PAS tak boleh sendirian jika mahu tumbangkan BN, kata anak bekas pemimpin


oleh Hasbullah Awang Chik
The Malaysian Insider
17 June 2015

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) seharusnya kembali kepada pendekatan yang ditinggalkan bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam usaha menyelamatkan gabungan pembangkang dan menumbangkan Barisan Nasional (BN), kata Nik Omar Nik Aziz.

Anak bekas menteri besar Kelantan itu berkata, arwah bapanya sering mengingatkan, segala permasalahan perlu dibawa ke meja rundingan dan pemimpin PAS seharusnya memulakan inisiatif itu.

“Cara nak selesai, lebih baik melalui meja rundingan. Dalam PR ada Majlis Presiden, di sinilah ruang terbaik.

“Saya rasa parti PAS yang mesti memulakan inisiatif langkah terbaik, bincang secara teliti, ikhlas supaya dapat dikekalkan PR, sebab itu pendekatan Tok Guru,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Nik Omar berkata, ayahnya terlalu sayangkan ikatan sesama parti dalam PR melebihi kasih sayang kepada anaknya sendiri kerana sedar PAS tidak akan dapat mentadbir negara sendirian.

Katanya, Nik Aziz sedar landskap politik Malaysia memperlihatkan PAS perlu bersama sekutunya – PKR dan DAP – dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan BN.

“Macam mana pun, kita kena terima, PAS ini parti politik, kita nak bezakan politik yang PAS nak bawa dengan lawannya, Umno, yang berasaskan kebangsaan dan sekular.

“Apabila politik, kita kena fikir akhirnya kita mahu undi. Di Malaysia, Allah buat ketentuan masyarakat majmuk dan agama pelbagai. Kalau kita fokus pada satu bangsa sahaja, dari segi logiknya agak sukar kita nak dapat kuasa.

“Dari situlah yang saya faham, Tok Guru beri perhatian serius kepada Islam dan bukan Islam. Selain untuk dakwah, Tok Guru lihat jangka masa panjang, dia juga tengok melalui undi tadi,” katanya.

Mengulas hasrat PAS memutuskan hubungan dengan DAP seperti yang dipersetujui semasa muktamar parti itu awal bulan ini, Nik Omar berkata beliau menghormati Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagaimana menghormati ayahnya sendiri, namun mengakui pendekatan presiden PAS itu berbeza dengan ayahnya.

Katanya, Nik Aziz jelas menunjukkan bagaimana akhlak pemimpin Islam yang sepatutnya untuk mendekati DAP bagi menghasilkan kejayaan dalam hubungan PR.

“Kalau kita berbaik melalui perbincangan, hormat-menghormati, ziarah-menziarahi, guna saluran perbincangan yang betul sebagaimana Tok Guru tunjuk dulu, mungkin suasana agak berbeza sikit.

“Kalau tanya saya secara peribadi, saya lebih suka kita masih ada ruang (untuk berbaik dengan DAP) sebab kita tahu DAP ini 90% pimpinannya bukan Islam.

“Kalau mereka tunjuk akhlak yang tidak sesuai dengan kita orang Islam, padanlah, sebab dia bukan Islam. Kita sendiri lebih sesuai tunjuk pendekatan Islam bagaimana,” katanya.

Sementara itu anak kepada bekas presiden PAS, Faiz Fadzil berkata, PAS kini tidak berpijak kepada realiti dan cuba kembali kepada zaman retrogresif 1970-an.

Faiz yang merupakan anak kepada Datuk Fadzil Mohd Noor berkata, pimpinan PAS pada hari ini juga sudah melupakan pendekatan bapanya yang banyak membawa kejayaan besar kepada parti itu.

“Mereka tidak berpijak pada realiti. Tak mungkin PAS boleh memerintah Malaysia atau negeri Pantai Barat tanpa berpakat dengan parti lain.

“Kalau hanya melihat PAS di Pantai Timur yang majoriti rakyatnya adalah Melayu, mungkin boleh berjuang sendirian.

“Tetapi sejarah membuktikan PAS tak mampu membentuk kerajaan dengan berjuang bersendirian,” katanya sambil menambah, malah sewaktu membentuk kerajaan negeri Kelantan pada 1990, PAS bermuafakat dengan Semangat 46.

“Tanpa muafakat Angkatan Perpaduan Ummah, tak mungkin kita boleh bentuk kerajaan,” katanya.

Beliau mendakwa, ucapan penggulungan Hadi semasa muktamar lepas yang positif terhadap Umno jelas menunjukkan ahli Parlimen Marang itu dan pengikutnya tebal dengan semangat ketuanan Melayu.

Katanya, PAS harus sedar, Islam itu bersifat terbuka, inklusif dan rahmat, selaras dengan gerakan Islam yang tidak diturunkan kepada golongan tertentu.

“Mereka tak dapat terima pendekatan yang dibina Fadzil untuk kembangkan PAS dan letakkan parti dalam persada arus perdana.

“Di Malaysia berbeza dengan Arab. Kita di Malaysia pelbagai kaum, jadi, pendekatan kena berbeza.

“Kita hidup di Malaysia perlu menerima masyarakat majmuk dan berkongsi kuasa. Malaysia tak boleh dipusatkan pada satu kaum pemerintahannya. Mesti berkongsi,” kataya kepada The Malaysian Insider.

Seorang lagi anak kepada bekas presiden PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata kepimpinan PAS yang dahulu berbeza dengan kepimpinan sekarang apabila mengelak dari perbuatan keji dan mungkar.

Katanya, sifat terbuka PAS ditambah dengan budaya terlalu berpolitik, menjadikan pimpinan sekarang tidak mampu mengawal anasir buruk yang berlaku dalam parti.

“Zaman dulu tak ada perebutan jawatan dalam parti dan masing-masing bukan nak melawan antara satu sama lain. Masing-masing menolak untuk memegang jawatan.

“Mungkin juga mengambil kira pada waktu itu PAS tiada kerajaan negeri, tidak ada kekuatan seperti hari ini,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, walaupun ada perbezaan pandangan pada waktu itu, ia lebih dilihat sebagai satu perkara biasa yang berlaku dalam organisasi.

“Tidak wujud cantas mencantas, fitnah memfitnah, label melabel maka perjalanan parti dipacu semangat persaudaraan,” katanya.

Ketika ditanya hala tuju PAS apabila parti Islam itu kini dianggotai anak dan menantu Hadi, Mujahid berkata, ini bukan kali pertama keluarga presiden dominan dalam parti.

Katanya, bekas presiden PAS Tan Sri Asri Muda yang terlebih dahulu mengamalkannya sehingga parti Islam itu dilabel sebagai parti keluarga.

“Dulu masa zaman kemuncak Asri, ada gelaran yang diberikan kepada PAS.

“Ini kerana Asri presiden, ketua Muslimat isterinya, ketua Pemuda menantunya, AJK PAS yang lain kroni-kroninya. Dulu mereka namakan ‘Parti Asri Sekeluarga’, PAS.

“Maknanya ini bukan kali pertama dominan keluarga presiden dilihat terserlah dalam PAS. Cuma soal yang lebih utama saya harap keberadaan menantu dan anak itu kerana merit.

“Saya yakin mereka ada merit sebab mereka dipilih perwakilan. Mungkin perwakilan melihat mereka ada merit. Bukan melihat mereka anak Hadi atau menantu,” katanya.

Faiz pula berkata, PAS perlu dilihat berbeza dengan parti lain kerana parti Islam itu dikurniakan dengan ramai pemimpin berkebolehan.

“Macam ayah saya, dia ambil pendekatan Khalifah Umar Abdul Aziz untuk mengelak berlakunya kepimpinan kekeluargaan dalam parti.

“Bila berlaku kekeluargaan dalam parti, ia menyukarkan keputusan dibuat secara kolektif, kerana ada keluarga dalam jawatankuasa kepimpinan. Bukan satu suasana yang baik dalam parti.”

Nik Omar pula berpandangan mungkin Hadi melihat dari sudut berbeza dan percaya anak dan menantunya mempunyai kebolehan untuk memimpin. – 17 Jun, 2015.

  1. #1 by Bigjoe on Thursday, 18 June 2015 - 2:15 pm

    Mereka sudah tak nak tumbang BN, nak masuk BN pula, mala nak masuk UMNO.. Cara dan isi cakap pun sudah macam UMNO..

You must be logged in to post a comment.