Kerjasama PAS-Umno umpama pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk


– Zairil Khir Johari
The Malaysian Insider
14 April 2015

Menurut laporan Mingguan Malaysia, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS wajib berunding dengan Umno apabila diajak parti tersebut demi memastikan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Katanya lagi, pemimpin dan ahli PAS tidak sewajarnya mempersoalkan keikhlasan Umno menyokong pelaksanaan hukum itu, khususnya apabila rang undang-undang persendirian berkaitan hudud dibentangkan di Dewan Rakyat kelak.

Sejarah pengkhianatan Umno terhadap PAS

Hadi bukan orang baru dalam kancah politik Malaysia. Beliau seharusnya faham, Umno cuma lunak kepada PAS ketika mereka terdesak, memandangkan Umno sendiri yang menghalang pelaksanaan hudud pada 1993.

Beliau juga seharusnya maklum bagaimana Umno menipu dan hampir melenyapkan PAS pada 1970-an dahulu melalui penyertaan PAS dalam kerajaan campuran “UG” pertama, iaitu Barisan Nasional. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969, Kerajaan Perikatan mengalami kemerosotan apabila banyak undi Melayu berpindah ke PAS. Ekoran pembentukan gabungan besar selepas itu, Umno-BN mendapat kejayaan besar pada PRU 1974.

Namun begitu, jasa PAS dibayar tiga tahun kemudian dengan penyingkiran PAS daripada BN berikutan helah “Darurat” di negeri Kelantan. Akibatnya, PAS bukan sahaja kehilangan Kelantan, malah hampir terkorban apabila parti tersebut dilanda perpecahan dan krisis kepimpinan. Apakah peristiwa hitam ini sudah dilupai?

Bagaimana pula dengan Tragedi Memali pada 1985? Sekiranya PAS ingin bekerjasama dengan Umno, tidakkah mereka perlu terdahulu menuntut kebertanggungjawaban terhadap kematian Ustaz Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya?

Lebih penting lagi, apakah Hadi tidak mempersoalkan mengapa Umno sanggup membantu PAS melaksanakan hudud di Kelantan, sedangkan Umno langsung tidak menunjukkan minat untuk membentangkan rang undang-undang hudud di negeri-negeri yang mereka kuasai dengan majoriti dua pertiga? Malahan, presiden Umno sendiri terus mengelak daripada menyatakan pendiriannya berkenaan hudud, sementara terdapat menteri Umno yang terus-terang menolak pelaksanaan hukum tersebut.

Jangan lupa amanat Fadzil Noor dan Nik Aziz

Persoalannya, mengapa Hadi begitu terburu-buru untuk mewajibkan kerjasama dengan Umno setelah acap kali dikhianati mereka? Apakah hudud ini sahaja yang dikira mampu untuk menyelamatkan beliau dalam Muktamar akan datang, memandangkan tidak ada lagi kejayaan lain yang mampu disandarkan?

Adalah amat malang bagi PAS dan rakyat Malaysia yang menginginkan perubahan besar sekiranya kepimpinan parti hanya terdaya untuk bergantung kepada musuh politik bagi mengekalkan kepentingan mereka. Setelah berkali-kali ditipu Umno, PAS seharusnya sedar dan tidak menjadi pelanduk yang melupakan jerat.

Berbeza dengan presiden PAS kini, sikap pemimpin-pemimpin terulung PAS seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz senantiasa tegas, jelas dan jujur dalam berpolitik. Dalam isu hubungan dengan Umno, kedua-dua mereka lantang mengingatkan agar sentiasa menjauhi Umno yang licik.

Lebih penting lagi, mereka juga menekankan nilai-nilai Islam seperti keadilan dan amanah sementara menggalakkan sikap istiqamah bersama pakatan pembangkang bagi menumpaskan Umno-BN. Walaupun sudah tiada bersama kita, amanat Fadzil Noor dan Nik Aziz ini tidak wajar dilupai. – 14 April, 2015.

  1. #1 by Bigjoe on Tuesday, 14 April 2015 - 10:03 am

    Yes, UMNO will destroy PAS BUT in doing so they will also pervert themselves such that the fools in PAS will be able to excuse themselves.. So is it a bad thing or a good thing? Well, its not a good thing now and eventually who knows… What we know is its an irresponsible thing but then UMNO/BN history of irresponsibility has only been progressively worst for decades now…

    • #2 by cemerlang on Tuesday, 14 April 2015 - 9:06 pm

      When it comes to politics, responsibility may or may not have its’ place…when you need it, you preach about it, when you don’t need it, it is non existent. Something like that

You must be logged in to post a comment.