Pilihan raya lokal hakis hak Melayu?


Saifuddin Abdullah
Sinar Harian
3 OGOS 2015

MINGGU lalu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menuduh DAP “cauvinis” kerana ingin mengadakan semula pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Enam bulan terdahulu, beliau menyatakan yang pilihan raya tersebut akan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

Saya tidak terlibat dengan perselisihan antara beliau dengan DAP. Tetapi, saya tidak bersetuju dengan pendapatnya tentang hak orang Melayu dalam konteks pilihan raya PBT.

Pada 13 Mac 2015, saya telah menyampaikan syarahan khas bertajuk “Adakah Pilihan Raya PBT Menghakis Hak Keistimewaan Melayu” di Persidangan PBT di Malaysia: Menilai Laporan Athi Nahappan Untuk Masa Kini, anjuran Penyelidikan Untuk Kemajuan Sosial (REFSA). Teks syarahan itu diterbitkan dalam REFSA Quarterly, Isu 1 2015.

Saya mula berbicara dan menyokong diadakan semula pilihan raya PBT sejak 1986. Saya pernah menjadi Ahli Majlis PBT Temerloh selama enam bulan, pada 2007, iaitu sebelum menjadi Ahli Parlimen Temerloh pada 2008-2013. Oleh kerana pada saya, Majlis Daerah dan Majlis PBT tidak partisipatori dan representatif, maka, sebagai Ahli Parlimen, saya telah menubuhkan mini-parlimen tempatan, iaitu Majlis Perundingan Parlimen Temerloh.

Saya sedia maklum bahawa pilihan raya bukanlah tongkat sakti yang dapat secara 100 peratus menyelesaikan semua masalah PBT. Tetapi, saya cukup yakin bahawa ia akan membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan, khususnya dalam lima aspek: pendemokrasian, kerangka governans, keterangkuman substantif, integriti dan penilaian.

Adakah ia akan menghakis hak keistimewaan Melayu? Jawabnya: tidak.

Pertama, kita perlu mempunyai pandangan alam dan tafsiran yang tepat tentang makna hak keistimewaan Melayu. Saya tidak berpegang pada konsep ketuanan Melayu. Sebaliknya, saya berpegang bahawa sebagai Melayu, dan Muslim, kita perlu menegakkan keadilan dan mengelakkan diskriminasi, iaitu seperti yang tercatat dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa semua rakyat adalah sama di sisi undang-undang dan tidak boleh berlaku diskriminasi atas alasan agama, kaum, keturunan, tempat lahir dan gender.

Islam juga menegaskan perkara yang sama, contohnya, penolakan terhadap konsep asabiyah.

Perkara 153 Perlembagaan menjamin kedudukan istimewa Melayu. Tetapi, ia adalah untuk mewajarkan langkah afirmatif. Ia tidak pula meliputi semua bidang. Ia hanya meliputi empat bidang sahaja, iaitu perkhidmatan awam Persekutuan, biasiswa, pendidikan dan permit/lesen. Dalam bidang-bidang tersebut, ia tidak pula boleh dipanjangkan sehingga langsung tiada hadnya. Contohnya, dalam perkhidmatan awam, Perkara 136 menyatakan bahawa setelah seseorang diambil, maka, semua perlu dilayan secara saksama.

Kedua, menurut Dr Ong Kian Ming, majoriti PBT adalah kawasan majoriti Melayu. Penduduk Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (45.9%) mengatasi Cina (43.2%). Daripada 49 PBT terbesar, hanya 6 sahaja yang penduduk bukan-Melayunya melebihi Melayu. Ini bermakna 88 peratus PBT terbesar mempunyai penduduk yang bercampur, dan kebanyakannya adalah majoriti Melayu.

Ketiga, kita boleh mengadakan sistem dan mekanisme yang menjamin keterangkuman semua kaum, termasuk minoriti, dan mengelakkan diskriminasi terhadap mana-mana kumpulan. Contohnya, dengan mengadakan zon dan komposisi ahli Majlis.

Dan keempat, banyak telah berubah. Dari segi politik, rakyat semakin rabun warna. Di samping itu, menurut Tan Sri Dr Kamal Salih, ketua kumpulan sarjana yang menghasilkan Laporan Sumber Manusia Malaysia 2013, hari ini, 95 peratus daripada masalah ketaksaksamaan ekonomi Malaysia ialah bersifat intra-kaum, dan tidak lagi bersifat antara-kaum.

Masanya telah tiba untuk kita meningkatkan keyakinan diri sendiri dan melangkah ke hadapan dengan berani dan bernas dengan melakar pemikiran politik yang tidak berasaskan-kaum dan membina solidariti yang merentas-kaum.

Antaranya ialah dengan menolak andaian bahawa pilihan raya PBT menghakis hak keistimewaan Melayu.

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO Gerakan Kesederhanaan Global dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.