Astro Awani
Mac 12, 2014 07:08 (MYT)
KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud menafikan membuat pengesahan bahawa pangkalan udara Tentera Di-Raja Malaysia di Butterworth mengesan pesawat MH370 berada dekat kawasan Pulau Perak di Selat Melaka pada pukul 2.40 pagi Sabtu lepas sebelum isyaratnya hilang tanpa sebarang petunjuk.
Kata beliau, laporan akhbar Berita Harian pada Selasa yang memetik kenyataannya itu telah tersalah lapor.
“Saya minta laporan itu dibetulkan bagi mengelak sebarang salah tafsir yang seterusnya tentang apa yang jelas tidak tepat dan salah lapor,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.
Berita Harian melaporkan Rodzali berkata pada malam kejadian, pangkalan udara di Butterworth mengesan isyarat kedudukan pesawat berkenaan yang berpatah balik menghala ke laluan asalnya ke Kota Bharu, Kelantan sebelum dipercayai melalui ruang udara Pantai Timur dan Utara tanah air.
Menurut Rodzali beliau telah diminta mengesahkan kejadian itu oleh wartawan Berita Harian tetapi beliau tidak menjawab soalan tersebut.
“Sebaliknya apa yang saya katakan kepada wartawan itu ialah ‘sila rujuk kepada kenyataan yang saya buat pada 9 Mac 2014 semasa sidang media bersama Ketua Angkatan Tentera di Sama-sama Hotel, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.
Pada sidang media itu, Rodzali berkata:
“TUDM tidak menolak kemungkinan pesawat berpatah balik ke arah bertentangan sebelum pesawat itu hilang daripada radar dan ini menyebabkan operasi mencari dan menyelamat diperluaskan ke kawasan perairan Pulau Pinang.”
Sementara itu, agensi berita Reuters memetik sumber pegawai kanan tentera Malaysia yang telah diberi taklimat tentang siasatan yang mengesahkan pesawat itu “mengubah laluan selepas Kota Bharu dan mengambil altitud lebih rendah” dan “terbang ke Selat Melaka”.
Selat Melaka adalah perairan dunia yang paling sibuk yang menjadi laluan perkapalan utama antara timur dan barat.
Laporan media pada Selasa itu menunjukkan satu perkara: ada percanggahan antara kenyataan pertama Malaysia Airlines beberapa jam selepas pesawat Boeing 777-200 miliknya itu hilang.
Dalam kenyataan pertama pada 8 Mac itu, pesawat MH370 dikatakan dikesan kali terakhir di ruang udara Laut China Selatan dekat dengan kawasan perairan Vietnam.
Ia pada mulanya dilaporkan hilang pada pukul 2.40 pagi dan kemudian dibetulkan kepada pukul 1.30 pagi. Pesawat itu berlepas dari KLIA tidak sampai satu jam sebelumnya iaitu pada pukul 12.41 pagi dan dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi.
Penduduk di sekitar lokasi laluan pesawat itu juga tampil mendakwa melihat ada pesawat terbang rendah di kawasan tersebut pada malam kejadian.
Usaha mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak awal pagi Sabtu itu sehingga ini gagal menemui sebarang petunjuk. Penemuan beberapa petunjuk termasuk tompokan minyak di permukaan laut dan objek terapung kemudiannya tidak dapat dikaitkan dengan pesawat itu.
Operasi itu kemudian diperluaskan meliputi 100 batu nautika daripada titik terakhir pesawat itu dikesan. Ia kini meliputi perairan di sebelah barat dan timur Semenanjung Malaysia mencecah sampai ke Vietnam dan utara Sumatera. Operasi disertai oleh 22 buah pesawat udara dan 44 buah kapal dari lapan buah negara.
#1 by undertaker888 on Wednesday, 12 March 2014 - 12:17 pm
Ok. Let’s just widen the search around the world. If it is not here it must be there.
It just bring back old memories when dealing with civil servants. Kami masih belum terima fail, when the file was sitting there for years. Ohh, you tak isi fail ini, esok datang balik. Oh fail ini tak ada. Besok datang lagi.
#2 by cemerlang on Wednesday, 12 March 2014 - 12:50 pm
Semua tak tau buat apa. Apa itu SOP apa itu mpk ? semua tak ada. semua tak tau. semua tak pandai. maciam mana nak pandaikan the whole nation ?