Selepas 22 tahun ‘Hudud PAS’ jadi ‘Hudud sebenar’


Mohsin Abdullah
The Malaysian Insider
24 March 2015

Kenyataan Tun Musa Hitam Sabtu lalu (21 Mac) mengesahkan apa yang selama ini ramai “syak” (atau sedia maklum?) iaitu Umno ttidak pernah berminat melaksanakan hukum hudud di negara ini.

“Sebagai seorang bekas penganjur Umno, saya penuh percaya yang hati sanubari Umno sejak ditubuhkan hingga sekarang berpendirian hudud tidak sesuai bagi Malaysia yang berupa negara majmuk berbagai keturunan dan agama ini “.

Jelas bukan? Kata kata bekas timbalan presiden Umno itu.

Pun begitu, Umno pintar menyuarakan hujah bahawa “kami bukan tidak mahu hudud tetapi masanya belum sesuai untuk dilaksanakan “. Lantas “ia perlu dikaji“.

Walaupun tidak menegaskan bila masa yang sesuai untuk hudud, hujah seperti itu menyaksikan Umno ,”terlepas” daripada dituduh “tidak Islamik” atau “anti perundangan Islam”. Sekali gus terus menambat hati sebilangan besar pengundi Melayu.

Dan apabila PAS, pada 1993, membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II di dewan undangan negeri Kelantan, Umno tetap “terlepas” daripada dituduh “anti undang undang Islam “ dan “ tidak Islamik”.

Caranya dengan melabelkan enakmen yang dibentang PAS itu sebagai “hudud PAS“ dan bukan “hudud Islam sebenar“. Oleh kerana perundangan itu pada hemat Umno “bukan hukum Allah sebenar”makaia “tidak patut disokong”.

Namun,18 Mac lalu Umno menyokong perundangan yang sama ketika ia dibentangkan semuladi DUN yang sama. Tetapi dengan pindaan. Dikenali sebagai Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 (pindaan 2015).

Dengan sebak dan penuh emosi, ketua penerangan Umno Kelantan Datuk Md Alwi CheMan memberitahu dewan yang mulia itu, “Saya sokong hudud ini kerana Allah.Umno sokong juga kerana Allah. Bukan kerana politik”.

Bolehkah disimpulkan setelah dipinda, yang dulunya “hudud PAS” dan “bukan hudud sebenar” kini telah menjadi “hudud sebenar“? True Islamic law – lantas Umno menyokong?

Bagi PAS pula, jika itulah keadaannya mengapalah mereka menunggu sekian lama untuk “memperbetulkan kelemahan” enakmen yang dibentangkan 22 tahun lalu itu?

Jika pindaan tidak dilengahkan tentu ia tidak dicop “hudud PAS” sekali gus diterima sebagai “hudud sebenar” dan disokong Umno awal awal lagi.Kemungkinan hudud sudah pun dilaksanakan.Bolehkah dianggap begitu?

Jadi apa sebab PAS tidak bertindak terlebih dahulu sehingga hasrat mereka “tertangguh”?

Pengulas politik berpengalaman Mohamad Sayuti Omar tidak fikir kelenggahan hudud di Kelantan disebabkan kecacatan atau kelemahan enakmen.

“Kalau ia kerana itu masakanTok Guru tidak terfikir dan dinasihati melakukan pindaan? Bagi saya bukan kerana kecacatan itu, sebalik kelenggahan itu adalah strategisi asahnya,” kata Sayuti dalam blognya tempoh hari.

Tok Guru yang dimaksudkan seperti semua maklum tentulah Allahayarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagi Sayuti, dalam PAS orang yang paling “ membuak buak”untuk melaksanakan hudud ialah Allahyarham Nik Aziz tetapi Allahayarham “tidak bertindak melulu dan pakai kepalanya seorang sahaja“.

Allahyarham Nik Aziz kata Sayuti “mendengar pandangan rakan rakan,walaupun adakalanya tegas dalam politiknya”.

Menurut Sayuti, diakui Allahyarham Nik Aziz pernah menggunakan surat“amaran” perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai “alasan “ menangguhkan hudud.

Namun kata Sayuti “Tok Guru bukan tunduk kepada surat itu – tetapi strategi mengelakkan sesuatu yang boleh memburukkan keadaan PAS dan kerajaan Kelantan”.

(Dengan berkata demikian Sayuti mahu kepimpinan PAS di Kelantan masa kini khususnya mencontohi kebijaksanaan Allahyarham Nik Aziz pada ketika PAS boleh mengalami perpecahan. Itu cerita lain untuk hari yang lain).

Berbalik kepada kisah Umno.

Naib presidennya Datuk Seri Shafie Apdal walaupun “senada” dengan Umno Kelantan apabila menyatakan “tidak timbul soal tidak sokong hukum Allah” turut berkata “aspek pelaksanaan mesti dipertingkatkan”.

Setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor pula menyifatkan “private bill” mengenai hudud yang mahu dibentangkan di parlimen oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai “hudud politik”.

Patutlah Musa mengeluarkan kenyataan meminta Umno menyatakan dengan jelas pendiriannya mengenai hudud walaupun beliau berada nun jauh di Cordoba, Sepanyol.

Kenyataan rasmi presiden Umno ditunggu-tunggu. – 24 Mac, 2015.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.