Dyana Sofya, dimensi politik baharu


– Shamiel Fikri Ishak
The Malaysian Insider
May 23, 2014

Jika cinta digambarkan sebagai buta. Tidak memandang pada nama, warna, dan darjat. Demikian dimensi baru yang digambarkan oleh politik Malaysia.

Sejak nama Dyana Sofya Mohd Daud muncul sebagai salah satu watak dalam parti politik DAP, dan negara Malaysia amnya, politik baru yang tergambar adalah politik yang buta.

Buta pada perbezaan, buta pada darjat, buta pada penilaian bangsa, buta daripada sikap perkauman. Maka buta sebegini lebih mulia daripada celik. Celik yang menilai kemuliaan dengan bangsa, celik menilai parti dengan sikap perkauman, celik yang memandang pada perbezaan dan kelemahan.

Kata seorang penulis dan tokoh pemikir Amerika, Mark Twain:”Kindness is the language which the deaf can hear and the blind can see.”

Ya, kebaikan mampu didengari oleh orang yang pekak, hatta bisa dilihat oleh seorang manusia yang buta.

Watak Dyana Sofya yang muncul dalam parti DAP menggambarkan satu dimensi politik baru. DAP yang terkenal dengan parti rakyat berbangsa Cina rupanya tidak pandang pada bangsa. Manakala calon BN yang bertanding di Teluk Intan bersamanya, Datuk Mah Siew Keong sendiri inginkan politik dan persaingan yang matang.

Meski katanya dalam gurauan mesra pada wartawan “Dyana lebih cantik daripada beliau”, beliau inginkan perlumbaan sihat yang ditentukan sepenuhnya oleh rakyat. Malah penerimaan ibu kepada Dyana Sofya, Yammy Samat yang merupakan ahli veteran Umno menggambarkan, dia tidak pandang anaknya pada parti.

Inilah dimensi politik baru yang perlu dipupuk. Politik yang tidak dipandang dengan sifat perkauman. Politik yang buta dengan penilaian taksub kepartian.

Politik yang terbuka sebegini melontarkan pelbagai persoalan kepada kita. Apa guna kita celik kalau sekadar mampu bezakan cina dan melayu? Apa guna kita celik andai hanya mampu melihat manusia sempit dengan parti? Apa guna kita celik kalau kita sekadar pandai bezakan pemimpin dengan usia tua dan muda semata-mata? Bahkan apa guna kita celik, kalau kita pandang kecantikan politik hanya dengan pandangan politik wajah?

Hebatnya corak politik dimensi baru ini. Politik ini tidak taksub. Politik yang buta dan tidak peduli dengan penilaian perkauman, sentimen senioriti dan taksub kepartian.

Hebatnya pandangan ibu Dyana Sofya, yang melihat anaknya sebagai keluarga, lebih daripada musuh politik. Inilah pemikiran yang seluruh rakyat perlu ada bukan sekadar sesama keluarga dan keturunan. Bahkan seluruh rakyat, tidak mengira parti dan fahaman politik. Bukankah kita adalah satu keluarga.

Politik hari ini perlu bebas daripada agenda perkauman. Bebas sentimen tua dan muda. Bebas jurang golongan politikus elit dan golongan bawahan.

Allah berfirman:”Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka:”Bahawasanya Allah melantik Tholut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami, sedang Kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah memilihnya (Tholut) menjadi pemerintah kamu, dan mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (RahmatNya dan PengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.” (al-Baqarah 247).

Dalam sejarah Islam yang dinyatakan dalam Al-Quran, Allah pernah melantik seorang pemimpin yang tidak disangka-sangka oleh manusia lain. Allah melantik Tholut, seorang petani biasa untuk memimpin kaumnya. Sedangkan ramai orang lain yang punyai harta yang banyak, dan datang daripada keturunan yang disegani.

Daripada kisah pemilihan Tholut sebagai pemimpin, Islam juga mengajar manusia untuk menghindari politik perkauman, politik taksub senioriti dan politik wang.

Demikianlah falsafah cinta si buta. Cinta yang tidak memandang manusia dengan kaum. Cinta yang buta menilai tua dan muda. Cinta yang tidak sekadar menilai harga dengan harta dan wang.

Bukankah politik itu juga cinta. Cinta rakyat untuk memilih pemimpin. Cinta pemimpin untuk mengubah negara. – 23 Mei, 2014

* Penulis ialah Pelajar Undang-Undang dan Syariah, UIAM.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.