Bekas pemimpin PAS dirai, Malaysia bakal saksikan muafakat politik baharu


Zulkifli Sulong
The Malaysian Insider
17 June 2015

Malaysia akan menyaksikan muafakat politik baharu tidak lama lagi selepas 18 pemimpin PAS yang disingkirkan dalam muktamar baru-baru ini melancarkan perhimpunan pertama mereka di Muar, Johor malam tadi.

Kumpulan dikenali G-18 itu bermesyuarat sesama mereka kira-kira jam 6 petang di sebuah hotel dan pada jam 9 hingga 12 malam, mereka berucap di hadapan kira-kira 3,000 penyokong, jumlah dianggap besar untuk satu ceramah politik di Johor.

Hampir semua mereka hadir kecuali Datuk Husam Musa yang tidak berapa sihat dan Dr Syed Azman Ahmad Nawawi yang berada di luar negara.

Antaranya, bekas timbalan presiden Mohamad Sabu, juga dikenali sebagai Mat Sabu, bekas naib presiden Salahudin Ayub, bekas ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar, bekas bendahari Asmuni Awi, bekas pengarah pilihan raya Dr Mohd Hatta Ramli, bekas ahli Jawatankuasa Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, Mohamed Hanipa Maidin, Khalid Samad, Datuk Kamarudin Jaffar, Zulkifli Mohamad Omar, serta ramai lagi.

Pengarah perhimpunan, Mazlan Aliman, merupakan satu-satunya anggota kumpulan progresif yang menang dalam pemilihan AJK PAS Pusat baru-baru ini. Mazlan melepaskan jawatan itu Isnin lepas.

Ketika berkumpul di Johor, pihak yang menang pula berhimpun di kubu mereka di Rusila, Marang. Namun begitu, ia tidak disertai Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berada di luar negara dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempunyai program tersendiri di Jengka, Pahang.

“Saya yakin muafakat politik kali ini akan bermula di selatan, dia akan naik ke utara. Johor menjadi tapak bermulanya perjuangan era baru di Malaysia ini,” kata Mat Sabu, pemimpin yang paling senior di kalangan mereka yang kalah itu.

Pada sidang media selepas itu, Mat Sabu berkata, mereka akan melihat situasinya dahulu sebelum memutuskan langkah seterusnya sama ada menubuhkan parti baharu.

“Kita belum fikir parti baharu lagi, kita akan lihat sokongan rakyat dahulu kepada beberapa pilihan yang kita ada, sama ada parti baharu, kekal dalam parti lama, NGO atau sertai parti politik yang ada,” katanya tidak mahu mengikat hala tuju perjuangan mereka.

Selepas Muar, mereka akan bergerak ke seluruh negara, Temerloh, Pahang akan menjadi destinasi kedua mereka pada 26 Jun ini.

Datuk Dr Mujahid Yusof ketika ditemui The Malaysian Insider di majlis itu yakin gerakan baharu tersebut melibatkan semua pihak yang mempunyai cita-cita sama bagi membela rakyat negara ini dan mengambil alih Putrajaya.

“Kita akan pastikan semua pihak berada dalam satu wadah untuk perjuangan ini,” katanya.

Di samping kumpulan G-18 ini, pihak lain yang berminat menubuhkan parti politik baharu ialah Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang sebelum ini membuat keputusan mengambil inisiatif tersebut.

Di samping itu, Ikram Malaysia juga difahamkan menyatakan minat untuk bersama mereka, di samping Wadah, iaitu NGO yang menghimpunkan bekas pemimpin kanan Abim.

Jadual pimpinan G-18 penuh dengan pertemuan dengan pelbagai pihak yang berminat bersama mereka.

Ia akan bekerjasama dengan PKR dan DAP yang bersama dengan PAS sebelum ini dalam Pakatan Rakyat (PR) yang kini berkubur.

Mat Sabu sudah beberapa kali menegaskan akan terus bersama dengan parti dalam PR sebelum ia diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai tidak wujud lagi semalam.

Dalam ceramah pertama beliau di Kota Baru Ahad lepas selepas tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam PAS, Mat Sabu tegas menolak mereka yang mahu berbaik-baik dengan Umno.

“Jangan siapa niat nak bantu Umno kekalkan Putrajaya, Abang Mat akan lawan habis-habisan kali ini… No, no, no,” katanya disambut dengan takbir oleh orang ramai yang hadir.

Halangan terbesar mereka adalah bagaimana memujuk ahli PAS yang berjumlah satu juta orang itu menyertai mereka. – 17 Jun, 2015.

  1. #1 by Sallang on Wednesday, 17 June 2015 - 5:50 pm

    ‘ bagaimana memujuk ahli PAS yang berjumlah satu juta orang itu menyertai mereka’

    Tak susah untuk mendapat 30 -40% yang muda, yang selama ini sedang menyokong kumpulan progresif, untuk menyertai.

    Alternatifnya,jikalau tak sempat menubuhkn parti, kamu 18 anggota memasukki Parti PKR atau DAP untuk menentang PAS dan BN dlm GE14.
    Menubuhkan parti baru pun tak boleh menggulingkan bn.
    Lawan kerusi PAS di mana shj.
    Agree to disagree. GE14 final countdown.

  2. #2 by Sallang on Wednesday, 17 June 2015 - 6:00 pm

    If DAP wins Johore , one of you can be MBesar.

You must be logged in to post a comment.