Isu perkauman – cabaran Pakatan Harapan


A Shukur Harun
The Malaysian Insider
12 January 2016

Perjanjian Pakatan Harapan (PH) yang dimeterai pimpinan PKR, DAP dan Amanah Sabtu lalu mempunyai makna yang sangat besar dalam usaha gabungan baru pembangkang menghadapi PRU akan datang.

Perjanjian 7 perkara ini nampaknya memperkukuh dan benar-benar mengikat ketiga-tiga parti dalam Pakatan baru itu kepada suatu etika yang wajib dipatuhi untuk kelangsungan hayat gabungan pembangkang yang baru itu.

Meneliti 7 perkara yang termaktub dalam perjanjian tersebut, terserlah kesungguhan 3 parti itu untuk tidak lagi mengulangi kesilapan dan kelemahan Pakatan Rakyat (PR) diakhir hayatnya, walaupun mencapai kejayaaan gemilang dalam 2 PRU yang lalu.

Kelemahan Pakatan Rakyat dulu itu kerana ada parti gabungan yang bertindak sendiri menjelang PRU, dengan melanggar keputusan yang sudah dipersetujui di kalangan parti dalam PRU itu dan pelbagai krisis lagi. Semua ini sudah diketahui umum.

Jadi, pelbagai pihak berharap dengan termeterai perjanjian Pakatan Harapan ini, maka segala kelemahan dan kesilapan pembangkang dulu itu tidak akan berulang lagi.

Tujuh perkara asas perjanjian itu ialah:

• Membabitkan hala tuju pakatan baharu itu termasuk proses dalam membuat keputusan membabitkan gabungan itu, termasuk calon pilihan raya dan kesetiaan terhadap kerjasama itu.

• Ia meletakkan prinsip dalam membuat keputusan bersama sebagai asas pertama perjanjian itu. Melaluinya, Pakatan Harapan meletakkan Majlis Presiden sebagai badan pembuat keputusan tertinggi gabungan itu dengan segala keputusan bersama adalah berasaskan kepada prinsip konsensus.

Perjanjian lain ialah:

· Sebarang perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau bantahan dari 1 parti terhadap parti sekutu perlu disuarakan mengikut saluran dalaman untuk diselesaikan secara bersama.

· Tatacara bagi penyelesaian pertikaian antara parti dalam gabungan berkenaan ialah dengan penubuhan Badan Perantara yang menangani sebarang aduan dibawa parti.

· Kerangka dasar akan dilaksanakan oleh pentadbiran gabungan berkenaan di semua peringkat.

· Dalam pilihan raya Pakatan Harapan hanya meletakkan 1 calon bagi setiap kerusi, selain jawatankuasa pilihan raya bertanggungjawab menentukan agihan kerusi untuk ketiga-tiga parti.

· Ketiga-tiga parti bersetuju jika ia menjadi kerajaan di peringkat negeri mahupun Persekutuan, ia adalah tertakluk kepada dasar bersama Pakatan Harapan.

Perjanjian itu juga menekankan keabsahan Pakatan iaitu kedudukan sah sesuatu parti dalam Pakatan Harapan ditentukan parti sekutu dalam menangani isu pelanggaran asas perjanjian dipersetujui termasuk tindakan menggugurkan keanggotaannya.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam ucapannya berkata, Pakatan Harapan akan mula membentangkan program politik, ekonomi dan sosialnya bermula Mac 2016 secara berperingkat.

Kemuncaknya ialah pelancaran Dasar Bersama Pakatan Harapan semasa Konvensyen Pakatan Harapan dijangkakan dalam Jun 2016.

Kepada saya, cabaran utama Pakatan Harapan ialah menentang fahaman perkauman. Maknanya, ketiga-tiga parti – PKR, DAP dan Amanah mesti berusaha bersama menentang gejala ini.

Adalah silap perhitungan politik jika hanya Amanah dan DAP yang ditugaskan untuk menentang perkauman ini, sementara PKR hanya menjadi penghubung dan jambatan kelompok pimpinan dan masyarakat yang berbeza pandangan.

Di sinilah saya kira, kita wajar membaca kembali analisis politik perkauman seperti yang ditulis Pengarang Analisis dan Rencana, Malaysian Insider, saudara Zulkifli Sulong Ahad lalu mengenai “Sentimen anti DAP Umno-PAS kekalkan kuasa Najib, tapi membahayakan Malaysia”

Menurut tulisannya itu, yang memetik pandangan penganalisis,

kerjasama antara Umno dan PAS dalam mengambil pendekatan politik perkauman dan agama menyerang DAP akan membolehkan Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai perdana menteri sekurang-kurangnya 1 penggal lagi, tetapi mempertaruhkan kestabilan Malaysia.

Zulkifli menyebut lagi, di mana keadaan ini sebenarnya mempertaruhkan nasib Malaysia, kerana kerjasama Umno-PAS walaupun akan membentuk kerajaan Melayu yang kuat, pada masa sama menyebabkan pembangkang dikuasai Cina.

Saya petik sebahagian tulisan beliau itu:

“Bayangkan Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum tetapi pemerintahnya terdiri daripada Melayu, manakala pembangkang pula kaum lain iaitu Cina dan India, kata Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.”

“Orang Melayu akan menguasai kerajaan, manakala orang Cina yang menguasai ekonomi menjadi pembangkang yang kuat.

“Hasilnya, nasib negara berbilang kaum seperti Malaysia tidak akan stabil dan menyukarkan pembentukan negara bangsa yang kuat,” kata Dr Redzuan lagi.

Menurutnya, melalui pendekatan ini, pilihan raya terdekat atau jangka pendeknya, Umno dan PAS boleh menang.

“Namun dari segi jangka panjangnya tidak menguntungkan negara,” katanya.

Pandangan Ridzuan disokong seorang lagi pemimpin firma kajian bebas, Ilham Centre Hisomudin Bakar yang berpendapat pendekatan perkauman PAS dan Umno ini akan mengekalkan Najib untuk 1 penggal lagi.

Terbukti selepas datang isu kerjasama, PAS yang menjadi musuh utama Umno selama ini tidak lagi menyerang Umno, khasnya Najib.

Kesimpulannya, seperti yang saya katakan, cabaran besar Pakatan Harapan ialah menghadapi gejala perkauman di mana semua parti dalam gabungan baru pembangkang itu mesti bersepadu menentangnya, bukan diserahkan kepada 1atau 2 parti komponen saja.

Rakyat pelbagai kaum mahu melihat ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan bergerak serentak menentang perkauman dan menegakkan keadilan serta menentang segala kemungkaran.

Inilah ujian getir kepada gabungan baru pembangkang ini. – 12 Januari, 2016.

Print Friendly

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.