– Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi
The Malaysian Insider
3 June 2014
Dalam keghairahan umat Melayu daripada Perkasa dan umat Islam daripada Isma menghina masyarakat Cina dan Kristian di Malaysia dengan memberi mesej bahawa umat Melayu terbantut perkembangan ekonomi, spiritual dan intelek kerana kehadiran kedua-dua jenis manusia sebegini, saya ingin memberi sedikit refleksi daripada buku yang sedang saya usahakan bertajuk “Memperkasa Mahasiswa Melayu dalam Industri”.
Dalam buku ini saya memperincikan 7 nilai penting yang perlu ada pada mahasiswa Melayu jika mereka ingin diangkat sebagai pemimpin Industri dan masyarakat yang terbaik di antara semua kaum dalam dunia.
Nilai pertama adalah Apresiasi Budaya Orang Lain, kedua adalah Berjuang untuk Semua, ketiga adalah Membina Jaringan Manusia, keempat adalah Membina Minda Kritis, kelima adalah Membangun Diri Sendiri, keenam Menyalahkan Diri Sendiri dan ketujuh, Merebut Inisiatif. Semua nilai ini adalah hasil refleksi pengalaman saya sendiri sebagai seorang ahli akademik dan daripada pembacaan peribadi terhadap buku-buku tulisan pakar motivasi, spiritualis Barat, koleksi hadis daripada 4 kitab utama, buku sufisme dan banyak lagi.
Mesejnya adalah jika kita orang Melayu sanggup melihat ke dalam diri sendiri dan jangan mudah terpedaya dengan dakyah-dakyah parti politik, NGO atau individu yang menghasut serta meracuni fikiran kita, dengan bantuan Alllah Yang Maha Megetahui, kita akan menjadi orang yang berjaya dan dihormati serta disayangi oleh semua golongan manusia yang mempunyai keikhlasan jiwa.
Mahasiswa Melayu perlu mempunyai nilai apresiasi budaya lain jika mereka hendak menjadi seorang pemimpin cemerlang dalam masyarakat dan industri. Sesebuah syarikat akan pasti mengambil individu yang yakin dapat bekerja dengan budaya lain dengan mudah supaya syarikat tersebut dapat melantik mahasiswa itu menjadi pengurus cawangan di mana-mana tempat dalam dunia atau menghantar mahasiswa tersebut untuk bertemu klien-klien besar kerana mahasiswa ini berupaya mengendalikan mesyuarat untuk mendapat projek atau menjelaskan perjalanan projek sedia ada.
Makna
Nilai apresiasi budaya lain bermaksud bahawa seseorang itu menyakinkan diri bahawa untuk menjadi seorang berjaya dan cemerlang ia harus mempelajari daripada semua manusia dan menerapkan segala nilai-nilai dan pengalaman yang terbaik.
Individu sebegini amat yakin bahawa ia tidak boleh berlegar dalam budaya kaum atau bangsanya sahaja tetapi berusaha memahami pelbagai budaya untuk mempelajari rahsia kejayaan mereka. Sudah tentulah individu ini memahami bahawa terdapat banyak bangsa dan kaum lain yang menyumbang kepada ketamadunan manusia dan ia bukan datang dari satu budaya sahaja.
Adakah perkembangan komputer datang daripada bangsa Melayu? Adakah keupayaan sains roket yang menghantar orang ke bulan datangnya daripada budaya bangsa Amerika? Sudah tentu jawapannya “tidak” dalam kedua-dua soalan tersebut.
Sains computer lahir dari Barat dan bukan warisan intelek budaya Melayu. Sains roket moden datangnya dari Jerman yang mencipta perlu berpandu pertama. Bagaimana pula Amerika Syarikat menguasai budaya intelek ini? Mereka menjemput saintis Jerman yang melarikan diri dari Hitler dan memberikan mereka kehidupan baru.
Bayangkan jika Amerika menolak atau membiarkan mereka ini diapa-apakan oleh Hitler, maka tidaklah Amerika pada hari ini boleh mencipta perluru berpandu jarak jauh atau ICBM dan tidak dapat mencipta satelit atau roket yang berupaya terbang ke bulan.
Jika kita melihat keupayaan dan kejayaan kuasa besar pada zaman kini, kita lihat bahawa mereka mempunyai banyak ilmu tentang budaya-budaya lain. Ilmu ini boleh dikatakan sebagai senjata bagi usaha penjajahan komersil, minda, agama dan politik.
Namun demikian ia adalah suatu yang hakiki bahawa sesiapa yang mempunyai nilai appresiasi budaya orang lain akan menjadi lebih cemerlang. K.A.C. Creswell adalah seorang penulis dan perakam warisan seni bina Islam di Timur Tengah. Beliau hanyalah seorang kopral dalam regimen tentera British yang bertugas di Mesir, Iraq dan beberapa buah negara Islam.
Beliau amat berminat terhadap arkeologi dan membuat lakaran tinggalan bangunan seperti masjid, madrasah, karavanserai, ribat, makam dan banyak lagi tipologi bangunan yang telah roboh ditelan usia dan cuaca.
Beliau mempelajari Bahasa Arab dan dapat menulis tentang sejarah bangunan-bangunan ini walaupun beliau sendiri bukan seorang Muslim. Jika tanpa apresiasi beliau terhadap budaya Arab dan Islam, masakan kita semua dapat mempelajari tentang warisan senibina Islam di sana. Edward William Lane, juga seorang Inggeris yang tinggal di Mesir selama 2 tahun di awal kurun ke 19.
Beliau amat berminat untuk mengetahui kehidupan orang Islam Mesir dan menyamar menjadi seorang Turki. Beliau menghasilkan buku Manners and Customs of Modern Egyptians. Buku beliau mendokumentasi secara intim budaya hidup umat Islam Mesir dari aspek kekeluargaan, pemakanan, pekerjaan dan pemasyarakatan.
Walter William Skeat telah mengambil masa yang lama merakamkan hampir segala kepercayaan tahyul dan magis orang-orang Melayu. Bukunya lengkap dengan jampi mentara yang ditulis dalam Bahasa Melayu Lama.
Tanpa buku ini amat sukar bagi oang Melayu moden memahami pemikiran magis yang mengawal kehidupan masayarakat tua dan masyarakat berpendidikan rendah di negara ini. Ibnu Khaldun merantau dan menulis pengalaman beliau dalam kitab Mukkadimah dan menceritakan pelbagai aspek budaya-budaya orang-orang Islam dan bukan Islam yang dijumpainya.
Marco Polo membuka tirai khayalan orang-orang Eropah Keristian kepada dunia unik orang-orang China dengan kepelbagaian corak kehidupan dan pemikiran dalam kaum-kaum yang wujud di sana. Dengan penulisan ini, mubaligh-mubaligh Keristian dapat mengembangkan ugama mereka dan saudagar-saudagar Venice dapat menjadi kaya-raya dengan hubungan perdagangan dengan negeri China yang besar.
Kini, peniaga-peniaga Amerika dan Eropah menumpukan perhatian penuh kepada pasaran terbesar dalam dunia apabila China membuka pintu kapitalisme dalam negaranya. Tanpa appresiasi budaya amat sukar untuk peniaga-peniaga Barat mendagangkan produk-produk mereka.
Rasional sosial
Apresiasi budaya lain adalah suatu kematangan individu yang membezakan seseorang itu daripada menjadi seperti anak-anak kecil atau menjadi orang dewasa yang waras berfikiran. Di waktu kita kecil dahulu, ingat tak bagaimana kita tidak suka berkongsi mainan atau apa-apa kepunyaan kita?
Ingat bagaimana kita asyik meminta-minta sesuatu dari ibu bapa atau abang kakak kita walaupun kita tahu mereka sedang sibuk? Maka itu, jika kita tidak mempunyai nilai apresiasi budaya lain, maka kita menjadi seperti anak kecil tadi. Kita hanya mementingkan diri kita sendiri sahaja.
Cuba kita ingat waktu kita mula berkawan. Mungkin masa berkawan kita berumur 4 atau lima atau enam tahun. Suatu fakta yang penting tentang berkawan adalah kita harus berkongsi dan berkompromi. Jika tidak, kita tidak akan ada kawan walau seorang pun. Jika kita bermain gasing, atau layang-layang atau guli atau bola sepak, kita harus berkongsi. Jika tidak bagaimana bermain bola seorang diri sahaja?
Walaupun boleh kita bersenam atau bermain bola bersendirian, tetapi keseronokan, cabaran dan semangat pertandingan tiada akan wujud kalau kita tidak berkongsi bola sepak yang dihadiahkan oleh ayah atau ibu.
Bila pula kita belajar berkompromi? Mudah sahaja, katalah kita telefon kawan kita dan mengajak bermain guli. Mungkin ketika itu kawan kita sedang mengulangkaji pelajaran atau membantu membasuh kereta ayah maka dia tidak dapat bersetuju tentang masa untuk bermain.
Jika kita tidak mendapat kata putus tentang bermain guli dari kawan kita maka kita harus berkompromi tentang masa untuk turun ke padang. Kalau sudah berkompromi barulah kawan-kawan dan kita bermain bersama-sama.
Apabila kita melalui waktu remaja, kita harus berkawan dengan pelajr-pelajar lain di bangku sekolah. Mungkin kita perlu membuat kerja berkumpulan dan ini memerlukan sikap bekerjasama yang penting. Pada waktu ini, kita bertemu dengan rakan sebaya yang bukan dari kaum kita sendiri.
Di sekolah kebangsaan, kita bertemu remaja Cina, India, Kadazan yang berugama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh. Jika kita hendak menyempurnakan kerja kumpulan kita maka kita harus berkerjasama dan saling hormat menghormati budaya dan ugama masing-masing.
Berkawan sedemikian masih dilangsungkan ke tahap kolej dan universiti. Malangnya di Malaysia, terdapat sekolah-sekolah ugama Islam swasta dan sekolah Cina dan India yang mengasingkan kaum-kaum Melayu, Cina dan India dalam sistem sekolah masing-masing.
Maka itu, jika ada seorang pelajar yang mengikuti sekolah ugama dan sekolah vernakular ini, maka ia tidak akan berjumpa dengan sesiapapun dari budaya lain. Perkara ini adalah salah satu faktor besar kenapa Malaysia masih lagi mempunyai masalah perkauman walaupun merdeka selama 50 tahun.
Apabila mahasiswa Melayu tamat pembelajarannya di universiti mereka akan berdepan dengan budaya-budaya lain dalam pejabat dan tempat kerja yang lain. Mereka perlu berkerjasama demi kepentingan syarikat yang membayar gaji mereka.
Mahasiswa juga akan berjumpa para klien dan pegawai-pegawai kerajaan dalam pekerjaannya. Apakah sikap yang perlu diambil? Walaupun banyak di antara kita boleh “menipu” dengan muka kita tetapi muka sebenar akan ternampak juga jika isu-isu panas dibincangkan dalam mesyuarat.
Rasional spiritual
Semua rasional yang disebutkan pada seksyen sebelum ini boleh disifatkan sebagai rasional sosial dan politik. Dalam hal sosial dan politik kita boleh ikhlas atau berpura-pura apresiasi budaya lain. Tetapi rasional spiritual tidak boleh dipura-purakan kerana ia adalah penghulu hati manusia.
Dalam seksyen ini rasional spiritual akan dibincangkan terhadap appresiasi budaya lain. Pertamanya, jika seseorang itu beranggapan dirinya sempurna, maka mengikut ahli-ahli sufi, orang ini adalah yang paling sesat.
Orang yang beranggapan bahawa dirinya sempurna tidak akan belajar daripada sesiapa dan juga menjadi angkuh tidak mendengar nasihat orang lain. Jika Rasulullah angkuh pada permulaan Perang Badar maka baginda tidak akan mendengar nasihat seorang Badwi lain yang mencadangkan kedudukan tentera Muslim ke tempat lain dari yang ditetapkan Rasulullah.
Rasulullah menganggap orang itu lebih faham taktik berperang dan baginda bersetuju dan ia merupakan strategi yang terbaik sekali. Dalam peristiwa yang lain, Rasulullah disiksa oleh remaja dan dewasa Taif sehingga baginda berdarah tubuh badan dan pengsan dilontar batu.
Tetapi apabila sedar dari pengsannya, baginda berdoa kepada Allah agar melengkapkan kelemahannya dan tidak menyalahkan orang-orang Taif. Jika baginda beranggpan diri sempurna, maka Taif akan dilenyapkan oleh bala tentera Jibrail yang sedia mengikut perintah baginda.
Dalam Al-Qur’an, Allah berfirman manusia diciptakanNya dengan pelbagai budaya agar kita semua saling kenal mengenal dan bantu membantu antara satu sama lain dalam semua hal. Orang Inggeris mempunyai pepatah lama yang berbunyi “no man is an island”.
Kita semua tidak boleh hidup bersendirian tanpa sebab yang munasabah dan begitu juga sebuah bangsa atau kaum tidak sempurna jika hidup terasing dari budaya lain. Mungkin ada yang berpendapat terdapat kaum-kaum atau kumpulan orang-orang asli yang hidup jauh dari ketamadunan moden dan berupaya menghasilkan masyarakat sempurna.
Pertamanya, harus diingat bahawa mereka ini tidak mempunyai pilihan. Jika salah seorang dari mereka sakit jantung atau beranak tidak cukup 9 bulan dan ditawarkan rawatan doctor dan hospital terbaik, adakah mereka akan menolak rawatan tersebut…atas dasar perkauman?
Rasanya tidak. Manusia masih memerlukan manusia lain untuk mempastikan yang Allah itu maha esa dan tiada berkeperluan sesiapa dan ini membezakan kita denganNya. Kita merendah diri memerlukan orang lain dan ia berbeza dengan keperluan Allah. Dalam kitab Bhagavad Gita, orang Hindu diajar bahawa kegembiraan tidak boleh datang dari mengisi keperluan sendiri tetapi ia datang apabila kita menolong atau membantu orang lain.
Jika bangsa Melayu tidak berinteraksi dengan budaya lain maka Bahasa Melayu sendiri tidak boleh wujud. Mengikut Dr Kassim Ahamad yang menerbitkan buku Hang Tuah, bahasa klasik Melayu datangnya daripada pelbagai bahasa lain termasuk, Urdu, Arab, Cina, Sanskirt, Jawa dan beberapa bahasa lain. Bayangkan kalau orang Arab tidak mahu berinteraksi dan apresiasi bangsa lain, maka Islam tidak berkembang ke Tanah Melayu.
Terdapat juga di kalangan orang Melayu yang menganggap budaya Melayu dan Islam adalah yang terbaik sekali. Persoalannya adakah mereka yang berkata demikian tahu sepenuh-penuhnya kesemua yang ada pada budaya Melayu dan Islam? Jika kita tidak tahu keseluruhan sejarah, pemikiran dan kelakuan orang Melayu dan Islam, bagaimana kita mendabik dada berkata demikian?
Serupa juga dengan persoalan, tahukah kita tentang kesemua sejarah, kelakuan dan pemikiran kesemua budaya dalam dunia ini bagi kita membuat perbandingan akademik? Tiada siapa yang pernah hidup atau yang masih hidup boleh berkata demikian. Jadi, apa alasan kita meletak tempurung di atas kepala sendiri dan memenjarakan diri dan intelek dengan kegoan yang mutlak.
Kekuatan nilai pada firma dan institusi
Jika seseorang penjawat tinggi dalam sesebuah firma swasta mendapat mahasiswa Melayu yang dikira seorang yang berfikiran luas dan berlapang dada terhadap budaya lain maka mereka sudah tentu akan mengambilnya daaripada seorang yang berkelulusan 4.0 tetapi tertutup penglihatannya pada budaya lain.
Pertama, firma ini boleh meyakini bahawa mahasiswa Melayu yang diambilnya dapat berkerjasama dengan kesemua pekerja-pekerja yang berbagai bangsa, ugama dan kaum. Kunci kejayaan sesuatu entiti manusia adalah kerjasama dan kunci kerjasama adalah menghormati semua orang dan mendengar pandangan dari semua tanpa prejudis.
Kedua, firma tersebut dapat menyakinkan diri yang mahasiswa Melayu yang dihantar untuk menjadi ketua cawangan di Britain, Denmark, USA, Saudi Arabia, China, India, Jepun dan banyak negara lain kerana bukan sahaja mahasiswa Melayu ini boleh berkerja dengan staf setempat, ia juga mudah berinteraksi dengan klien dan pakar runding serta pegawai pemerintah di tempat masing-masing.
Seseorang pegawai eksekutif harus mempunyai keyakinan diri untuk berdepan dengan klien demi mendapat projek dan memberi nasihat serta pandangan dengan professional serta bermoral. Janganlah demi projek dan wang maka perkara yang memudaratkan masyarakat, ugama dan kehidupan generasi akan datang terjejas kerana tindakan kita.
Pegawai eksekutif juga perlu berdepan dengan pakar runding yang di ajak bekerjasama atau bertindak sebagai membantu dalam menyempurnakan keperluan projek. Pegawai eksekutif juga perlu berinteraksi dengan pegawai pemerintah sesebuah negara bagi mendapatkan kelulusan atau bantuan serta nasihat bagi melicinkan projek yang dikendalikannya.
Bayangkan jika mahasiswa Melayu duduk di bawah tempurung keegoan dan mencemuh semua budaya lain, dapatkah ia menjadi eksekutif yang terbaik?
Firma yang mengambil mahasiswa yang mempunyai pengetahuan luas tentang budaya lain boleh memberi ide-ide bernas dan memperbaiki produk yang ingin dipasarkan dan juga perkhidmatan yang ditawarkan. Lihat betapa sesitifnya pihak Mc Donald mengendalikan restoran-restorannya yang terkenal di seluruh dunia.
Mereka menggunakan khidmat orang tempatan dan juga menghasilkn produk makanan yang unik bagi setiap negara selain menjaja produk universal yang disukai semua manusia dalam dunia ini. Jika Mc Donald tidak memahami betapa sesitifnya umat Islam terhadap pemakanan halal maka mereka tidak dapat berkembang di luar kawasan Amerika.
Kesimpulan
Mahasiswa Melayu yang cemerlang harus mempunyai nilai apresiasi budaya selain Melayu dan Islam. Tidak ada kesalahan bagi orang Melayu mempunyai apresiasi budaya lain malah kita disuruh untuk mengambil apa-apa yang baik daripada mana-mana budaya lain.
Demi keutuhan intelek, spiritualiti dan keadilan social, nilai appresiasi budaya lain dapat menjadikan mahasiswa Melayu di antara yang terbaik, kalau tidak pun, yang paling baik di dalam dunia. Mana-mana firma perundingan atau syarikat yang menjual produk akan berbangga dengan kehadiran mahasiswa sedemikian rupa.
Jika universiti tidak menggalakan pembinaan mahasiswa Melayu sedemikian, mahasiswa itu sendiri patut mengambil innitiatif sendiri untuk mendekatkan diri dengan budaya lain. Jika Malaysia mempunyai pucuk kepimpinan Melayu yang sedemikian, kita tidak akan ada lagi masalah perkauman dan pengasingan diri anatara budaya dan agama.
Rukun negara menyebutkan tentang Kesopanan dan kesusilaan sebagai prinsip kelima dan nilai apresiasi ini adalah tunggak kepada prinsip tersebut. Tidak ada isu mahasiswa Melayu tidak diambil bekerja di firma bukan Melayu kerana sesiapa sahaja yang mempunyai insan yang berlapang dada sedemikian terhadap budaya lain adalah amat dihargai lebih daripada Melayu yang pandai berbahasa Inggeris atau mempunyai 4.0 GPA.
Ini bukan bermakna bahasa Inggeris kurang penting atau markah peperiksaan boleh diabaikan tetapi isi hati yang menjadi raja tubuh badan serta intelek, kalau dibersihkan, akan membuka lembaran baru ketamadunan Melayu di rantau ini. – 3 Jun, 2014.
#1 by Bigjoe on Friday, 6 June 2014 - 10:24 am
Its lines like these:
“jika mereka ingin diangkat sebagai pemimpin Industri dan masyarakat yang terbaik di antara semua kaum dalam dunia.”
that convinces many non-Malays that even real good Malay critics and intellectuals will not make a difference in the outcome.
Non-Malays, especially the smartest foreigners are looking at the same things and say its about avoiding disasters for the Malay themselves and everyone in the boat with them. Yet what these Malay critics and intellectuals are selling dreams and ambitions. The gap is startling in evaluating the problem.