“SAYA ORANG TUA DARI SASTERA, ORANG MUDA DARI SIASAH”


By ~ A. SAMAD SAID
UCAPAN MALAM SOLIDARITI BAGI LIM KIT SIANG @5.11.15

SETIAP kali kerajaan dikritik atau ditegur
biasanya sangat cepat ia ditafsir atau didakwa
sebagai hajat atau upaya menggoyah kerajaan.
Tidak ditanya apakah selaran atau kritik itu
sahih atau palsu, berdasar atau tidak, seolah-
olah ia tidak perlu.

Tampaknya, teguran atau saranan itu sentiasa
bermula sebagai salah atau sememangnya nakal.
Kerajaan kita kini seolah-olah menganggap yang
menegur tetap seteru, tidak kiralah apa yang ditegur,
sementara kita orang biasa atau kelompok
oposisi, alhamdulillah, masih berupaya coba tetap
berarah. Malah, jika berkhayal pun, masih tetap
berniat sihat.

Lihat, kini yang mengkritik atau menegur kerajaan
bukan lagi melulu pihak oposisi. Sebaliknya,
semakin ramai dan bergema yang resah membantah
mula datang dari kalangan parti pemerintah
sendiri. Khusus tentang kesamaran 1MDB, yang
menegur, malah ketika-ketika tidak tersangka,
datang dari tokoh-tokoh UMNO yang terpenting.

TS Muhyiddin Yassin menggusari sumber modal
bagi 1MDB, dan turut menggusari mengapa
modal sedemikian perlu masuk ke simpanan
pemimpin yang tertentu; sementara Shafie Afdal,
tokoh Barisan dari wilayah timur, turut resah
dengan kesamaran sumber modal yang sama.

Dan lebih menggelorakan lagi upaya bekas
tokoh UMNO Batu Kawan membawa keresahan
itu sehingga ke Singapura, Switzerland, Perancis
dan Hong Kong setelah upayanya melaporkan
keresahan niaga 1MDB itu tidak berkesan
di negaranya sendiri.

Ternyata kekecohan itu terus menyala dan
semakin berang membakar. Saking kerasnya
kritikan, lalu Khairuddin Hassan ~ malah
peguamnya ~ kini tersangkut dalam jaring Sosma.

Pendeknya, berniat untuk memperjelas krisis
siasah tanah air menjadi semakin beranjau
dan menyala.

Kini ternyata menjadi lebih berserabut lagi dengan
upaya mendebatkannya secara terbuka tersangkak
oleh “peraturan” khusus yang menjadi dilema
besar, sehingga debat besar sudah pun tergendala,
memakan beberapa orang mangsa yang sebenarnya
berniat baik untuk memperjernih kekalutan seputar
1MDB.

Dalam keserabutan itulah tampaknya kini lidah
YB Lim Kit Siang telah sempat dikacip selama enam
bulan. Betapa sesianya peranan seorang Wakil
Rakyat yang terhalang suaranya. Ternyata
perkembangan baru di Dewan Rakyat itu sendiri
mula merunsingkan awam. Di mana lagi tempat
sebaiknya untuk rakyat mencari jawapan jika
tidak boleh diharapkannya lagi dari khidmat Wakil
Rakyat yang terkacip lidahnya.

Ternyata kebisuan baru di pentas bersuara yang
bermaruah itu mula membimbangi umum, apalagi
Wakil Rakyat yang merasa terputus dari tugas
dan tanggungjawabnya.

Ternyata kepada Wakil-Wakil Rakyat yang tulen
perkembangan kacip lidah yang baru ini adalah
satu permulaan lain bagi menyelesaikan keserabutan
1MDB. Mula terbayang tembok yang tebal dan
tinggi, sesuatu yang sangat menggerunkan. Apalagi
apabila disedari bahawa tindakan kacip lidah itu
bakal menular menjadi penyakit yang payah disembuh
secara santun dan berakal.

Saya kira itulah antara sebabnya YB Gobind Deo
merasakan perlu untuk menilai masalah dan mencari
jawapan warasnya demi menyelamatkan suara
demokrasi yang murni dan tulus itu.

Tindakan mengacip lidah di Dewan Rakyat dirasakan
perlu diwarasi melalui satu saluran badan penimbang
yang adil dan berhemah. Tampaknya, inilah sebenarnya
yang sedang digerakkan agar suara waras para
Wakil Rakyat dapat terus bermanfaat bagi rakyat awam.

Lidah YB Lim Kit Siang perlu dimuliakan semula.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.