Perubahan tetap akan berlaku, yang penting bersabar


— Aspan Alias
The Malaysian Insider
May 25, 2012

25 MEI — Bergiat dalam politik hari ini merupakan satu aktiviti yang bukan sedikit seriknya. Politik tanahair hari ini merupakan politik yang paling getir sekali yang belum pernah kita alami selama ini. Bahangnya panas terik dan ianya hanya boleh digiatkan oleh mereka yang benar-benar yakin dan menjadikan keyakinan mereka itu sebagai penambahan kepada tenaga yang dikeluarkan oleh penggiat politik.

Saya sendiri telah berehat daripada bergiat selama lebih dari satu dekad dengan menghabiskan masa di rumah dan kadang-kadang pergi melihat di tempat-tempat yang belum saya lawati. Selama saya berehat itu saya tidak dihubungi oleh mana-mana pemimpin Umno walaupun saya pernah bersahabat dengan mereka.

Tetapi saya tidak pernah putus hubungan dengan kawan-kawan yang berada di strata bawah parti Umno dan jumlah kenalan saya yang saya kenali dengan rapat adalah ribuan jumlahnya di seluruh negara. Setelah saya mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan saya dengan Umno, saya telah mengambil keputusan untuk berfikir di luar kotak dan menyertai DAP pada 8hb Januari yang lalu.

Saya menyertai DAP setelah berfikir dan melakukan introspeksi yang mendalam selama bertahun lamanya. Saya berfikir kerana jika saya menyertai parti itu tentulah kerana saya bersetuju dengan perjuangannya dan akan bersamanya buat selama-lamanya. Saya katakan kepada ahli keluarga saya serta sahabat-sahabat akrab saya, ‘that I am going to grow old together with DAP’. Saya impikan untuk bersama sebuah parti politik yang mempunyai intergriti yang tinggi dan mengutamakan ‘rule of law’ serta memperjuangkan sebuah kerajaan yang mempunyai ‘governance’ yang tinggi.

Saya telah nampak dengan jelas bahawa DAP adalah parti yang penuh dengan disiplin, berintergriti, menghormati undang-undang dan mendukung semua yang tertulis di dalam perlembagaan persekutuan kita. Saya tidak boleh dipengaruhi oleh momokan Umno dan media arus perdana kerana saya menumpukan kepada mengasah pemikiran yang tidak boleh dipengaruhi oleh unsur-unsur jahat dan negatif apatah lagi jika momokan itu datangnya dari Umno sendiri.

Saya memahami keadaan dalam Umno itu kerana saya telah menghabiskan dua pertiga daripada umur saya di dalam parti itu. Dari awal penubuhan DAP, parti itu telah cuba digambarkan sebagai parti chauvinis, komunis, anti Melayu dan Islam dan anti kepada segala-gala yang baik. Dari awal lagi saya telah mengetahui bahawa Umno mahukan DAP ini dikuburkan kerana Umno tahu yang DAP itu merupakan parti pembangkang yang baik dan tinggi etika kepimpinan mereka. Umno tahu jika DAP mendapat sokongan orang Melayu maka parti itu secara mudah dapat mengambilalih MCA dan Gerakan dan sekarang terus sahaja bersama PAS dan PKR bagi menjadi alternatif yang ‘effective’.

Jika benarlah DAP itu tidak baik dan tidak mendapat sokongan, kenapa pemimpin-pemimpin Umno tidak boleh tidur nyenyak? Dalam waktu Umno mulai hilang identitinya sebagai parti kebangsaan dan parti yang sudah begitu sebati dengan kerja-kerja kotor seperti rasuah dan salahguna kuasa, DAP pula bersama PAS sudah dilihat oleh rakyat sebagai parti-parti yang tinggi disiplinnya dan selayaknya menjadi parti sokongan ramai.

Dalam krisis Mahathir-Anwar, ia telah membawa ‘consequence’ yang begitu besar maka tertubuh pula parti yang dinamakan PKR, pimpinan Anwar Ibrahim, orang yang membuatkan Dr Mahathir dan ramai pemimpin Umno kurang tidur, tetapi banyak makan sampai ke saat ini.

Apabila wujud kumpulan dan pihak alternatif yang kuat, maka secara beransur-ansur menyedari yang Umno selama ini merupakan satu parti yang berkepimpinan yang mula dianggap sebagai ‘faked leadership’ dan dari hari ke hari Umno telah menampakkan kelemahan-kelemahan yang menonjol. Rakyat telah mula menyedari bahawa Umno sebenarnya sudah mula menjadi parti yang sudah hilang perjuangannya sejak kepimpinan Dr Mahathir lagi. Najib pula telah hilang segala punca bagaimana untuk menjadi pemimpin yang diyakini dan dihormati rakyat, dan kenyataan ini menambahkan lagi keterampilan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Elok tidak kita sebut lagi isu Dr Mahathir ini kerana dari masa ke semasa rakyat telah bertambah ramai yang menulis sejarah yang tepat dan salah satu yang disedari oleh mereka ialah Dr Mahathir merupakan pemimpin yang mula mencetuskan kerosakan kepada orang Melayu untuk membangun dalam semua bidang, baik dari bidang pemikiran, agama, sosial, politik dan semua bidang kehidupan manusia.

Roh perjuangan Umno sudah lama hilang… yang tinggal hanyalah tubuh yang lesu yang berpaut kepada mesin-mesin tali hayatnya iaitu wang sogokan, ugut mengugut, gangster-gangster dan tekan menekan sahaja. Satu lagi talian hayat yang ada ialah media massa yang berat sebelah dan pengamal fitnah dan taktik kotor seperti yang lazim mereka lakukan.

Kalau kita masih ingat, segala celaan kepada parti-parti pembangkang seperti PAS dan DAP sudah mula luput dari ingatan rakyat. Dulu BN sentiasa mengejek parti PAS sebagai parti yang kegiatannya hanya kegiatan berkala, iaitu dilihat hanya semasa pilihanraya hampir tiba. Tetapi sejak 15 tahun dahulu PAS telah berada di sisi rakyat sentiasa dan mengadakan program-program bersama orang ramai dengan tidak putus-putus. Sebaliknya cawangan-cawangan Umno pula tidak lagi aktif dan hanya kelihatan semasa mesyuarat agong tahunan cawangan-cawangan sahaja.

Umno sudah tidak lagi berani menuduh PAS sebagai parti ala Taliban yang pernah menjadi bahan tuduhan Umno terhadapnya. Sekarang PAS telah menjadi kerajaan di dua buah negeri dan telah membuktikan tuduhan liar dan tidak adil Umno itu meleset. Kalau dahulu DAP dianggap sebagai parti chauvinis, anti Melayu, anti Islam dan berbagai-bagai tuduhan lagi kini terbukti bahawa DAP telah menjadi sebuah kerajaan dan mengetuai kerajaan PR di Pulau Pinang dan jelas sekali lagi DAP itu bukanlah seperti yang dituduh oleh Umno dan BN selama ini.

Pulau Pinang sekarang telah ditadbir dengan baik dan telah berjaya membuktikan bahawa kerajaan PR Pulau Pinang itu merupakan sebuah negeri yang paling maju dan ketirisan yang hampir sifar. Tuduhan Umno yang DAP itu anti Melayu dan Islam meleset sama sekali apabila peruntukan untuk hal ehwal Islam sekarang telah meningkat kepada RM63 juta tahun ini berbanding dengan jumlah RM12 juta semasa BN mentadbir negeri itu.

Begitu juga kerajaan Selangor yang telah menjadi negeri yang bertambah maju dan mengurangkan ketirisan juga hampir ke paras sifar. Negeri tadbiran TS Khalid Ibrahim ini telah menunjukkan prestasi yang begitu jauh baiknya jika dibandingkan dengan pentadbiran di bawah kerajaan BN dahulu.

Itu hanya cebisan daripada kebaikan yang bertambah yang berlaku dalam pentadbiran PR yang baru 4 tahun memerintah negeri-negeri itu berbanding dengan lima dekad tadbiran kerajaan BN selama ini.

Secara peribadi saya memang tertarik dengan perubahan jelas yang mampu dicetuskan oleh parti-parti dalam PR sejak dua tahun yang lepas. Justru itu saya yang sudah beberapa ketika berbincang dan berhubung dengan DAP mengambil keputusan untuk menyertainya sejak tahun lepas lagi. Pada 8hb Januari 2012, maka secara rasminya saya bersama Datuk Ariff Sabri yang saya bawa bersama berbincang selama ini, menyertai DAP.

Sejak dari itu maka saya kembali bergiat setelah lebih dari satu dekad berehat dan setakat ini telah melakukan penjelajahan ke seluruh negara. Saya terangkan kenapa dan sebab saya menyertai DAP ini kepada sahabat-sahabat rapat saya dahulu yang jumlahnya beribu orang sejak dari itu.

Alhamdulillah hampir semua daripada mereka memahami matlamat saya dan memberikan galakan kepada saya. Hanya beberapa yang tegar dengan Umno itu sahaja yang menentang penyertaan saya dalam DAP ini. Melalui ratusan e-mail yang saya terima dari rakan-rakan seluruh negara setiap minggu saya tahu dan yakin masa untuk kita jauhi daripada memainkan isu perkauman itu sudah tiba.

Hidup saling menghormati di antara kaum dan agama serta perbezaan-perbezaan yang lain itu adalah tuntutan agama suci kita juga. Lagi pun bagi diri saya sendiri saya telah berjaya mengasingkan diri daripada kumpulan yang sombong dan angkuh di dalam Umno itu.

Kepada rakan-rakan di dalam UMNO termasuk dari negeri saya, NS, yang sentiasa menghubungi saya yang memberikan saya semangat dan menyokong tindakan saya menyertai DAP ini, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Saya faham saudara mempunyai banyak masalah di dalam Umno, tetapi masih ada masa untuk meleraikan masalah-masalah yang saudara hadapi itu. — aspanaliasnet.blogspot.com

Print Friendly

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.