Tiada lagi Pakatan


– Izmil Amri
The Malaysian Insider
16 June 2015

Al-Fatihah.

Selesai dimandi, dikapan, diratap kematiannya; jenazah Pakatan Rakyat kini diusung menuju kuburan sebelum ia ditanam dalam kubur cetek separas buku lali. Tragedi ini kita saksikan bersama lebih sepuluh tahun lalu, ketika DAP meninggalkan Barisan Alternatif.

Kubur cetek Barisan Alternatif menyaksikan kebangkitan semula kebangkitan roh muafakat politik baru yang sepanjang dua pilihan raya lalu berjaya menggugat kerusi kerajaan Umno dan Barisan Nasional.

PR juga mati, dan rohnya kini bergentayangan mencari jasad baru untuk dirasuk; bagaikan watak antagonis novel kanak-kanak Harry Potter; Lord Voldermort yang meski tiada berjasad masih “hidup” dalam berbilang juzuk, sebelum tiba masanya ia bangkit semula.

PR, muafakat tiga parti politik pembangkang; tiada lain sekadar jasad, yang sepuluh hari lalu dijangkiti penyakit bawaan Muktamar PAS, kini terpaksa di-euthanasia; ekoran sakitnya yang bersangatan dan tidak terubat lagi.

PAS, dalam muktamarnya yang terbaru bertindak garang membawa usul supaya kerjasama dengan DAP diputuskan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; dilaporkan mengarahkan supaya usul “bercerai” dengan DAP itu diterima muktamar tanpa sebarang perbahasan.

Ini kemudiannya mendapat respon pantas daripada DAP yang mengetuai kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan meminta wakil-wakil PAS dalam kerajaan negeri supaya meletakkan jawatan masing-masing.

Sebenarnya kemelut PR menuju nazak dan kematiannya hari ini bermula sejak sekian lama, seawal mula caka-cakap tentang undang-undang hudud serta sebermulanya kemelut menteri besar Selangor yang memperlihatkan sikap aneh presiden PAS membelakangi kata-kata sendiri dan juga keputusan Majlis Pimpinan Pakatan.

Bukan sahaja DAP, malah pimpinan PAS sendiri pun sudah berpatah arang dengan Hadi; hatta ada yang bertindak meninggalkan parti Islam tersebut dan menyertai DAP, sebuah parti sekular dengan ideologi Demokrasi Sosial.

Kemasukan sasterawan negara, A. Samad Said ke dalam “parti Cina” itu baru-baru ini di saat PAS sedang “bergaduh” dengan DAP dan di tengah usaha membina semula perkampungan yang musnah akibat banjir di Kelantan tambah membikin goyah para pemuka Umno dan PAS yang memandang DAP sebagai saingan terhebat.

Pun begitu, apa yang lebih penting ialah kematian PR, bukanlah untuk diratap. Yang mati biarkan mati, biarlah jasadnya mereput membusuk bersekali dengan penyakit-penyakit yang membarah itu. Apa yang lebih penting ialah perjuangan ke arah sebuah negara yang adil, demokratik dan bebas perlu diteruskan; roh PR bakal bertukar nafas; dan pastinya akan ada yang sedia menyambutnya.

Memang sudah tiba masanya untuk perubahan ini berlaku. Hujung hayat PR memang sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi.

Esok masih ada

Sambil kita mengucapkan terima kasih dan selamat jalan kepada PAS, yang kini gagah bersendirian sepertimana yang ia impi-impikan; kita pastinya masih terkenang kisah-kisah pahit manis bersama bagi menjadi pedoman sepanjang jalan menuju Putrajaya.

Dalam keadaan Umno juga sedang turut menghadapi sakaratul-maut, tidak harus ada langkah yang tertangguh untuk memudahkan nyawa parti pemerintah itu meninggalkan jasad.

Fokus harus kembali kepada kebobrokan yang tidak berpenghujung di bawah pentadbiran Umno/BN dan bagaimana ini boleh dihentikan dengan mengusung sebuah muafakat baru untuk menjadi ganti kerajaan, berasaskan aspirasi dan impian rakyat Malaysia yang ingin melihat negara yang aman makmur, adil dan saksama.

Dahulu pun ketika BA berpecah, ramai yang meratap menyangkakan jalan perjuangan parti pembangkang sampai ke penghujungnya, dan rakyatlah yang akan menjadi mangsa serta terus sengsara di bawah pentadbiran Umno.

Namun proses politik adalah satu proses yang aneh. Politik sebagai “seni segala mungkin” menyaksikan kemunculan muafakat pasca tsunami Mac 2008 apabila DAP, PKR dan PAS berjaya menafikan majoriti dua-pertiga BN di Dewan Rakyat selain merampas pentadbiran di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain mengekalkan pentadbiran di Kelantan.

Pun begitu, proses politik juga menyebabkan muafakat longgar parti-parti ini boleh dipecah dan dibina semula sesuai dengan keadaan dan perkembangan semasa.

Di saat PAS nampaknya begitu beriya mahu bergabung dan bekerjasama dengan Umno sambil membelakangkan rakan-rakan dalam PR, muafakat tersebut pastinya harus mati bagi memberi ruang untuk sebuah muafakat baru yang tetap hati memilih apa sahaja selain Umno dan juak-juaknya dalam pilihan raya akan datang.

Masih ada esok untuk kita yang mungkin hari ini sedikit kecewa meski tidak terkejut dengan matinya PR.

Sama-sama kita doakan supaya segala dosa-dosanya dilupakan, dan marilah kita bercakap-cakap tentang kebaikan yang ia kerjakan sepanjang usianya yang begitu muda. – 16 Jun, 2015.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.