Kelmarin, saya telah mengemukakan soalan sama ada Pakatan Rakyat sanggup bangkit untuk menyahut cabaran bagi menentukan masa depan bukan saja Sabah dan Sarawak, malah Malaysia secara keseluruhan dalam PRU14.
Dalam kenyataan media saya sejak empat hari lalu, saya telah menjelaskan menerusi fakta dan angka bahawa ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat DAP, PKR, dan PAS telah mencapai keputusan terbaik di peringkat parlimen dan negeri di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak – dan untuk suatu tempoh berjaya menguasai lima negeri, iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak – menerusi kerjasama ketiga-tiga parti itu dalam Pilihanraya Umum tahun 1999, 2008 dan 2013.
Hari ini, saya ingin membentangkan strategi 12 mata berikut untuk Pakatan Rakyat sebagai pelan induk untuk membentuk kerajaan persekutuan dan menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-14.
-
Komitmen penuh dan segera oleh ketiga-tiga parti DAP, PKR, dan PAS di peringkat kebangsaan, negeri, dan bahagian untuk meningkatkan sokongan orang ramai sepanjang tempoh empat tahun mendatang terhadap usaha Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan dalam PRU14.
Ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat DAP, PKR, dan PAS di semua peringkat –pusat, negeri, bahagian – dan semua sayap – pusat, pemuda, wanita – perlu memberikan komitmen penuh dan padu sepanjang empat tahun mendatang untuk meningkatkan sokongan dan keyakinan orang ramai terhadap usaha Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan dalam PRU14.
Perkara ini perlu menjadi agenda bersama dalam semua mesyuarat DAP, PKR, dan PAS di semua peringkat dan sayap dari sekarang sehingga menjelang PRU14 – untuk meningkatkan dan memaksimakan keupayaan politik dan jentera pilihanraya Pakatan Rakyat ke arah menawan Putrajaya dalam PRU14, selain untuk meningkatkan sokongan dan keyakinan orang ramai terhadap matlamat politik ini.
Konvensyen DAP Negeri yang akan diadakan sepanjang tempoh enam minggu ini, bermula dengan Negeri Sembilan dan Pulau Pinang hujung minggu ini, adalah kesempatan yang amat baik untuk melaksanakan perkara pertama dalam strategi 12 mata pelan induk Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya dalam PRU14 ini.
-
Memastikan persempadan semula dilakukan seadil yang mungkin
Persempadan semula yang bakal diadakan boleh dianggap sebagai perkembangan politik terpenting yang akan membentuk dan mempengaruhi keputusan PRU14.
Buat kali pertama dalam sejarah, persempadanan semula akan melibatkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Buat kali pertama juga dalam sejarah, Barisan Nasional tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen untuk membolehkan persempadanan semula dilakukan sekehendak hati mereka.
Selain itu, Pakatan mempunyai majoriti dua pertiga di dalam dewan undangan negeri Kelantan, Pulau Pinang, dan Selangor dan lebih dari satu pertiga kerusi DUN di Kedah, Terengganu, Perak, dan Negeri Sembilan.
Bererti, jumlah kerusi di peringkat persekutuan dan di negeri-negeri berkenaan tidak boleh ditingkatkan tanpa sokongan dan persetujuan Pakatan Rakyat.
Pakatan perlu memastikan persempadanan semula dilakukan seadil yang mungkin dari segi pengagihan kerusi antara negeri-negeri agar selari dengan prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai” dan pada masa yang sama mengakui keadaan unik Sabah dan Sarawak.
Prinsip satu orang, satu undi, satu nilai ini juga perlu dipatuhi dalam setiap negeri untuk kerusi Parlimen dan DUN.
Mekanisme paling berkesan untuk memastikan persempadanan semula dilakukan secara telus ialah dengan membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Persempadanan Semula.
-
Sasarkan kawasan yang gagal dipertahankan dalam PRU13
Pakatan telah berjaya menambah tujuh lagi kerusi parlimen dalam PRU tahun 2013 berbanding PRU tahun 2008 (89 kerusi, dari 82), namun kita telah gagal mempertahankan 15 kerusi parlimen yang kita menangi dalam PRU 2008.
Sekiranya kerusi berkenaan berjaya dipertahankan, Pakatan mampu mengumpul 104 kerusi. Jumlah ini masih belum mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan, tetapi ia mampu menempatkan Pakatan dalam kedudukan lebih kukuh.
Dengan itu, Pakatan perlu menetapkan sasaran untuk merebut semula kerusi yang gagal dipertahankan dalam PRU13: Padang Terap, Pendang, Sik, Merbok, Baling dan Kulim-Bandar Baharu di Kedah; Ketereh, Tanah Merah dan Machang di Kelantan; Balik Pulau di Pulau Pinang; Bagan Serai di Perak; Hulu Selangor dan Kuala Selangor di Selangor; dan Titiwangsa di Kuala Lumpur.
Strategi yang bertumpu kepada kerusi dan negeri diperlukan untuk merebut semula semua kerusi tersebut.
Sebagai contoh, pecah undi perlu dikurangkan di Ketereh, Tanah Merah, dan Machang. Di ketiga-tiga kawasan ini, undi untuk Pakatan di peringkat negeri lebih daripada undi untuk BN, tetapi Pakatan kalah di ketiga-tiga kerusi parlimen.
Di Kedah, barisan pembangkang yang berkesan, barisan pemimpin yang boleh diharapkan sebagai barisan bakal pentadbir kerajaan baru serta dasar negeri alternatif diperlukan untuk membolehkan Pakatan merampas semula negeri itu.
-
Sasarkan kerusi/kawasan marginal (yang mempunyai beza undi tipis)
Pakatan juga perlu mensasarkan kerusi/kawasan yang telah dimenangi BN dengan perbezaan undi yang tipis dalam PRU 2013. BN telah memenangi 24 kerusi parlimen dalam PRU 2013 dengan jumlah undi kurang dari 55% (tidak termasuk 15 kerusi yang telah disebutkan di atas dan telah dimenangi oleh PR dalam PRU 2008). Antara kerusi yang dimaksudkan adalah Cameron Highland (beza undi 462), Bentong (beza undi 379), Sungai Besar (beza undi 399), Labis (beza undi 353) dan Pasir Gudang (beza undi 935), semuanya telah dimenangi BN dengan perbezaan undi kurang dari seribu.
-
Pertahankan kerusi/kawasan yang baru dimenangi dalam PRU 2013
Pakatan telah memenangi 15 lagi kerusi parlimen di Semenanjung dalam PRU 2013. Kita tidak boleh membuat andaian bahawa semua kerusi ini akan berjaya dipertahankan oleh Pakatan dalam PRU14. Penekanan perlu diberikan terhadap kerusi-kerusi ini, khususnya kerusi-kerusi yang dimenangi dengan perbezaan undi tipis, agar kita tidak mengulangi pengalaman PRU 2013 di mana kita gagal mempertahankan sejumlah kerusi yang kita menangi dalam pilihanraya sebelum itu. Antara kerusi yang memerlukan perhatian khusus adalah Kuala Nerus (beza undi 610), Sepang (beza undi 1142) dan Batu Pahat (beza undi 1524).
-
Pertahankan kerusi marginal PR
Seperti BN, PR juga mempunyai kerusi marginal. PR memenangi 17 kerusi parlimen dengan beza undi kurang dari 55% (tidak termasuk kerusi baru yang disebutkan di atas). Semua kerusi ini perlu dipertahankan, khususnya Bachok (beza undi 201) dan Bukit Gantang (beza 986). Jika PR mensasarkan kawasan di mana BN lemah, pasti BN juga akan melakukan perkara yang sama bagi kawasan-kawasan di mana PR dianggap goyah.
-
Tonjolkan negeri Pakatan sebagai contoh betapa Pakatan mempunyai gaya pentadbiran yang berbeza daripada BN
Kerajaan negeri Pakatan mengambil pendekatan dan gaya pengurusan yang jauh berbeza daripada kerajaan BN yang memerintah sebelumnya, khususnya di Pulau Pinang dan Selangor. Ini adalah aset besar Pakatan. Bermula dari sekarang sehingga menjelang PRU14, Pakatan perlu meningkatkan lagi prestasi di negeri-negeri yang dikuasainya untuk menonjolkan lagi perbezaan antara kerajaan BN dan kerajaan Pakatan, selain untuk memberi bayangan kepada orang ramai tentang bentuk kerajaan persekutuan di bawah Pakatan.
-
Berikan penekanan kepada kawasan luar bandar
Tidak dapat disangkal bahawa Pakatan telah mendapat undi besar di kawasan bandar dalam PRU13. Kekuatan BN/kelemahan Pakatan di kawasan luar bandar telah membolehkan BN kekal berkuasa. Untuk itu, Pakatan perlu mempunyai strategi yang mantap untuk menembusi kawasan luar bandar, khususnya kawasan/kerusi marginal BN.
Kos sara hidup dijangka akan meningkat berikutan pengurangan subsidi, tarif elektrik dan harga minyak dijangka naik, pelaksanaan GST pada tahun 2015 akan memberi kesan meluas – semua ini adalah peluang yang boleh digunakan Pakatan untuk menjelaskan kepada pengundi luar bandar bagaimana kerajaan BN telah meningkatkan beban kewangan dan mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna mereka.
Pengundi luar bandar hanya akan menyokong Pakatan dan menolak BN jika mereka merasakan kesan buruk kerajaan BN terhadap saku mereka sendiri. Ini perlu menjadi salah satu strategi utama Pakatan untuk menjangkau kawasan luar bandar.
-
Strategi bertumpuan di Sabah dan Sarawak
Kerusi-kerusi yang disebutkan di atas (kerusi marginal BN dan PR) adalah kerusi di Semenanjung. Pakatan berdepan dengan cabaran berbeza di Sabah dan Sarawak, maka pendekatan yang berbeza perlu digunakan untuk kedua-dua negeri ini.
Pakatan Rakyat tidak boleh memandang ringan sokongan terhadapnya di kawasan bandar Sabah dan Sarawak. Empat dari 9 kerusi yang telah dimenangi Pakatan di Sabah dan Sarawak dalam PRU13 adalah kerusi marginal – Sarikei (beza undi 5050), Sibu (beza 2841) dan Miri (beza 1992) di Sarawak dan Sandakan (beza 1008) di Sabah. Semua kerusi ini perlu dipertahankan secara agresif.
Pakatan juga perlu mensasarkan kerusi marginal BN. Empat kerusi parlimen di Sarawak dimenangi oleh BN dengan undi kurang dari 55%. Salah satunya Baram yang dimenangi dengan beza hanya sebanyak 194 undi. Di Sabah, BN memenangi 10 kerusi parlimen dengan undi kurang dari 55%, antaranya Beaufort (beza undi 672) dan Kota Marudu (beza undi 842).
Bagaimanapun, tidak seperti di Semenanjung, PR di Sabah dan Sarawak perlu menangani parti-parti tempatan.
Majoriti pengundi telah menunjukkan bahawa mereka menganggap Pakatan lebih boleh diharapkan sebagai alternatif bagi BN berbanding parti-parti tempatan, namun parti-parti ini masih boleh bertindak sebagai ‘pengganggu’ dan menarik sejumlah undi untuk menggagalkan usaha Pakatan memenangi sebahagian kerusi berkenaan.
Pakatan perlu mencari jalan lebih baik untuk bekerjasama dengan sebahagian parti tempatan terbabit, sekurang-kurangnya untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru, khususnya untuk kerusi marginal BN.
Dari segi program luar bandar, kempen Impian Sarawak dan Impian Sabah yang baru dilancarkan akan membawa masuk beberapa projek pembangunan kecil di kawasan luar bandar. Ini boleh digunakan sebagai contoh untuk Pakatan menyusun strategi luar bandar. Jika berjaya, projek-projek terbabit perlu dilaksanakan di sebanyak-banyak kawasan yang mungkin, khususnya di kawasan/kerusi marginal BN.
Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 akan datang akan menjadi medan terbaik untuk menguji keberkesanan strategi yang bertumpu kepada Sarawak.
Pilihanraya negeri Sarawak tahun 2011 telah membuka ruang baru untuk Pakatan, khususnya di kawasan bandar, dan ia membolehkan Pakatan mencapai keputusan lebih baik dalam PRU 2013.
Perkara yang sama boleh berlaku dalam pilihanraya negeri Sarawak berikutnya. Jika Pakatan berjaya menembusi kawasan luar bandar dalam pilihanraya negeri Sarawak, ia akan memberi tekanan kepada BN dan Taib Mahmud serta memberi kelebihan kepada Pakatan dalam PRU14.
-
Tingkatkan kerjasama Pakatan di semua peringkat
Kerjasama Pakatan Rakyat telah berkembang sejak kerjasama antara parti pada tahun 2008. Di peringkat kebangsaan, Majlis Presiden Pakatan sentiasa bertemu untuk membincangkan isu-isu penting. PR kini telah meluluskan tiga belanjawan alternatif dan membentangkan manifesto bersama menjelang PRU13. PR juga telah bertempur bersama dalam banyak pilihanraya kecil sebelum dan selepas PRU13.
Kerjasama ini perlu ditingkatkan di semua peringkat, khususnya di negeri-negeri seperti Johor, Sabah, dan Sarawak yang tidak mempunyai sejarah kerjasama antara parti yang panjang.Kenyataan bersama boleh dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin negeri Pakatan berkenaan isu-isu nasional dan isu-isu yang penting bagi sesebuh negeri. Kegiatan rentas parti perlu diadakan lebih banyak. Setiap parti boleh memanfaatkan kekuatannya untuk membuka pintu kepada pemimpin parti komponen yang lain.
Pada masa yang sama, Pakatan perlu menguruskan perselisihan dalaman antara parti komponen di peringkat kebangsaan dan negeri. Mekanisme perlu dikenal pasti di peringkat kebangsaan dan negeri untuk menangani perselisihan secara dalaman sebelum ia diperbesar-besarkan oleh media, khususnya saluran media yang dikawal BN.
-
Beri penekanan kepada hubungan antara dua generasi pemimpin
Salah satu kekuatan terbesar Pakatan ialah ia menggabungkan pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda di peringkat negeri dan juga kebangsaan. Ini berbeza dengan barisan pemimpin BN yang kebanyakannya terdiri dari generasi lama dan lebih terbiasa dengan pendekatan politik lama.
Pakatan perlu memanfaatkan sepenuhnya kekuatan ini untuk meningkatkan kredibilitinya. Pemimpin-pemimpin berpengalaman memelihara keseimbangan dan kesinambungan, manakala pemimpin-pemimpin muda pula membangkitkan buah fikiran, idealisme dan dinamisme generasi muda.
Jika kedua-dua lapisan pemimpin ini digabungkan dengan baik, ia akan menjadi adunan yang sukar untuk dihadapi oleh BN.
-
Patahkan pembohongan dan propaganda BN
Salah satu senjata berkesan yang digunakan BN menjelang PRU13 ialah ‘gertakan’ yang menunjukkan bahawa Melayu di negara ini akan hilang hak di bawah kerajaan Pakatan.
Pengundi telah ditakut-takutkan dengan DAP dan para pemimpinnya dilemparkan dengan bermacam tuduhan – antaranya pemimpin DAP dituduh Komunis, mahu membentuk negara Kristian, anti-Islam dan anti-Melayu. Propaganda ini lebih jelas dilihat pada media arus perdana Melayu, iaitu Utusan dan stesen televisyen TV3 dan RTM.
Pakatan telah mula berusaha membasmi semua pembohongan dan propaganda yang disebarkan BN menerusi media sosial dan online. Tetapi masih banyak yang perlu dilakukan. Lebih banyak mesej kreatif dan saluran diperlukan untuk memadamkan kebimbangan sejumlah besar Melayu dan meyakinkan mereka bahawa hak dan kehidupan mereka tidak akan merosot di bawah PR sebaliknya akan menjadi lebih baik.
Rumusan
Jika Pakatan mampu menangani setiap satu cabaran yang digariskan di atas, saya yakin ia akan berada dalam kedudukan yang baik untuk menawan Putrajaya dalam PRU14 dengan setiap parti menyumbangkan kekuatan masing-masing dan meningkatkan daya tarik Pakatan secara umum.
This article is also available in English at: https://blog.limkitsiang.com/2013/11/29/12-point-strategy-as-blueprint-for-pakatan-rakyat-to-capture-federal-power-in-putrajaya-in-14ge/
#1 by boh-liao on Tuesday, 10 December 2013 - 7:55 am
R U building castle or kuih talam in d air?