperti yang dibelanjakan oleh BN dalam kempen mereka. Seperti contoh yang akhir sekali yang kita tengok ialah semasa Himpunan Kebangkitan Rakyat di Seremban 3 November lepas dalam mana rakyat berpusu-pusu hadir di dalam hujan yang lebat dan keadaan padang yang becak.

Jika BN hendak mendapatkan keramaian seperti itu di dalam hujan lebat itu mungkin Umno dan kerajaan terpaksa berbelanja jutaan ringgit wang rakyat dan entah berapa ratus biji bas yang terpaksa disewa mereka. Itu tidak masuk tempahan karipap lagi. Agaknya jika BN melakukan kempen dengan jumlah kedatangan yang sebegitu ramai mungkin tidak kurang 200,000 karipap dan 200,000 pulut udang dan yang lain-lain.

Selalunya kedatangan dan sambutan terhadap anjuran Umno tidak akan mencapai sasaran kehadirannya. Semasa perjumpaan Hari Raya yang dianjurkan di Alor Setar beberapa bulan yang lepas, Umno telah menjemput 70,000 orang tetapi yang hadir hanyalah 3,000 orang sahaja.

Ratusan ribu karipap dan satay terpaksa dibahagi-bahagikan kepada yang datang. Maka berboyong-boyonglah orang-orang Umno membawa balik kueh-kueh dan satay yang telah disediakan sebegitu banyak untuk perjumpaan itu.

Sesungguhnya begitulah keadaan dan sokongan orang ramai terhadap Umno. Walaupun Najib datang dengan karipap yang berlori rakyat tetap tidak menghiraukan Umno itu lagi. Mereka sebenarnya bukan berkehendakkan karipap tetapi mereka mahu melihat jika ada tanda-tanda Umno dan pimpinannya akan berubah. Mereka mahukan perubahan dan transformasi yang dijanjikan oleh Najib dan Muhyiddin itu, tetapi mereka tidak juga nampak tanda-tandanya.

Mungkin Najib beranggapan dengan bantuan BR1M itu adalah satu tindakan transformasi yang dijanjikan oleh Najib itu. Tetapi kalau benar itulah dia transformasi yang dijanji-janjikan itu maka rakyat akan merasa hina dan akan menghukum Umno dalam pilihanraya kali ini. Pemberian BR1M itu tidak lebih tidak kurang sebagai satu bantuan kebajikan masyarakat kepada fakir miskin setiap kali Hari Raya Aidilfitri setiap tahun.

Malahan pemberian bantuan dari badan kebajikan masyarakat kepada fakir miskin lebih konsisten kerana mereka yang telah mendapat bantuan itu akan menerimanya setiap bulan sedangkan BR1M ini hanya diberikan semasa pilihanraya sahaja untuk membeli jiwa dan hati rakyat sahaja. Kalau pemberian BR1M itu menjadi kaedah pilihan untuk meningkatkan pendapatan rakyat kepada RM48,000 setahun, ia merupakan satu usaha yang tidak datang dari pemikir yang baik dan setanding dengan cita-cita yang disebut oleh Najib itu.

Sebenarnya Umno tidak tahu apa yang dimahukan oleh rakyat. Najib berfikir rakyat masih boleh digula-gulakan dengan bantuan BR1M yang sejemput itu. Rakyat mahukan pemimpin-pemimpin mereka yang bersih dan terhindar daripada kegiatan rasuah. Rakyat mahukan kerajaan yang tidak menipu rakyat seperti mengadakan projek-projek pembangunan dengan harga yang ditambah-tambah kerana pertambahan kos sesuatu projek itu termasuk komponen rasuah yang akan diterima oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Mereka tahu jika kos membangunan sesuatu projek infra itu rakyat akan membayar kosnya yang terlalu tinggi itu. Rakyat mahu melihat yang penggubal dasar dan penjawat awam tidak terlibat dengan “business” dan berlumba-lumba dengan rakyat untuk berniaga. Rakyat sudah benci dengan sikap pimpinan yang menerima komisyen dengan pembelian kapal selam dengan jumlah yang beratus juta ringgit itu.

Rakyat mahukan sejuta ekar tanah rancangan Felda yang tidak berpeneroka itu diberikan kepada rakyat yang tidak bertanah dan bukannya untuk disenaraikan di Pasaran Saham Kuala Lumpur yang hanya memberikan keuntungan kepada pemodal dan kapitalis di kalangan kroni-kroni pucuk pimpinan sahaja. Sejuta ekar itu boleh menempatkan 80,000 orang peneroka. Itu yang dimahukan oleh rakyat kepada barisan pimpinan hari ini.

Rakyat hendak tahu apa cerita sebenarnya tentang isu RM40 juta yang dikaitkan dengan Musa Aman dan Nazri Aziz itu. Rakyat tidak lagi menaruh harapan untuk masa depan mereka kerana terlalu banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan berkait dengan pemimpin berlaku setiap hari dan masa.

Semuanya itu melibatkan wang rakyat. Oleh kerana semua ini berlaku setiap hari dan kepada hampir setiap pemimpin Umno maka rakyat membuat persepsi yang pemimpin-pemimpin kita tidak ada masa untuk memimpin negara tetapi menghabiskan masa untuk membuat duit dan kekayaan secara haram itu tidak berhenti-henti.

Umno gagal untuk memahami kehendak rakyat dan rakyat pun sudah hilang keyakinan yang Umno akan mampu untuk memahami isi hati rakyat yang dipimpinnya. Manakan boleh segala-gala kesalahan ini hanya boleh ditebus dengan bantuan Rakyat 1 Malaysia yang sejemput itu? Umno ingat kami di bawah ini sebagai apa? Hamba abdi? Keldai-keldai untuk membawa barangan berat atau untuk dijadikan sebagai peminta sedekah dan penerima bantuan kebajikan masyarakat sahaja?

Umno akan dapat jawapannya apabila pilihanraya ini sampai.

  1. #1 by Bigjoe on Wednesday, 7 November 2012 - 5:00 pm

    Harap don’t get make these kinds of things happen..The people who lied, the people who cheated, who abuse their power – they are determined, malicious, powerful and work very very hard so that they can keep cheating, lying and abuse their power..

    These things happen because people will and plan it to happen. Its simply WAR and there is no prize for second..

  2. #2 by ENDANGERED HORNBILL on Wednesday, 7 November 2012 - 6:06 pm

    Pentadbiran Ah Jib ni tidak ada mandat Rakyat.

    Malaysia tak perlu penakut sebagai PM. Buat malu-lah.

  3. #3 by son of perpaduan on Wednesday, 7 November 2012 - 8:04 pm

    ” Rakyat berharap selepas pilihanraya ini mereka tidak dibohongi lagi ”

    Selagi Umno-BN masih kekalkan kuasa, jangan harap rakyat tidak dibohongi. Busuk sehingga ke usus adalah sisa toksik jangkitan barah yang amat kritikal dan tiada ubat untuknya selagi tidak dikuburkan.

    Amalan politik wang selama ini telah berjaya mencemarkan perhubungan kita, nilai kita, institusi kita dan nyawa kami.

    Budaya berbilang kaum dalam penurunan berpunca atas dasar-dasar yang secara langsung atau secara tidak langsung berpihak kepada kumpulan elit keluarga masing-masing.

    Ketaksamaan ekonomi disalahguna sehingga pihak korporat dan syarikat individu terpaksa bertunduk dengan amalan rasuah.

    Pengurusan ekonomi pada mulanya kena faham maksud ” Kehematan “.
    Kehematan dalam perbelanjaan atau penggunaan atau pengurusan harta awam patut difahami. Ini ialah langkah-langkah penting ke arah matlamat akhir kestabilan berkekalan dan pertumbuhan, berkongsi kestabilan dan pertumbuhan. Mencapai matlamat itu akan memerlukan tindakan diselaraskan memecahkan rangkaian utama krisis ini.

    Gajah putih selama ini menghilangkan ribuan juta wang rakyat. Industri perlombongan seperti Lynas dan Penggerang akan mendatangkan bencana mahupun alam semulajadi atau nyawa manusia dan kehidupan haiwan turut terancam ( Tidak termasuk kilang aluminium di Sarawak ).

    Bhopal disaster tahun 1984, anggaran 500,000 mangsa masih menderita akibat penyakit-penyakit membangunkan selepas tragedi.

    Saya terpaksa berhenti disini, nak korek isu-isu Umno-BN ini, sampai tahun depan pun tak habis.

  4. #4 by good coolie on Monday, 12 November 2012 - 11:49 pm

    Sekiranya pemimpin-pemimpin kita hendak merasiahkan perbuatan khianat mereka, biarlah mereka ingat pepatah yang mengsia-siasakan usaha untuk menyembunyikan perkara-perkara yang sungguh ternyata:- “Bagaikan menuntup bangkai gajah dengan daun nipah”.

You must be logged in to post a comment.