Muhyiddin perlu membentuk rancangan padu untuk membuktikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk meletakkan pelajar berusia 15 tahun Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam PISA 2021 bukan janji kosong


Malaysia mempunyai dua Menteri Pendidikan, namun hal ini tidak menghalang mutu pendidikan dalam negara daripada terus merosot di bawah piawaian antarabangsa, mengubah status kita yang dikenali di tahun-tahun awal Merdeka dulu sebagai sebuah negara cemerlang mutu pendidikan rendah, menengah, dan universitinya, menjadi sebuah negara yang pencapaiannya serba biasa sahaja.

Kita diperingatkan tentang hakikat ini menerusi dua peristiwa pada minggu lalu, iaitu pengumuman PISA 2012 (Programme for International Student Assessment) Selasa lalu dan Times Higher Education BRICS & Emerging Economies Rankings 2014 pada hari Rabu lalu.

PISA 2012, ujian global melibatkan 510,000 pelajar berusia 15 tahun dari 65 buah negara untuk subjek sains, matematik, dan bacaan, mendapati pencapaian pelajar berusia 15 tahun di Malaysia dalam ketiga-tiga subjek itu bukan saja di bawah tahap purata antarabangsa, malah mereka ketinggalan empat atau lima tahun di belakang rakan-rakan mereka yang seusia dari negara-negara berprestasi tinggi seperti Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan.

Senarai baru Times Higher Education BRICS and Emerging Economies Rankings 2014 pula akhinya mengesahkan bahawa universiti Malaysia tidak lagi tergolong sebagai antara universiti terbaik di dunia, memandangkan sepanjang tiga tahun berturut-turut tiada satu pun universiti negara ini berjaya memasuki senarai 400 universiti terbaik Times Higher Education World University Rankings bagi tahun 2011-12, 2012-13 dan 2013-14.

Untuk senarai baru ini, dua universiti Malaysia tergolong di antara 100 universiti terbaik di kalangan universiti dalam 22 negara membangun – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga ke-77 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di tangga ke-95. Anehnya, Universiti Malaya tidak tersenarai.

Namun Malaysia masih ketinggalan di belakang Thailand yang lima universitinya tersenarai, dengan King Mongkut’s University of Technology, Thonburi, menduduki tangga ke-29.

Dalam senarai baru ini, universiti Cina menduduki tangga teratas, iaitu Peking University di tangga pertama dan Tsinghua University di tangga kedua, selain 23 universiti lain yang menduduki kelompok teratas dalam senarai.

21 institusi Taiwan termasuk dalam senarai 100 terbaik ini manakala India pula 10 institusi. Malah, pencapaian Turki lebih baik daripada Malaysia apabila 7 buah universiti negara itu tersenarai.

PISA 2012 dan Times Higher Education BRICS and Emerging Economies Rankings 2014 diumumkan sewaktu Perhimpunan Agung Umno sedang berlangsung minggu lalu, tetapi ia tidak menarik perhatian walau pun seorang pemimpin atau perwakilan Umno meski pun ada resolusi khusus tentang pendidikan dalam perhimpunan tersebut.

Apa bukti lain yang lebih kukuh bahawa pemimpin dan perwakilan Umno hanya berminat dengan politik pendidikan dan bukannya memastikan semua pelajar Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban mendapat pendidikan terbaik bertaraf dunia dalam negara ini.

Standard pendidikan Malaysia semakin merosot, maka rakyat Malaysia pelru diyakinkan bahawa objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam PISA dan TIMSS (Trends in International Maths and Science Survey) menjelang tahun 2021 bukan sebuah janji kosong sebaliknya satu sasaran yang serius dan boleh dicapai.

PISA diadakan setiap tiga tahun sekali, bererti ada tiga lagi penilaian PISA yang akan dibuat, iaitu tahun 2015, 2018, dan 2021 sebelum Malaysia merealisasikan impiannya untuk menduduki kelompok sepertiga teratas.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, pelajar berusia 15 tahun Malaysia dijangka akan mencapai tahap purata antarabangsa dalam PISA 2015 dan PISA 2018 sebelum memasuki golongan sepertiga terbaik dalam PISA 2021.

Apakah sasaran ini realistik dan mampu dicapai?

Biar Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang setakat ini bersikap lain daripada menteri-menteri pendidikan sebelum beliau dengan menjauhi topik PISA 2012 seperti topik itu satu wabak, meyakinkan ibu-bapa Malaysia bahawa beliau bukannya sedang cuba membina mahligai kayangan dan membentangkan rancangan padu beliau untuk melonjakkan pelajar-pelajar berusia 15 tahun negara kita ke dalam kelompok sepertiga terbaik bagi ketiga-tiga subjek berkenaan dalam PISA 2021.

  1. #1 by undertaker888 on Tuesday, 10 December 2013 - 8:14 am

    Actually they are celebrating. They achieved their goals of keeping Malaysian stupid and lord over them. Serfs are happy with race and religion.

You must be logged in to post a comment.