Dyana Sofya tewas di Teluk Intan, tetapi DAP menang


Amin Iskandar
The Malaysian Insider
June 01, 2014

Kekalahan Dyana Sofya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)‎ Teluk Intan kepada Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti tipis 238 undi membuktikan ramalan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang minggu lalu ada benarnya.

Lim sebelum ini menghantar mesej kecemasan (SOS) kepada semua pengundi luar PRK Teluk Intan agar pulang bagi membantu kemenangan setiausaha politiknya.

Lim juga menyeru agar pengguna Internet datang ke Teluk Intan membantu kempen ‎Dyana Sofya sehingga menang.

Sebagai orang lama dalam politik, sudah tentu mudah bagi Lim untuk membaca sentimen di Teluk Intan.

Satu dua lawatan bertemu dengan rakyat Teluk Intan sudah cukup bagi Lim untuk mengetahui sama ada DAP mendapat sokongan atau tidak.

Keputusan PRK Teluk Intan juga memberi isyarat jelas bahawa menang di Internet belum tentu menyebabkan kemenangan dalam pilihan raya.

Analisis awal mengatakan Dyana Sofya tewas kepada Mah kerana pengundi luar‎ tidak pulang mengundi dan generasi lama di Teluk Intan masih tidak selesa DAP meletakkan calon Melayu di kerusi Parlimen itu.

Jumlah undi rosak sebanyak 550 undi juga merupakan angka besar, dan menunjukkan berlakunya protes di kalangan pengundi yang mungkin menolak kedua-dua calon daripada DAP dan Gerakan.

Bagi calon pertama kali bertanding seperti Dyana Sofya, mendapat‎ 19,919‎ undi berbanding orang lama seperti Mah yang mendapat 20,157 undi merupakan sesuatu perkara yang boleh‎ dibanggakan.

Pada masa akan datang, Dyana Sofya masih boleh terus bertanding di Teluk Intan dan bekerja dengan lebih keras jika mahu menang.

Dyana Sofya juga perlu belajar lebih banyak tentang selok-belok politik daripada bosnya, Lim yang sudah aktif berpolitik sejak tahun 60-an menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Kesilapan Dyana Sofya

Di antara kesilapan Dyana Sofya yang membawa padah adalah dalam isu apakah ibunya, Yammy Samat merupakan anggota Perkasa.

Seharusnya, sejak awal lagi Dyana Sofya mengakui Yammy merupakan ahli Perkasa.

Tidak perlu menunggu sehingga media “menggali sehin‎gga lubang cacing” untuk mendapatkan kebenaran.

Akhirnya apabila Yammy membuat pengakuan, terbukti Dyana Sofya berbohong sebelum ini.

Berbohong merupakan satu perbuatan yang sukar dimaafkan, terutamanya di kalangan pengundi di sesuatu kawasan pilihan raya.

Ini kerana jika sekali seseorang calon itu ditangkap berbohong, agak sukar bagi pengundi untuk mempercayainya untuk menjadi wakil rakyat.

Menurut teman wartawan yang berada di Teluk Intan, kempen Dyana Sofya yang terlalu menumpukan kepada pengundi luar untuk pulang mengundi memberikan kelebihan kepada Mah.

Barisan Nasional (BN) menggunakan sebaik mungkin Mah sebagai calon Cina dan anak tempatan untuk memenangi kerusi itu.

Selain itu, janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melantik Mah menjadi menteri jika menang kerusi Parlimen Teluk Intan turut mempengaruhi pengundi untuk memenangkan Mah.

Keperibadian Mah yang ‘gentleman’ dan dianggap sebagai calon ‘underdog’ turut memberikan kelebihan kepadanya.

Walaupun tindakan DAP yang meletakkan calon Melayu di Teluk Intan tidak membuahkan hasil dan menyebabkan mereka kurang satu kerusi Parlimen, parti itu harus dipuji kerana percubaan berani meletakkan calon melangkaui batas kaum.

Walaupun kalah, DAP berjaya membuktikan mereka menang kerana berani meletakkan Melayu sebagai calon, walaupun dianggap sebagai parti chauvinis Cina selama ini.

Sedangkan Gerakan yang merupakan parti berbilang kaum, masih menggunakan strategi meletakkan calon Cina untuk menang di Teluk Intan. – 1 Jun, 2014.

  1. #1 by boh-liao on Sunday, 1 June 2014 - 7:27 pm

    DAP menang, betul ke?

You must be logged in to post a comment.