Takut-takut Mohamad bermimpi di siang hari


— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Jun 12, 2012

12 JUN — Saya telah dihubungi oleh beberapa pemimpin Umno Baru di Negeri Sembilan dan meminta saya membuka Free Malaysia Today kerana ada berita hangat yang akan saya temui. Bila saya bertanya apa beritanya dia menjawab, “Baco lah bang. Ado coghito Mad Hasan nak botanding di Paroi. Nak tumpaskan PAS terus bang” katanya.

Setelah sampai ke rumah saya pun membelek-belek apa kah benar cerita yang di katakan oleh AJK Bahagian Umno itu. Benar, ada berita tentang kecenderungan MB Negeri Sembilan untuk bertanding di DUN Paroi untuk menentang YB Taufek yang kini ahli Legislatif Negeri Sembilan mewakili DUN Paroi itu.

Sebenarnya saya percaya apa yang di tulis oleh FMT itu. Kalau berita itu datangnya dari Utusan, kita terpaksa berfikir panjang untuk mempastikan berita itu benar atau pun tidak Ini adalah kerana akhbar milik Umno itu belum lagi berjaya menulis berita-berita yang benar.

Akhbar milik Umno itu tidak “professional” dan tugasnya hanyalah untuk memecah belahkan pihak-pihak yang hendak bersatu. Akhbar itu tidak sedar yang semua rakyat kini mahu bersatu, tetapi diluar Umno dan BN.

Saya tidak terkejut jika Mohamad mengambil keputusan beralih kawasan dari Rantau ke mana-mana kawasan DUN yang lain. Saya tidak perlu memberikan sebab-sebab secara “detail” kenapa beliau mahu berhijrah ke kawasan yang baru tetapi cukuplah jika saya katakan yang Rantau tidak lagi kawasan yang selamat bagi beliau. Pengundi Rantau hanya menunggu masa untuk menolak beliau di dalam PRU yang akan datang ini.

Ramai pengundi Rantau yang pasti kecewa kerana tidak sampai hajat mereka untuk melihat Mohamad ditewaskan oleh orang-orang kampungnya sendiri. Tindakan Mohamad untuk berhijrah ke Paroi itu memang mudah untuk beliau lakukan kerana beliau adalah Ketua Bahagian Rembau dalam mana Paroi adalah salah satu kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Rembau. Beliau juga adalah Pengerusi kepada Badan Perhubungan Negeri Sembilan.

Mengikut berita itu, Mohamad bertindak berpindah itu kerana beliau mahu menambah aura pilihanraya dengan bertanding melawan satu-satunya ADUN PAS dan ia kononnya akan memberikan uumph yang lebih untuk beliau memenangi kembali kerusi-kerusi yang telah jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya yang lalu.

Baguslah kalau begitu niatnya, tetapi apakah itu sebab yang sebenarnya beliau hendak menukar kawasan itu? Jawapannya ada dipemikiran pengundi-pengundi di NS dan tidak payah kita sebut-sebut lagi.

Boleh kah Mohamad berjaya menumpaskan YB Taufek dari PAS itu sedangkan beliau hanya berjaya memenangi kerusi Rantau dengan majoriti kecil semasa menentang tukang jahit dari PR dalam pilihanraya yang lalu? Kalau di Rantau tempat kariah dan kampungnya sendiri beliau tidak berani bertanding, bagaimana kah perkiraan beliau yang beliau boleh berjaya denagan cemerlang di Paroi?

Bagaimana kah perkiraan pengundi-pengundi di seluruh Negeri Sembilan dengan penghijrahan itu. Tidak kah mereka berfikir yang penghjrahan itu adalah untuk lari dari kawasan yang beliau wakili sekarang kerana beliau telah merasakan yang pengundi di DUN Rantau sudah tidak lagi diyakini memberi beliau sokongan kali ini?

Tidakkah beliau merasakan yang walaupun mungkin beliau merupakan “winnable candidate” untuk Paroi, tetapi tindakan itu akan menjejaskan prestasi Umno di kawasan-kawasan lain di Negeri Sembilan. Berita ini merupakan berita yang amat menarik, kerana seorang yang bergelar MB yang bertindak lari dari kawasan beliau sendiri dengan alasan yang melakukannya sebagai “gerakan strategik” untuk menumpaskan PAS.

Kalau beginilah keadaannya maka teori saya yang mengatakan yang sekarang ini hakikatnya BN sebenarnya sedang melawan PAS, bukannya PAS yang hendak melawan BN. Lain-lain perkataan PAS dan PR di Negeri Sembilan sedang mendahului BN secara psikoloji nya. BN pula yang sedang bersilat mengikut rentak dan tari PR pula.

Bagaimanapun kita tahu PAS tidak akan mampu ditumpaskan lagi. PAS sudah menyelinap jauh kedalam sanubari rakyat, bukan sahaja dikalangan orang Melayu tetapi juga mendapat sambutan dari semua kaum dinegara ini, termasuk di Negeri Sembilan sendiri.

YB Taufek akan tetap menjadi wakil bagi rakyat kawasan Paroi di Dewan Legislatif Negeri Sembilan itu, insyaallah. “Takut-takut Mohamad Hasan hanya bermimpi disiang hari sahaja” kata beberapa orang pimpinan Umno di Negeri Sembilan.

Kalaulah benar berlaku pertembungan diantara Mohamad dengan Taufek di Paroi ianya adalah pertandingan diantara seorang yang sentiasa merendah diri dan berperibadian baik dengan seorang yang sombong dan meninggi diri yang merasakan dirinya sebagai pemimpin yang datang dari langit. — aspanaliasnet.blogspot.com

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.