Najib benar – apabila UMNO dan MCA tidak boleh bersetuju dengan isu asas, BN telah hilang moraliti dan legitimasi untuk memerintah Putrajaya


Dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Khamis lalu, Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak kembali kepada topik kitar semula yang mempersoal bagaimana Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP akan membentuk kerajaan perikatan kerana terdapat perbezaan pada isu asas yang memisahkan mereka.

Tentu Najib tahu walaupun PKR, PAS dan DAP mempunyai perberzaan ideologi, kami telah bersetuju untuk membentuk Pakatan Rakyat dan mengikat diri kami dengan Kerangka Dasar Bersama dan Buku Jingga untuk Pilihan Raya Umum ke-13 dan PR akan dipandu oleh apa yang menyatukan kami dan bukannya apa yang memisahkan kami – akan tetapi itu adalah untuk kenyataan yang lain.

Apa yang ingin saya tunjukkan sekarang adalah Najib telah betul-betul menggambarkan apa yang menjadi punca masalah walaupun itu bukanlah niat beliau – sepertimana yang beliau dedahkan sebenarnya Barisan Nasional telah hilang moraliti dan legitimasi untuk mentadbir Malaysia yang berbilang kaum, berbilang bahasa, berbilang budaya dan berbilang agama apabila UMNO dan MCA tidak dapat bersepakat pada isu asas sama ada Melayu atau bukan Melayu yang akan kecundang sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya ke-13.

Pada hari pertama Perhimpunan Agung UMNO ke-66, delegasi UMNO dan komuniti Melayu telah diberi amaran bahawa sekiranya UMNO tewas pada PRU13, orang Melayu akan kehilangan kuasa politik dan akan “merempat” di tanah air sendiri – suatu kenyataan yang ditolak oleh pimimpin MCA yang telah jelajah seantero negara membangkitkan tentang kehodohan Negara Islam dan memberi amaran kepada orang Cina dan bukan Melayu bahawa mereka akan kehilangan hak-hak politik, ekonomi, pendidikan, sosio-ekonomi, agama dan kewarganegaraan jika Pakatan Rakyat menggantikan UMNO/BN di Putrajaya.

Pemimpin UMNO mendakwa sekiranya PR memenangi PRU13, hak Melayu akan tergadai – sangat bercanggah dengan dakwaan pemimpin MCA bahawa dalam keadaan sedemikian hak orang Cina dan bukan Melayu yang akan kecundang.

Semalam, politik “pecah dan perintah” yang tidak bertanggungjawab, tidak jujur dan anti-nasional berterusan di dalam Perhimpunan Agung UMNO, apabila delegasi UMNO diberi amaran bahaya kehilangan hak Melayu dan kedaulatan Raja Melayu sekiranya DAP dan Pakatan Rakyat dibenarkan memerintah.

Ini jelas-jelas merupakan hasutan, menggunakan pembohongan dan penipuan untuk mencetuskan kebencian dan memburukkan lagi perpecahan kaum dan agama di dalam negara ini demi memenangi undi dan kerusi Parlimen pada PRU13, langsung mengabaikan kerosakan dan perpecahan terhadap Malaysia yang berpunca darinya.

Inilah perbezaan asas di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Tidak seperti BN, PR mahu semua rakyat Malaysia memenangi PRU13 – rakyat biasa di kalangan orang Melayu, Cina, India, Orang Asal, Kadazan dan Iban. Sudah tentu akan ada yang kecundang – mereka adalah UMNO putra dan kroni-kroni di dalam parti komponen Barisan Nasional.

Sekiranya Najib ikhlas dengan pengenalan dasar 1Malaysia, beliau sepatutnya meninggalkan politik tidak bertanggungjawab, memecahbelah dan pengecut “pecah dan perintah” berdasarkan pembohongan dan penipuan yang dilakukan UMNO, MCA dan pemimpin BN.

Tetapi apakah Najib, yang berselindung di sebalik gelaran “Bapa Transformasi”, mampu melakukan transformasi itu sendiri dengan menjadi “Malaysia terlebih dahulu” untuk menamatkan politik “pecah dan perintah” di dalam UMNO dan BN serta bersaing dengan Pakatan Rakyat melalui politik “bersatu dan perintah” yang positif dan konstruktif?

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.