Yang Berhormat Ipoh Timur memohon agar keutamaan diberikan untuk membahaskan Usul persendirian mengenai isu plagiarism yang dibawa oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor di Dewan ini


Jawapan Bertulis YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa Menggulung Perbahasan Bajet 2012 (Peringkat Dasar) di Dewan Rakyat pada 24 Oktober 2011

Untuk makluman Yang Berhormat, Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan melarang perbincangan mengenai kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi di dalam Parlimen kecuali suatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen.

Selanjutnya, Peraturan Mesyuarat 36(8) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat juga melarang antaranya menyebut dalam isi-isi ucapan ahli-ahli Majlis Parlimen pada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat mengenai kelakuan atau sifat Hakim-hakim kecuali dikeluarkan usul bersendiri bagi maksud itu.

Peraturan 27 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan cara-cara mengeluarkan pemberitahu (notis) yang antaranya pemberitahu bagi usul yang bukan dengan nama Menteri, hendaklah dihantar kepada Setiausaha tidak kurang daripada 14 hari terlebih dahulu dengan bertulis dalam waktu pejabat biasa.

Oleh yang demikian, berdasarkan peruntukan yang dinyatakan di atas, adalah jelas bahawa kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi tidak boleh dibincangkan di Parlimen kecuali melalui suatu usul khusus yang memenuhi dan mengikut tatacara yang dinyatakan dalam perkara 127 Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Mesyuarat 36(8) dan Peraturan Mesyuarat 27 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Selanjutnya, jika usul mengenai isu plagiarism ini perlu memenuhi dan mengikut tatacara yang dinyatakan di atas, usul tersebut boleh dibincangkan di Parlimen. Walau bagaimanapun, Peraturan Mesyuarat 15 Peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan bahawa urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan lain. Selagi urusan Kerajaan belum selesai, usul oleh ahli bukan ahli Kerajaan tidak boleh dibincangkan.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.