Siapa mengkhianati siapa?


– Sakmongkol AK47
The Malaysian Insider
MAY 20, 2014

Tidak syak lagi Umno bankrap modal untuk bahan kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Malam tadi, ada desas-desus Umno atau penyokong mereka akan sebar video ibu calon bercium dengan lelaki. Inikah yang terbaik dapat Umno lakukan?

Tapi kepala biul Umno, mereka akan lakukan apa sahaja untuk menang.

Tidak ada yang mustahil dengan parti yang lebih rela berkawan dengan syaitan daripada malaikat.

Yang bertanding ialah anak, yang jadi mangsa ialah emaknya.

Ini betul-betul macam perlakuan golongan feudal zaman dahulu, jika anak dituduh bersalah, habis satu keluarga dimusnahkan.

Perbuatan yang Umno lakukan sama seperti yang dilakukan oleh golongan feudal zaman dahulu, disebabkan fakta bahawa Umno itu sebetulnya, sebuah parti politik feudal.

Modal besar Umno dalam PRK Teluk Intan ialah isu perkauman. Dyana Sofya Mohd Daud diletak sebagai hiasan oleh DAP.

Hiasan tak hiasan, memang objektif DAP ialah meningkatkan keyakinan orang Melayu. Sama seperti Umno letak MCA, MIC dan Gerakan.

Semua itu perhiasan untuk Umno untuk tujuan yang sama – memancing pengundi bangsa bukan Melayu.

Kenapa ianya boleh dilakukan oleh Umno tapi tidak boleh dilakukan oleh parti DAP? Ianya bukan suatu jenayah.

Inilah pemikiran orang Melayu peringkat JKKK. Bila tiada Melayu dalam DAP, dia kata DAP parti rasis, tidak beri Melayu masuk DAP.

Bila Melayu masuk DAP, dia akan kata, Melayu itu perhiasan dan pengkhianat bangsa.

Mengenai bab pengkhianat ini orang Umno memang cukup handal. Sebab mereka pengkhianat bangsa Melayu yang paling besar.

Tanah rizab Melayu yang dahulunya ada tiga juta hektar, sekarang hanya tinggal separuh. Yang jual ialah pemimpin Umno. Ini khianat kepada bangsa Melayu.

Daripada RM54 billion nilai saham yang Umno agihkan kepada golongan terpilih, sekarang hanya tinggal RM2 billion. RM52 billion dijual kepada bangsa lain. Siapakah pengkhianat bangsa Melayu?

Tahun lalu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebut mereka untung berbillion ringgit tapi semalam Najib kata, tarif kena naik kerana hendak selamatkan TNB.

Bagaimana kita terangkan kontradiksi ini? Kata untung tapi kena naikkan tarif kerana hendak selamat?

Malang yang menimpa TNB ini ialah kerana perjanjian berat sebelah antara IPP dengan TNB yang dipaksakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

TNB kena beli letrik pada kadar 19 sen seunit dan jual pada pengguna pada harga 15 sen seunit. Ini perniagaan apa?

IPP tidak ada kos operasi bahkan beli gas pun dapat subsidi. Siapa yang pengkhianat? Yang pengkhianat kepada negara ini ialah orang yang paksa TNB beli kuasa dari IPP ini.

Jadi bila dalam bab pengkhianat ini, Umno tidak ada autoriti moral hendak bercakap mengenai pengkhianatan. Pengkhianatan dan Umno adalah sinonim.

Orang Umno macam tak reti bahasa – mengapa tidak boleh menerima bahawa bukan semua orang Melayu mahu dekat dengan Umno?

Orang yang berada di luar Umno tidak boleh diadili dengan piawai yanga ada pada Umno- semua tak boleh pakai. (1) kepada Umno-Melayu itu mesti ahli Umno (2) Melayu itu mesti sokong Umno.

Yang susah sangat Umno terima bahawa ada lebih ramai Melayu tidak berada dalam Umno ini mengapa?

Jika Melayu ini memilih untuk tidak menyertai Umno, adakah kurang keMelayuan mereka?

Umno cakap besar bahawa orang Melayu kembali menyokong mereka. Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), jumlah undi yang Umno dapat ialah 3.2 juta undi.

Jumlah ahli Umno pun 3.4 juta. Apa sudah jadi kepada 200,000 pengundi ahli Umno? Mereka tidak menyokong calon Umno?

Mustahil dari 3.2 juta ini, pengundi Umno semuanya orang Melayu. Bangsa bukan Melayu pun mengundi calon Umno.

Kalau kita andaikan bahawa 80% daripada undi yang calon Umno dapat datang dari bangsa Melayu, maka orang Melayu yang mengundi calon Umno ialah 2.6 juta sahaja.

Jumlah undi yang BN dapat ialah 5.24 juta. dari jumlah ini, berapa agaknya pengundi Melayu? Katalah 60%.

Maka jumlah orang Melayu yang keluar menyokong Umno ialah 3 juta orang.

Maxima Umno dapat ialah 3 juta undi orang Melayu. Sekarang daripada 11.23 juta pengundi yang keluar mengundi dalam PRU13, berapa orang Melayu. 60%?

Jika 60% maka jumlah pengundi Melayu ialah 6.74 juta. Tolak 3 juta Melayu yang undi Umno, ada 3.74 juta orang Melayu yang tidak undi Umno.

Maka bila Umno kata orang Melayu sudah kembali kepada pangkuan mereka, itu adalah suatu pembohongan yang paling besar.

Umno ada 3.4 juta ahli. Yang bising hiruk-pikuk tak sampai 15 ribu Melayu yang jadi ahli DAP itu mengapa? Bagaimana 15 ribu Melayu ini menggugat 3.4 juta soldadu Umno? – sakmongkol.blogspot.com, 20 Mei, 2014.

* Penulis atau nama sebenarnya Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz ialah Ahli Parlimen Raub.

  1. #1 by narasimam on Wednesday, 21 May 2014 - 11:04 pm

    teruskan usahamu menegakkan keadilan. AK47 adlah rifel terbisa didunia dan jauh lebih hebat drpd M16.

You must be logged in to post a comment.