Renungan di angkasa


by Zairil Khir Johari
The Malaysian Insider
Jan 27, 2012

27 JAN — Sebaik sahaja enjin pesawat mula bergema tandanya bakal berlepas, saya terus memejamkan mata merenung perbualan di lapangan terbang sebentar tadi.

Semasa menunggu di balai perlepasan, saya telah terserempak dengan seorang sahabat lama keluarga. Walaupun sudah lama tidak berjumpa, masa tidak mengizinkan omongan panjang. Maka selepas bertanya khabar saya terus menjunam ke dalam topik yang sedang hangat dibicarakan umum.

“Memandangkan Pakcik pernah menjadi ahli lembaga pengarah Universiti Malaya, apakah pendapat Pakcik tentang beberapa insiden kebangkitan mahasiswa baru-baru ini dan tindakan tatatertib yang dikenakan ke atas mereka?”

Pesara yang bergelar Tan Sri itu terus tersenyum. “Saya bukan sahaja bekas ahli lembaga pengarah, saya juga seorang graduan UM! Tetapi untuk menjawab soalan kamu, saya amat mengesali suasana pendidikan tinggi di negara kita dewasa ini.”

Saya menoleh sekejap ke arah pintu perlepasan. Tiada aktiviti lagi. “Bagaimana tu?”

“Sebab di mana kita sepatutnya mendahului, kita sudah jauh ketinggalan, dalam segala aspek,” ujar Tan Sri yang selama 36 tahun telah mencurahkan khidmat bakti untuk tanahair. “Begini, kita bermula dari awal. Kita negara yang bernasib baik kerana telah mewarisi institusi-institusi yang matang. Itu tidak boleh dinafikan. Antara kuasa-kuasa imperialisme yang telah menakluki dunia semasa era kolonial, boleh dikatakan bahawa kuasa British adalah penjajah yang paling baik. Ataupun sekurang-kurangnya, yang paling kurang zalim. Setuju?”

Bahu saya terangkat sambil saya menjawab, “Tetapi ada juga durjananya….”

“Ya, memang betul. Banyak kemungkarannya seperti dasar pecah dan perintah yang telah mengakibatkan susunan lapis masyarakat yang kita lihat pada hari ini. Tidak seimbang, dan rata-rata mengurung kaum-kaum yang berlainan dalam fungsi-fungsi sosio-ekonomi yang tertentu. Tetapi ada juga warisan-warisannya yang berfaedah seperti institusi-institusi kenegaraan yang teratur. Misalnya, perkhidmatan awam, badan kehakiman, pasukan-pasukan keselamatan dan yang paling asas sekali, institusi pendidikan.”

Saya mengangguk persetujuan.

“Malangnya, selepas pemerintahan sendiri selama lima setengah dekad, kita telah menampakkan kemerosotan dalam hampir kesemua institusi-institusi kenegaraan tersebut. Pun begitu, musibah yang paling teruk telah berlaku dalam bidang pendidikan. Saya tahu, saya banyak menemu duga anak-anak muda sekarang. Bukan macam dahulu. Budaya pemikiran sudah hilang.”

“Betul cakap Pakcik. Umum tahu kualiti pengajian tempatan sudah mundur.” Tambah saya lagi, “Dulu, institusi-institusi pendidikan di negara kita terkenal sebagai pusat pengeraman ilmuan dan pemimpin yang berwibawa. Banyak sekolah kita yang unggul, seperti RMC (Royal Military College) dan MCKK (Malay College Kuala Kangsar) yang pernah pada suatu ketika digelar sebagai ‘Eton of the East’. UM pun pernah dianggap sebagai universiti yang paling ulung dalam rantau Asia Tenggara.”

“Dan,” kata bekas diplomat itu, “kejayaan sistem pendidikan kita pada zaman itu terserlah apabila ramai graduan sekolah-sekolah dan universiti-universiti kita telah berjaya menjadi pemimpin dan pelopor bukan sahaja di dalam negara kita bahkan juga di peringkat antarabangsa. Malangnya, situasi sudah banyak berubah. Bukan sahaja graduan kita tidak berdaya saing, tetapi institusi-institusi pengajian kita pun sudah kehilangan keunggulannya. Tidak perlu pergi jauh. Lihat sahaja alma mater saya, kini terus menghilang dalam tangga universiti dunia.”

Saya terus mengangguk mendengar keluhan bekas duta yang berambut uban itu.

“Sebagai contoh, kalau dibandingkan dengan pengalaman saya dahulu, suasana kampus pada hari ini seolah-olah dunia yang berbeza. Banyak sangat peraturan. Ini tidak boleh, itu tidak boleh. Bagi saya, zaman universiti adalah masa untuk bereksperimen, untuk meluahkan pendapat, untuk beridealisme, malah untuk melakukan kesilapan. Tidakkah kita belajar daripada kesilapan? Jika kita tidak diberi ruang untuk membuat kesilapan, bagaimanakah kita hendak belajar?”

Tanpa menunggu jawapan saya, beliau terus bertambah, “Budak-budak sekarang umpama mesin robot. Hanya tahu apa yang dimasukkan ke dalam sistem. Tidak ada langsung daya kreativiti dan pemikiran kritis. Setengah daripada yang berjaya dilantik sebagai pegawai dalam perkhidmatan awam hari ini langsung tidak akan dipertimbangkan dahulu.”

“Rasanya apakah punca kemerosotan ini?” saya bertanya, walaupun boleh mengagak jawapannya.

“Puncanya kalau hendak diulas memang pelbagai. Kebanyakannya gara-gara campur tangan politik dalam pendidikan. Tetapi kegagalan institusi pendidikan tinggi di negara kita pada dasarnya telah bermula sekitar tahun 1970an. Kalau sejarah diimbas, pada masa itulah berlakunya perlintasan garis Rubicon apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti diperkenalkan. Sejak daripada itu, dunia akademia di negara kita telah dikongkong dengan cara kuku besi. Di negara-negara maju, undang-undang sedemikian tidak dapat dibayangkan pun. Sekatan ke atas kebebasan siswa-siswi untuk berfikir dan bersuara sekaligus telah membunuh budaya pemikiran kritis. Jangan perlekehkan kesan AUKU ini. Sudah dua generasi yang terjejas.”

“Dulu pada zaman Pakcik, tidak ada sekatan sedemikian?”

“Bukan sahaja tidak ada undang-undang seperti AUKU, tetapi kampus telah memainkan peranan sebagai pusat untuk kegiatan-kegiatan yang merangsang jiwa dan minda. Ada kalanya kita mengambil bahagian dalam aktiviti yang jelas menongkah arus perdana, tetapi kita tidak pernah gentar. Pada masa itu, saya kuat berdemo juga, seperti teman-teman di merata dunia. Kita menentang macam-macam — Perang Vietnam, Konfrontasi Sukarno, malah dasar-dasar kerajaan sendiri. Mana-mana menteri yang datang melawat kampus akan segera ditemui dengan pelekat-pelekat bantahan.”

Saya tersengih membayangkan keadaan yang diceritakan. “Sungguhpun begitu, kebebasan untuk berdemo itu secara sendiri tidak mungkin menjadi punca utama kejayaan pelajar-pelajar zaman itu?”

“Tentulah tidak. Tetapi kebebasan untuk meluahkan isi hati adalah simbolik. Dalam erti kata lain, ia melambangkan keyakinan bahawa tindak tanduk, pemikiran dan suara hati kita tidak terhad dan terkurung. Memang kalau diingat kembali, kebanyakan daripada ‘perjuangan’ saya dahulu adalah terlalu idealistik. Tetapi tidak mengapa, kerana itulah keindahan zaman muda. Saya tidak menyesal langsung. Itulah masa untuk membina jati diri. Jika iltizam untuk menerokai dunia dan mencabar kuasa-kuasa ‘atasan’ telah disekat pada masa itu, saya tidak mungkin akan dapat memupuk keyakinan dan cara pemikiran yang telah banyak membantu saya dalam kerjaya, terutama sekali sebagai seorang diplomat dalam era Perang Dingin.”

Saya mengeluh panjang. “Malangnya pada hari ini, pelajar-pelajar yang berani mencabar pihak berkuasa akan ditimpa padah, seperti dalam kes UPSI dan KUIN baru-baru ini.”

Tan Sri menggeleng kepalanya. “Budak-budak itu tidak patut digantung. Tindakan macam itu adalah pencabulan hak asasi mereka. Sekadar melakukan protes dan menyuarakan rintihan hati, apa salahnya? Kalau saya jadi mereka, saya akan melakukan perkara yang sama.”

“Sudah jelas kemunduran akademia di negara kita adalah kegagalan sistemik. Apakah jalan penyelesaiannya?”

“Tidak ada ubat yang mujarab, tetapi langkah pertama adalah jelas. Undang-undang yang membantut perkembangan minda dan jati diri siswa-siswi kita harus dimansuhkan. Selagi AUKU itu masih ada, selagi itulah jiwa akademia negara kita akan tersesak. Undang-undang kuku besi ini terlalu senang disalahgunakan, seperti yang boleh dilihat di Tanjung Malim dan juga di Kedah. Tidak kira siapa kerajaannya, kan?”

Tidak sempat saya menjawab kerana perbualan kami telah diganggu pada ketika itu oleh sistem pembesar suara yang mengumumkan panggilan terakhir bagi penerbangan saya. “Minta maaf, Pakcik. Kapal sudah memanggil.”

“Tidak mengapa. Kita tangguhkan sahaja perbincangan pada hari ini. Tetapi, sebelum kamu berlayar di angkasa, saya ingin menyampaikan kata-kata yang pernah disuarakan oleh Robert Maynard Hutchins, seorang ahli falsafah pendidikan dari Amerika Syarikat. Walaupun selalu jatuh ke telinga yang pekak, saya tetap suka mengulangi pesanan ini kepada rakan-rakan saya di lembaga UM dahulu:

“Tujuan pendidikan bukanlah untuk memenuhi pelajar dengan fakta, tetapi untuk mengajar mereka untuk berfikir.”

  1. #1 by sotong on Saturday, 28 January 2012 - 6:34 pm

    The present education and environment will not help the Malays….many will end up without good income and career to increase their standard of living and support their family.

    What’s the point of finishing a hospitality/cooking course as Chef/Cook and ended up selling shampoo!

You must be logged in to post a comment.