Tiada siapa menentang kepimpinan ulama


A Shukur Harun
The Malaysian Insider
17 March 2015

Muktamar PAS ke-61 pada Jun ini akan menentukan segalanya, sama ada parti itu mampu melakukan perubahan atau terus menjadi parti yang terbuka.

Ini perlu difikirkan semua pihak, terutamanya perwakilan yang menentukan pemimpin yang akan menerajui PAS pada masa depan. Adakah pemimpin dipilih itu mahu melakukan perubahan dan terus menjadi parti yang terbuka atau mungkin berundur ke belakang dan menjadi tertutup?

Dalam pada itu, orang di luar PAS – terutama dalam kalangan Pakatan Rakyat (PR) iaitu PKR dan DAP – akan memerhatikan keputusan muktamar Jun ini, sama ada PAS akan terus mengeratkan hubungan dengan Pakatan Rakyat atau semakin menjauhkan diri.

Sesungguhnya tidak dapat dinafikan, di dalam PAS sudah terbahagi kepada 2 golongan, iaitu golongan konservatif yang tidak bersedia melakukan perubahan dan golongan progresif dan mahukan perubahan.

Ini sangat sahih, berdasarkan kenyataan demi kenyataan dan perlakuan dari 2 pihak yang berseberangan.

Saya tidak bersedia untuk mengatakan, ini pertentangan antara golongan yang dipanggil ulama dengan golongan profesional.

Ini kerana di kalangan ulama ada yang berfikiran terbuka dan mahu menjadikan PAS parti yang terbuka sementara di kalangan profesional, juga ada segelintir darinya yang berfikiran konservatif, tidak terbuka.

Pertarungan 2 pihak di dalam PAS, yang tidak boleh dinafikan kewujudannya dilihat dengan berhati-hati rakyat di negara ini.

Dalam masa yang sama terdapat kebimbangan serius di kalangan ahli terhadap pertarungan kedua-dua pihak di dalam PAS yang boleh mengundang keuntungan bagi Umno dan BN, walaupun mereka juga berada dalam situasi krisis. Mereka berpendapat jika golongan progresif mendominasi keputusan pemilihan PAS di muktamar nanti, maka PAS akan terus berperanan memperkukuh Pakatan Rakyat.

Justeru, golongan progresif ini tidak mencabar atau mengeluarkan kata dua kepada PR.

Namun, jika golongan konservatif mendominasi keputusan pemilihan di muktamar nanti, maka kebanyakan rakyat berpendapat hubungan PAS dengan PR akan semakin renggang.

Golongan ini akan terus memberikan kata dua, mendesak malah mengancam untuk keluar daripada PR. Inilah yang membimbangkan semua pihak.

Mereka mengancam untuk keluar daripada PR dengan hujah kononnya ‘kerana akan merugikan Islam’. Ini menjadi wirid mereka, siang dan malam.

Malangnya, andaian ini tidak pernah dibuktikan kebenarannya, tidak pula dijelaskan apa dia ‘akan merugikan Islam’ jika berada di dalam PR.

Malah, ada sesetengah ustaz muda ini yang berterus terang mendesak supaya PAS keluar PR walaupun mereka tidak sedar sebanyak 4 kali muktamar PAS menegaskan komitmen PAS dalam PR, namun wirid mengancam untuk keluar Pakatan itu berterusan kedengaran.

Inilah dilema dan kebimbangan di kalangan rakyat, terutama penyokong Pakatan Rakyat dari pelbagai kaum dan agama, yang mengundi PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dan ke-13.

Mereka bertanya, apa akan terjadi jika golongan konservatif mendominasi keputusan pemilihan di muktamar PAS nanti. Ia dilihat akan menimbulkan masalah besar akan kedudukan PAS dalam PR.

Ini masalah besar yang dihadapi PAS. Pada zaman Allahyarham Fadzil Mohd Noor memimpin PAS, hubungan ulama dan bukan ulama, khususnya profesional sangat erat.

Mereka bekerjasama sejak puluhan tahun, justeru Allahyarham berjaya ‘mengulamakkan’ profesional dan memprofesionalkan ulama.

Kini, hal seumpama ini tidak lagi terjadi dan ini akan memberikan kesan besar dalam pemilihan pimpinan di muktamar PAS Jun nanti. Ia akan menjurus kepada pemilihan 2 kelompok yang disebutkan nanti.

Namun saya masih yakin, akan ada perwakilan yang masih rasional, berfikiran terbuka dan memandang jauh ke depan akan masa depan PAS.

Mereka ini akan memilih tokoh terbaik yang mampu meneruskan keterbukaan PAS dan tidak menimbulkan masalah dalam Pakatan Rakyat.

Oleh itu, jangan ada sebarang pihak dalam apa status pun dalam PAS yang cuba mempengaruhi dan mendesak supaya perwakilan mengundi golongan itu dan ini.

Setakat ini, daripada bukti yang ada, golongan progresif tidak berkempen mendesak perwakilan mengundi golongan mereka.

Biarkanlah perwakilan dengan penuh tenang memilih tokoh terbaik – dari presiden hingga ke AJK PAS Pusat. Biarkan perwakilan menikmati hak mereka memilih tokoh yang mereka fikir layak untuk memimpin.

Berdasarkan pengamatan, pembacaan dan kehadiran saya dalam PAS sejak 32 tahun lalu hingga kini tidak ada sesiapa di dalam PAS yang menentang kepimpinan ulama justeru konsep itu diputuskan dalam muktamar PAS pada awal 80-an.

Oleh itu, adalah salah dan mengelirukan sebarang tanggapan ada di kalangan ahli kononnya menentang kepimpinan ulama. Tuduhan ini adalah palsu dan tidak benar.

Banyak kajian dan tulisan mengenai kepimpinan ulama, termasuk yang terkini dari Dr Mujahid Yusuf Rawa yang disiarkan dalam The Malaysian Insider.

Semua ahli PAS mendukung kepimpinan ulama. Apa yang sebenarnya berlaku ialah ada segelintir ustaz yang berasa dirinya ulama, yang melemparkan pelbagai tuduhan dan label yang tidak elok terhadap golongan bukan ulama, khususnya golongan profesional.

Golongan profesional ini terpaksa mempertahankan diri mereka apabila dicabar dan difitnah, kerana mereka juga mempunyai maruah dan harga diri.

Inilah yang terjadi, tetapi malangnya ada yang menganggap menentang sesetengah ustaz ini seolah-olah menentang kepimpinan ulama. Tanggapan ini tidak benar sama sekali dan amat mengelirukan.

Oleh itu, semua pihak di dalam PAS jangan cuba mengelirukan dan memanipulasi persoalan ini. Tidak ada yang menentang kepimpinan ulama. – 17 Mac, 2015.

  1. #1 by boh-liao on Tuesday, 17 March 2015 - 2:21 pm

    Face d reality n say good bye or riddance 2 PR
    No more PR – long live UmnoB/BN

  2. #2 by Bigjoe on Wednesday, 18 March 2015 - 8:52 am

    No one is against the Ulama, BUT it is demand of modernity and progress that demand technocratic skills they don’t have that is against them., Like it or not, simplistically, it is against them..

You must be logged in to post a comment.