A Shukur Harun
The Malaysian Insider
3 June 2014
Pengundian berdasarkan kaum oleh generasi lama masih wujud, tetapi ia dilihat semakin berkurangan dan berkurangan. Oleh itu, lambat laun generasi baru akan menggantikan generasi lama dan ini adalah proses biasa dalam kehidupan.
Ketika itu suasana politik semakin berubah dan nada perkauman semakin berkurangan didengar.
Sebagai contoh dalam pilihan raya umum (PRU) setahun yang lalu di mana pengundi generasi baru sudah mencapai sekitar 41%. Maka dalam PRU akan datang peratus pengundi muda ini boleh meningkat lebih tinggi lagi. Di sinilah terletak peluang dan masa depan politik yang cerah bagi Dyana Sofya Mohd Daud.
Calon DAP/Pakatan Rakyat itu tewas di tangan calon BN di Teluk Intan dengan majoriti paling rendah, 238 undi dan ini menggambarkan pencapaian baik bagi Dyana yang hanya diperkenalkan kepada pengundi di situ kurang daripada sebulan. Dengan itu walapun Dyana tewas, tetapi ia sebenarnya mencapai kemenangan moral.
PRK Teluk Intan itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut, ia adalah sebuah kawasan campuran bandar dan luar bandar. Tetapi luar bandarnya jauh kebih luas hingga ke sempadan Selangor, dengan kawasan estet dan kampung tradisi.
Maka generasi lama di luar bandar masih berlegar di koridor perkauman dan tidak ada akses kepada media baru, maka ia terkongkong dalam tradisi di mana hanya saluran TV yang mereka lihat setiap hari, di samping media tradisional. Tetapi seperti saya katakan, generasi ini akan berkurangan dan terus berkurangan.
Dalam hal ini, pemerhati politik melihat, pengundi generasi baru yang kini 41%, dijangka terus meningkat dan akan mendominasi trend pengundian dalam PRU akan datang – kira-kira 4 tahun lagi. Maka peluang ahli politik muda seperti Dyana ketika itu sangat cerah kerana ketika itu suasana berlainan dengan yang ada sekarang.
Dyana kini berumur 27 tahun dan ketika itu, jika Allah memanangkan umurnya, beliau baru 31 tahun, masih muda dan masih sangat bertenaga, cergas dan semakin matang dalam politik.
Ataupun mungkin dalam masa terdekat ini, siapa tahu, ada lagi pilihan raya kecil, maka DAP mungkin pula sekali lagi mempelawa Dyana bertanding kali kedua. Ini semua boleh berlaku.
Politik secara semulajadi penuh dengan kemungkinan dan pertarungan dan ia sangat dinamik. Maka ketika itu pengalaman peguam muda ini makin bertambah. Bagaimanapun, pada pendapat saya, Dyana mempunyai masa depan politik yang cerah.
Menerusi ucapannya pada malam Sabtu yang lalu, ketika menerima kekalahan kecil itu, Dyana kelihatan tidak kecewa, bahkan berazam untuk meneruskan perjuangan membela rakyat dan menghapuskan perkauman.
Dyana sendiri ketika berdepan dengan kira-kira 200 penyokong pada malam itu berkata, ini bukanlah penamat bagi beliau dalam politik. “Ini bukanlah penamat bagi Dyana Sofya. Saya tidak akan kecewakan anda,” katanya dengan tenang tetapi penuh semangat.
Peguam muda itu, yang mengenakan baju kurung warna kundang dan selendang berwarna hitam pada malam itu berkata, beliau tidak hanya berusaha untuk bertanding kerusi Parlimen, tetapi tujuan politiknya ialah untuk mencapai matlamat lebih besar.
“Kita perlu menghentikan politik kaum. Saya tidak hanya berdepan dengan Datuk Mah Siew Keong, tetapi seluruh jentera BN,” katanya dan berjanji akan terus berkhidmat untuk penduduk Teluk Intan walaupun tewas dalam pilihan raya kecil tersebut.
Beliau ditemani penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan pemimpin DAP lain serta Pakatan yang hadir untuk menyatakan penghargaaan kepada penyokong.
Ada beberapa perkara yang sangat wajar diperhatikan di sini iaitu, pertamanya, kita wajar menghargai usaha DAP melakukan pembaharuan politik dengan meletakkan calon muda, gadis Melayu, terpelajar untuk bertanding di Teluk Intan, sebuah kawasan di mana 40% adalah pengundi Cina. Ini suatu keberanian luar biasa DAP, walaupun berisiko tinggi.
Walaupun percubaan pertama DAP ini tewas (tewas kecil), tetapi DAP mempunyai pandangan politk yang jauh ke depan di mana calon muda, tanpa mengira bangsa, perlu diketengahkan untuk bertanding. Justeru inilah sebenarnya politik masa depan Malaysia dan ini adalah strategi politik yang bijaksana. Hendaknya pembaharuan politik seperti ini ada dalam semua komponen parti dalam Pakatan Rakyat.
Kedua, usaha Pakatan Rakyat menentang politik perkauman mestilah diperhebat lagi, kerana perkauman ini ditentang oleh Islam kerana menghancurkan seluruh sistem kehidupan dengan segala nilai luhurnya.
Tidak mungkin Rasulullah menyuruh umatnya menentang perkauman kalau tidak kerana perkauman itu sangat berbisa dan berbahaya.
Hadis sahihnya yang sangat tegas menyatakan:”Bukan dari umatku, mereka yang menyeru kepada assobiyah (perkauman)” adalah gambaran jelas setiap umat Islam bukan saja wajib menjauhi perkauman bahkan menentang perkauman.
Malaysia dengan beban sejarahnya sejak zaman feudal dahulu kala, hingga dijajah Inggeris dan kemudian mencapai kemerdekaan lebih setengah abad yang lalu, hingga kini, dilihat masih dibelengu oleh fahaman perkauman, terutama di luar bandar. Malah perkauman menjadi modal politik berterusan yang sangat berkesan.
Pilihan raya demi pilihan raya, fahaman perkauman ditiupkan dengan kencangnya oleh golongan tertentu. Dalam PRU di Kajang, di Bukit Gelugor dan di Teluk Intan baru-baru ini, hantu perkauman terus menyeringaikan taringnya dan sangat menakutkan.
Maka, Pakatan Rakyat perlu menjadikan usaha menentang perkauman itu sebagai agenda penting sepanjang masa.
Pada pendapat saya, dengan Dyana – seorang calon Melayu – bertanding atas tiket DAP di Teluk Intan itu, walaupun tewas, menghantar isyarat sangat jelas akan usaha DAP/Pakatan Rakyat menentang perkauman dalam apa bentukpun. Beliau meneroka politik baru di Teluk Intan.
Dalam hal ini Dyana tidak keseorangan dalam perjuangannya menentang perkauman, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya, justeru rakyat prihatin akan bersamanya. Untuk itu, kita ingin menyaksikan semangat Dyana ini di mana-mana dan terus menerus, kerana ia mewakili politik generasi baru. – 3 Jun, 2014.
#1 by Justice Ipsofacto on Tuesday, 3 June 2014 - 9:27 am
Dyana lost not because she has no supporters. In fact she has tremendous support. Actually IMO she lost because of circumstances. And lets face it. It was due to circumstances which to some extent umno was able to control – through the EC. The poll day was fixed on a saturday and it coincided with the Alan Tham/Hacken Lee concert in KL. Predictably a significant number of DAP supporters would be unable to make the trip home to vote.
Anyway, I think she did very well. And for the sake of the country DAP must continue to invest their efforts on young dynamic and intelligent leaders esp malays like dyana.
So yes, I agree totally with the author’s view that “misi politik Dyana perlu diteruskan” and I would add “dan mesti diteruskan”.