Yang Berhormat Ipoh Timur mencadangkan agar suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian Ahmad Sharbani.


Jawapan Bertulis YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa Menggulung Perbahasan Bajet 2012 (Peringkat Dasar) di Dewan Rakyat pada 24 Oktober 2011

Untuk makluman Yang Berhormat, secara amnya Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci burhubung dengan perkara tertentu yang mendesak dan melibatkan kepentingan awam vital public importance. Perlu ditekankan bahawa peranan Suruhanjaya Siasatan adalah untuk membantu dan menasihati Kerajaan dalam memahami sesuatu perkara itu dengan lebih jelas dan terperinci melalui hasil laporannya dan bukannya untuk memberi sesuatu keputusan berhubugn dengan sesuatu perkara.

Perenggan 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [AKta 119] memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu Surhuhanjaya Siasatan untuk menyiasat “apa-apa perkara lain yang siasatannya, pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, berfaedah bagi kebajikan awam…”.

Sehubungan dengan itu, persoalannya adalah sama ada kematian Ahmad Sharbani wajar disiasat melalui suatu Suruhanjaya Siasatan ataupun melalui mekanisme tatacara jenayah yang lazim. Diperhatikan bahawa ungkapan ‘kebajikan awam’ dalam perenggan 2(1)(d) Akta 119 tidak ditafsirkan atau diperuntukkan bagi maksud pemakaian Akta tersebut. Dalam hal ini Yang di-Pertuan Agong, boleh menubuhkan suatu Suruhanjyay Siasatan untuk menyiasat kematian Ahmad Sharbani sekiranya ‘pada pendapat Yang di Pertun Agong, berfaedah bagi kebajikan awam’ selaras dengan peruntukan tersebut.

Namun demikian, perlu ditekankan bahawa pelaksanaan fungsi Yang di Pertuan Agong di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 tersebut adalah suatu pelaksanaan fungsi di bawah undang-undang persekutuan bagi maksud Fasal (1) Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang mana ia hendaklah dilaksanakan mengikut nasihat Jemaah Menteri ataupun Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri. Fasal (1) Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini.”

Oleh yang demikian, keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kematian Ahmad Sharbani adalah tertakluk kepada nasihat Jemaah Menteri.

Namun buat masa ini, Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kematian Ahmad Sharbani berikutan mahkamah telah membuat keputusannya.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.