— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Apr 25, 2012
25 APRIL — Masih ada saki baki penulis di dalam maya ini yang mengkritik keras tindakan saya menyertai DAP. Bermacam-macam tuduhan dilemparkan terhadap diri saya dan beberapa orang bekas ahli Umno yang bertindak menyertai parti ini, kononnya kami telah menjual bangsa dan agama kami. Saya ulangi saya tidak mengurangkan Melayu saya dan tidak mengurangkan kepercayaan saya terhadap agama saya.
Saya hairan kenapa mereka ini menggunakan isu agama dan bangsa sebagai isu terhadap diri saya, sedangkan salah satu sebab saya keluar daripada Umno itu ialah kerana parti itu menggunakan isu agama secara keterlaluan dan sebaliknya apa yang dilakukan oleh pemimpin parti itu semuanya bertentangan dengan agama dan bangsa. Bagi mereka agama itu menjadi tempelan sahaja sedangkan Islam itu sepatutnya menjadi cara hidup mereka (ad-din).
Bercakap tentang isu agama di sana sini tetapi entah apa yang dilakukan terhadap agama mereka pun kita tidak tahu dan payah untuk difahami. Islam kata orang, Islam kata mereka. Tetapi dalam bercakap pasal Islam dan membaca ayat-ayat suci dalam perhimpunan agong Pemuda, parti itu hanyalah sebagai tempelan sahaja kerana apa yang mereka lakukan hampir kesemuanya bertentangan dengan kehendak Islam. Rasuah tidak terkawal dan hampir kesemua di antara pemimpin parti itu sedang kemaruk dan penagih rasuah yang tegar.
Semuanya itu bertentangan dengan Islam. Entah siapa guru dan pendidik mereka dalam agama ini saya tidak tahu. Kalau Umno serius tentang agama dan akidah, saya berharap Umno memanggil seramai mana sadiqiah Islam dan membuat perbincangan dan tunjukkan kepada kami semua nas-nas dalam Al-Quran dan kitab-kitab tulisan ulamak-ulamak muktabar yang menyatakan bahawa menyertai DAP itu adalah haram. Kita juga mahukan mereka menunjukkan dalil-dalil serta nas-nas yang jelas yang orang Islam diwajibkan menyertai Umno untuk selamat dunia dan akhirat. Kalau ada terjumpa bukti-bukti ini beritahu kami yang telah menyertai DAP ini. Jika boleh berikan ketetapan, apa hukumnya menyokong dan mendukung pemimpin yang rasuah yang memerah harta rakyat tanpa batas ini.
Saya tidak berani menggunakan agama kerana saya takut kepada perlanggaran aqidah. Tetapi selagi tidak dibuktikan yang agama kita menegah umatnya menyertai DAP saya tidak berganjak dan sesiapa pun boleh teruskanlah bercakap dengan cara hipokrit itu. Saya kembali menyebut isu ini kerana masih ada saki-baki mereka yang berfikiran kuno bahawa Melayu itu mesti menyokong Umno kerana mereka beragama Islam. Kepada mereka asalkan mereka beragama Islam mereka mesti menyokong Umno walau macam mana rasuah sekali parti yang wujud pada tahun 1988 dahulu itu.
Kita mesti faham bahawa DAP dan parti-parti dalam komponen PR sedang berhempas-pulas untuk memerangi rasuah yang dicegah oleh agama itu. Umno tidak ada hak untuk menentukan aqidah sesiapa kerana merekalah yang sepatutnya melakukan instrospeksi diri dan fahami apakah kedurjanaan yang mereka telah lakukan kepada bangsa dan agama mereka. — aspanaliasnet.blogspot.com
#1 by dagen wanna "ABU" on Thursday, 26 April 2012 - 8:48 am
Memandangkan cintanegara agak kurang buat response terhadap pandangan U biarlah saya response bagi dia, iaitu on his behalf.
Alasan2 U nampaknya tak tepat sebab umno memang setiap kali dan sentiasa ada mengikut agama islam. Tapi jenis umno, ya islam jenis umno. Islam jenis umno adalah agama yg paling supreme dan langsung tak serupa islam biasa.
#2 by tak tahan on Thursday, 26 April 2012 - 2:24 pm
/Adakah berdosa besar jika tidak bersama Umno?/
Hakikatnya jika seseorang itu tidak lagi bersama Umno dan menyertai parti yang menentang rasuah seperti DAP,maka segala dosa malapetaka akan diampunkan oleh Tuhan yan maha besar!
Kepada orang-orang yang masih bersekongkol atau menyokong pemimpin Umno yang makan rasuah-bertaubat lah dan jangan mengkritik En Aspan Alias yang membuat keputusan yang betul, jujur dan selaras dengan ajaran Islam kerana menyertai DAP.
You have my respect,En Aspan Alas.