Pemimpin-pemimpin dan rakyat wajar melalui kursus sivik kenegaraan


— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Feb 10, 2012

10 FEB — Kita nampaknya mesti kembali kepada “basic” penubuhan negara kita. Itu sahaja caranya bagi kita untuk melihat negara kita kembali kepada asas penubuhannya dan cara pengendalian negara yang sebaik-baiknya. Sejak beberapa lama kita telah melihat negara kita dikendalikan dengan cara yang sudah asing dari apa yang sepatutnya kita lihat.

Kerajaan atau pada siapa yang bertanggungjawab, elok kembali kepada asas dan diadakan peruntukan khas bagi memberi rakyat kursus-kursus sivik semula. Kita wajar memberitahu yang negara kita ini adalah sebuah negara Persekutuan (Federation). Perjanjian Persekutuan ini dibuat pada bulan Februari 1948 dan pada masa itu ada sembilan negeri-negeri Bersekutu dan tidak Bersekutu telah menandatangani Perjanjian Persekutuan itu.

Selain dari itu dua buah negeri, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, juga turut menyertai perjanjian itu untuk mewujudkan sebuah negara yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu. Rakyat harus diberitahu yang Persekutuan Tanah Melayu itu merupakan gantian kepada Malayan Union, anjuran Britain, yang cuba untuk menubuhkan sebuah kerajaan “unitary” yang tidak mempunyai kerajaan-kerajaan negeri dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Pentadbirannya dan kerajaan itu dinamakan Kerajaan Pusat.

Oleh kerana negara kita ini adalah sebuah Negara Persekutuan, pusat pentadbiran di Putrajaya itu adalah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, bukannya pusat pentadbiran Kerajaan Pusat. Diantara Kuala Lumpur dan Bangkok serta Jakarta ada perbezaannya. Kedua-dua Bangkok dan Jakarta misalnya, kedua-dua bandaraya itu menempatkan kerajaan Pusat kerana Thailand dan Indonesia itu adalah negara “unitary” yang tidak mempunyai negeri-negeri yang berdaulat didalamnya. Malaysia adalah seperti Amerika Syarikat dan Australia; iaitu berkerajaan Persekutuan dalam mana ada kerajaan-kerajaan negeri didalamnya.

Perkara ini penting diketahui kerana dengan memahaminya maka kita akan tahu dimana salah dan silapnya pemimpin bermain politik dan mentadbir sebuah negara seperti kita ini. Oleh kerana sistem demokrasi adalah pilihan kita, maka kita boleh memperbaikinya dengan memilih siapa yang sebenarnya layak untuk mentadbir negara kita sebagai sebuah negara Persekutuan itu. Jika pimpinan kita tidak mentadbir negara secara dan kehendak sebuah negara Persekutuan, maka ia patut ditukar dan dianjak.

Saya suka menyebut isu ini berulang kali kerana kita telah melihat dalam banyak perkara pimpinan telah tidak menghormati Perjanjian Persekutuan dan menerima semangat persekutuan itu dengan baik. Itulah sebabnya dalam banyak perkara kita telah bersalah-salahan di antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri yang disebabkan oleh tidak faham atau tidak menghormati keputusan rakyat sesebuah negeri yang berdaulat dan merdeka itu.

Contohnya, Kerajaan Persekutuan telah mengenakan tekanan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dengan tidak menghormati “vestine deeds” yang ditandatangani diantara Petronas dengan rakyat negeri Kelantan pada 27hb Mei 1975 yang lalu. Pimpinan Persekutuan telah mengambil tindakan tidak menghormati perjanjian itu semata-mata rakyat Kelantan telah memilih untuk memberi mandat kepada PAS dan PR untuk mentadbir negeri itu.

Perjanjian itu adalah perjanjian di antara Petronas dan rakyat negeri Kelantan yang diwakili oleh Menteri Besarnya ketika itu, iaitu Datuk Mohammad Nasir, Menteri Besar PAS. Petronas diwakili oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Perjanjian ini dibuat dengan semua kerajaan-kerajaan negeri, tidak kira samada negeri itu ditadbir oleh PAS atau pun Umno.

Mengikut perjanjian itu Petronas mesti membayar secara tunai kepada Kelantan dua kali setahun, iaitu pada setiap 1hbMac dan 1hb September setiap tahun, mengikut harga FOB penjualan itu. Jumlahnya mengikut perjanjian itu ialah 5 peratus dari harga jualan sebagai royalti kerana rakyat Kelantan telah memberikan hak selagi ada bulan dan bintang kepada Kerajaan Persekutuan melalui Petronas segala pengeluaran minyak dalam perairan negeri Kelantan.

Sekarang ini apa yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan ialah dengan mencuri segala pengeluaran minyak dari dua telaga dalam perairan Kelantan dengan menyalurkan semua minyak yang digali itu melalui “pipe” terus ke Kerteh yang jauhnya 260 kilometer ke Kerteh. Ia merupakan usaha untuk mengelakkan hasil minyak itu dimendarat di negeri Kelantan (Bachok).

Ini merupakan tindakan Persekutuan yang tidak menghormati kedaulatan rakyat Kelantan. Lagak kerajaan Persekutuan itu seolah-olah kita sedang ditadbir oleh sebuah Kerajaan Persekutuan yang ala Malayan Union yang ditolak rakyat negara ini pada tahun 1946 dahulu. Persekutuan Tanah Melayu wujud kerana penolakan rakyat terhadap Malayan Union, tetapi semangat Malayan Union ini nampaknya bertambah subur kian lama kian Umno baru ini memerintah kita.

Lebih malang lagi bagi rakyat Kelantan apabila pemimpin mereka yang mewakili rakyat Kelantan tidak bersama rakyat Kelantan untuk mendapatkan semua apa yang telah dijanjikan dalam perjanjian di antara Petronas dengan rakyat Kelantan itu. Nama-nama seperti Mustapa Mohamad dan Awang Adek sebaliknya menyebelahai Kerajaan Pusat untuk menekan rakyat Kelantan.

Sikap mereka amat mengaibkan. Nampaknya hanya satu sahaja cara bagi rakyat mendapatkan kembali hak dari hasil minyak mereka; iaitu dengan berusaha memberikan mandat, sebesar-besar mandat kepada kerajaan gantian dalam pilihanraya yang akan tiba tidak lama lagi.

Seperti yang dilakukan oleh rakyat pada tahun 1946 dahulu, setiap elemen yang menyuburkan sikap Malayan Union, Kerajaan Persekutuan wajar ditolak habis-habisan kali ini. — aspanaliasnet.blogspot.com

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.