Yang Berhormat Ipoh Timur menggesa agar tuntutan Bersih 2.0 diambil perhatian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.


Jawapan Bertulis YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa Menggulung Perbahasan Bajet 2012 (Peringkat Dasar) di Dewan Rakyat pada 24 Oktober 2011

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR senantiasa responsif terhadap perubahan-perubahan semasa dengan melakukan proses rekayasa menerusi usaha pengupayaan dan penambahbaikan di dalam pengurusan dan operasinya demi untuk memantapkan lagi sistem pilihan raya, sekali gus demokrasi di Malaysia. Walau bagainmanapun, sebarang usaha tersebut perlu berpandukan kepada asas Perlembagaan Persekutuan dan lunas demokrasi Negara.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berhubung dengan “BERSIH 2.0” yang menuntut 8 perkara yang terdiri daripada:

  1. SPR perlu melaksanakan Pembersihan Daftar Pemilih;
  2. SPR perlu melaksanakan Pembaharuan Sistem Undi Pos;
  3. SPR perlu melaksanakan Penggunaan Dakwat Kekal;
  4. SPR perlu memperuntukkan Tempoh Berkempen Tidak Kurang dari 21 hari;
  5. SPR perlu menjamin adanya Akses Media Yang Bebas dan Adil;
  6. Memperkukuhkan Institusi Awam;
  7. Memberhentikan Amalan Rasuah; dan
  8. Memberhentikan AMalan Politik Kotor,


SPR mendapati hanya 5 perkara sahaja yang mempunyai perkaitan secara langsung dengan bidang tugasnya iaitu Perkara (i) sehinggan (v) sahaja, manakala perkara (vi) hingga (viii) bukan termasuk di dalam bidang kuasa SPR.

Perkara-perkara yang dibangkitkan bukan baru kerana ia juga sering ditimbulkan di persidangan Parlimen, sama ada di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat secara sah di sisi Perlembagaan. Malah, tanpa tuntutan tersebut pun, perkara-perkara ini telah lama dan senantiasa menjadi fokus dan diambil maklum oleh SPR untuk dikaji dan dilaksanakan mengikut masa dan keadaan serta kemampuan.

Walau bagaimanapun, sekiranya Ahli Yang Berhormat berpendapat proses pilihan raya yang sedia ada perlu ditambahbaik lagi maka eloklah dikemukakan sebarang pandangan dan cadangan penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya untuk dikaji sebelum dikemukakan kepada SPR untuk dilaksanakan sekiranya sesuai.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.