Pengiraan Detik 71 Hari ke PRU13 – Kepura-puraan RCI Sabah, risiko tinggi Malaysia dalam rasuah pertahanan dan kedudukan kebebasan akhbar paling buruk adalah bukti kegagalan slogan/dasar transformasi Najib dan mengapa negara perlu menukar kerajaan Persekutuan dalam PRU13


Setiap hari, rakyat Malaysia dihidangkan dengan bukti kegagalan slogan dan dasar transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mengapa Negara perlukan perubahan kerajaan persekutuan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang semakin hampir.

Hari ini, kita perlu hanya merujuk kepada tiga perkembangan terkini.

Yang pertama adalah kepura-puraan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Sabah terhadap pendatang tanpa izin yang memasuki minggu kedua pendengaran awamnya.

Apa yang menjadi kebimbangan rakyat Sabah dan Malaysia bahawa RCI itu tidak akan mampu menggali kebenaran hingga ke dasar tentang tindakan haram menghalalkan pendatang tanpa izin di Sabah yang menyebabkan peningkatan lima kali ganda penduduk negeri itu daripada 600,000 pada tahun 1970 kepada 3.3 juta kelihatan berasas, dan disimpulkan dengan baik oleh seorang pembaca Malaysiakini yang memberikan komen:

“Now we have it. There will be 100 odd witnesses in the RCI who will claim and counter-claim until it is all so messed up that no further action will be taken. It is all a sandiwara (act).”

Akan tetapi kecacatan sebenar RCI adalah lapan syarat yang ditetapkan tidak termasuk mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab melakukan pengkhianatan terhadap negara di dalam skandal “kewarganegaraan untuk undi” di negeri Sabah – atau secara terperincinya, menyiasat dan mengenalpasti dalang Projek M dan Projek IC.

RCI Sabah akan berakhir dengan sia-sia melainkan dan sehinggalah RCI Sabah dimasukkan syarat tambahan untuk menyiasat dan mengenalpasti dalang Projek M dan Projek IC di Sabah.

Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersedia untuk memasukkan syarat kesembilan dalam RCI Sabah bagi menyiasat dan mengenalpasti dalang Projek M dan Projek IC dan mencadangkan tindakan yang perlu diambil terhadap perbuatan khianat ke atas negara itu?

Kedua, pemantau ketelusan antarabangsa yang terkemuka melaporkan Malaysia berada di kedudukan berisiko tinggi rasuah dalam perbelanjaan pertahanan dan operasinya, meletakkan Malaysia seiring dengan negara seperti Bangladesh, Pakistan, China, Russia, Kazakhstan dan Jordan.

Di dalam Indeks Anti-Rasuah Pertahanan Kerajaan, analisis global pertama terhadap risiko rasuah di dalam pertahanan seluruh dunia dikeluarkan oleh Transparency International UK semalam, Malaysia mendapat D- di dalam kumpulan antara A hingga F.

Kedudukan rendah ini membuktikan kegagalan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan antara keutamaan tertingginya memerangi rasuah, memandangkan indeks anti-rasuah terbaru yang terhasil selepas kajian selama dua tahun dengan kajian dilakukan antara Julai 2011 dan November 2012 – memberikan tamparan hebat kepada GTP dan NKRA Najib yang berlangsung sejak empat tahun lalu.

Di kalangan negara Asean, Singapura dan Thailang menewaskan pencapaian Malaysia, kedua-duanya mendapat D+, manakala Indonesia dan Filipina di belakang Malaysia dalam kumpulan E.

Setiap kerajaan dinilai dalam lima bidang berkemungkinan ada risiko rasuah pertahanan – politik, kewangan, kakitangan, risiko operasi dan perolehan.

Malaysia memperoleh mata terendah di dalam risiko kewangan dan operasi, dengan 25 peratus dan 10 peratus daripada 100 peratus.

Laporan bahagian negara ke atas Malaysia menyebut “Kelemahan rasuah politik adalah tinggi, memandangkan tidak terdapatnya jawatankuasa pertahanan dan keselamatan dan peranan parlimen di dalam sektor itu pula terhadap pada sekadar meluluskan belanjawan agregat dan umum.

Ketiga, Malaysia menjunam ke kedudukan terendah dalam sejarah yakni No. 145 di dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2013 – paling buruk sejak Reporters Without Border (RSF) memulakan indeks tahunan itu pada tahun 2002.

Di bawah tajuk yang tidak menarik iaitu “Cambodia and Malaysia: drift towards authoritarianism” bagi Asia Tenggara, RSF menyatakan kedudukan kebebasan akhbar Malaysia 2013 “mempamerkan rekod menyedihkan, jatuh 23 tempat ke kedudukan lebih rendah berbanding kedudukan yang diperoleh pada tahun 2002”, berpunca daripada “kempen menekan kerajaan, seperti yang digambarkan melalui tindakan keras terhadap protes Bersih 3.0 pada April, dan usaha penapisan, berterusan melemahkan kebebasan asas dalam hak untuk memperoleh maklumat”.

Menunjukkan – mengapa perlunya pertukaran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dalam PRU13.

Print Friendly

This article is also available in English at: http://goo.gl/TVKOd

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.